PRN: Hujan lebat, ribut petir diramal di enam negeri

PRN: Hujan lebat, ribut petir diramal di enam negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengundi bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini dijangka terpaksa melalui keadaan cuaca yang membimbangkan iaitu hujan lebat dan ribut petir semasa keluar mengundi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Lim Ze Hui berkata, hujan lebat dan ribut petir diramal berlaku di enam negeri yang terlibat dengan PRN.

“Pada sebelah pagi, kita jangkakan hujan di negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Manakala, di Kelantan serta Terengganu pula pada waktu pagi semasa hari mengundi (hari ini) tidak ada hujan berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada sebelah petang di negeri Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dan termasuk Negeri Sembilan akan mengalami hujan beserta ribut petir. Begitu juga dengan Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, sebanyak 9.7 juta pengundi akan menjadi penentu sama ada gabungan politik seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) dapat mengekalkan diri mereka di tampuk kuasa kerajaan negeri ataupun kecundang.

Untuk Selangor, cuaca buruk tersebut dijangka melanda Petaling, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang pada sebelah pagi, manakala hujan dijangkakan di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat pada sebelah petang.

Antara kawasan di Negeri Sembilan yang dijangka melanda situasi sama adalah Rembau dan Kuala Pilah selain Seremban serta Port Dickson dilanda ribut petir pada waktu pagi, pada waktu petang pula ribu petir diramal melanda Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin.

Manakala, hujan lebat diramal melanda seluruh negeri Pulau Pinang pada waktu pagi dan pada waktu petang pula diramal negeri tersebut dilanda ribut petir yang tetumpu di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Begitu juga di Kedah, hujan lebat diramal berlaku di Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang dan Kuala Muda, negeri jelapang padi itu turut diramal dilanda ribut petir pada sebelah petang iaitu di Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.

Terengganu pula diramal mendung di beberapa daerahnya iaitu seperti Kemaman dan Dungun pada waktu pagi, namun ribut petir dijangka berlaku di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu.

Keadaan berbeza dijangka berlaku di Kelantan di mana tidak ada amaran hujan berlaku di sana pada waktu pagi namun ribut petir diramal melanda seluruh negeri tersebut pada sebelah petang.

Ze Hui berkata, pengundi bagi empat negeri Pantai Barat disyorkan keluar mengundi pada waktu tengahari dan bagi pengundi di Pantai Timur pula disarankan untuk ke pusat mengundi pada awal pagi.

“Untuk negeri di Pantai Barat yang melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah dijangkakan hujan cuma pada awal pagi sahaja, mungkin akan reda selepas itu dan akan ribut petir berlaku pada sebelah petang

“Jadi mungkin selepas 9 pagi sehingga 3 petang adalah satu tempoh yang elok untuk keluar mengundi bagi pengundi-pengundi di sana. Untuk negeri Kelantan dan Terengganu saya syorkan untuk keluar mengundi pada sebelah pagi,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama keadaan cuaca tersebut akan meyumbang kepada berlakunya banjir kilat, Ze Hui berkata, risiko untuk terjadi ada namun ia bergantung kepada keadaan cuaca.

“Dalam keadaan ribut petir yang berlaku untuk satu tempoh yang singkat, banjir kilat berisiko untuk berlaku di mana-mana kawasan enam negeri yang terlibat dengan PRN ini.

“Namun begitu, jika hujan ni tidak lebat dan berlaku dalam tempoh yang panjang, risiko untuk terjadinya banjir kilat agak rendah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini