MARANG: Gandingan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) optimis mampu menawan sekurang-kurangnya 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.
Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, BN bukan sahaja yakin dapat pertahan 10 kerusi dimenangi BN pada PRU14 tetapi juga merampas sembilan kerusi dikuasai Pas.
“Kita yakin gabungan BN-PH mampu bentuk kerajaan baharu di Terengganu. Sebanyak 10 kerusi telah kita menang akan dipertahan dan sekarang berusaha cari beberapa lagi bagi bolehkan kita bentuk kerajaan walaupun dengan majoriti mudah.
“Kerusi yang kita tewas bawah 1,000 undi, kita akan rampas kembali melalui sokongan gelombang kesedaran rakyat terutamanya anak-anak muda yang mengakui ‘tersilap pangkah’ sebelum ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambahnya, peluang cerah dilihat untuk menawan empat kerusi dalam Parlimen Besut iaitu Jerteh, Kota Putera, Hulu Besut dan Kuala Besut serta kerusi Batu Rakit, Permaisuri, Langkap serta Jabi di Parlimen Setiu.
Katanya, manifesto ditawarkan BN pada PRN kali ini merangkumi lima kluster serta 49 perkara diterima baik oleh pengundi dan yakin ia mampu dilaksanakan.
“Sebenarnya 80 peratus daripadanya telah dilaksanakan ketika jadi kerajaan negeri sebelum ini. Sebab itulah tidak banyak pertambahan dalam manifesto kali ini iaitu sekitar 20 hingga 25 peratus,” katanya. – UTUSAN











