Sanusi tetap yakin menang 33 kerusi, PH-BN optimis bentuk kerajaan negeri

Sanusi tetap yakin menang 33 kerusi, PH-BN optimis bentuk kerajaan negeri

(Dari kiri) MAHFUZ OMAR, MUHAMMAD SANUSI MD NOR dan MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menjelang hari pengundian pilihan raya negeri (PRN) esok, Perikatan Nasional (PN) terus menaruh keyakinan untuk menang 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, kali ini.

Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi berkata, sasaran ditetapkannya itu sejak beberapa bulan lalu masih kekal hingga ke hari terakhir berkempen, hari ini.

“Sasaran kami masih kekal seperti sebelum ini untuk menang di 33 kerusi,” katanya ringkas sewaktu dihubungi Utusan Malaysia melalui aplikasi Whatsapp di sini, hari ini.

Menteri Besar Kedah itu berkata, segala isu yang dibawa pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terutama isu kecurian unsur nadir bumi (REE) tidak akan memberi kesan kepada pengundi.

“Ada satu saja modal depa iaitu REE. Itu pun tak ada asas dan ‘kantoi’ (tidak berhasil),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, gabungan itu bersama BN juga memiliki keyakinan untuk mentadbir negeri ini dengan setidak-tidaknya melalui keputusan majoriti mudah.

“Pada hari terakhir kempen, saya masih pegang kepada apa yang kami nyatakan sebelum ini iaitu 16 kerusi sudah berada dalam tangan PH dan BN. Tiga kerusi lagi yang diperlukan untuk kami membentuk kerajaan negeri yang bukan sesuatu yang mustahil untuk diperolehi,” katanya.

Menurutnya, PN sendiri sedar dengan sokongan terhadap PH dan BN yang kian meningkat sehingga mereka mula menunjukkan tanda-tanda panik.

“Semalam ditularkan kembali ucapan Sanusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kononnya negeri ini sudah mahu diambil oleh orang lain. Itu jelas menunjukkan betapa cemas dan ceteknya pemikiran mereka dalam mengaburi pengundi.

“Mereka cuba membina sentimen yang tidak sepatutnya berbangkit, termasuk dalam isu membabitkan 3R (agama, raja dan kaum). Siapa orang luar yang nak ambil negeri ini sedangkan kami di pihak BN dan PH ini rakyat negeri ini juga,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi BN Kedah, Datuk Mahdzir Khalid mengingatkan para pengundi agar memilih gabungan yang benar-benar boleh memberikan perkhidmatan serta membantu rakyat dalam apa jua keadaan.

“Saya memohon agar pengundi di Kedah membuat pertimbangan terbaik dalam menentukan kerajaan negeri yang terbentuk nanti, benar-benar dapat memberi perkhidmatan serta membantu rakyat.

“Lebih daripada itu, kerajaan yang dibentuk nanti juga harus dipastikan terdiri daripada mereka yang mampu merencana masa depan generasi akan datang dalam pelbagai aspek. Kami yakin PH dan BN mampu melaksanakan tanggungjawab itu jika diberikan amanah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×