Salahkah saya persoal mana duit rakyat?

Salahkah saya persoal mana duit rakyat?

Amir Hariri Abd Hadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TERPALIT dengan isu mahkamah hanya kerana terlibat dalam perhimpunan isu projek kapal tempur pesisir (LCS) tahun lalu, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), AMIR HARIRI ABDUL HADI tidak menganggap ia sebagai penghalang untuk menang dalam pertandingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang.

Ini kerana, Setiausaha Agung Muda itu menyifatkan dakwaan ke atasnya adalah demi memperjuangkan isu rakyat dan bukannya mencuri duit rakyat.

Wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM baru-baru ini mendapatkan pandangan pejuang aktivis muda berusia 32 tahun ini berhubung peluang untuk Muda menang dalam persaingan dengan dua blok parti besar selepas mengambil keputusan bergerak solo.

UTUSAN: Mengapa Seri Serdang dipilih?

AMIR: Saya anak jati di kawasan berdekatan Seri Kembangan, ayah saya pernah berniaga di Pasar Borong Selangor dan saya tahu masalah berbangkit penduduk di sini dan mahu menyumbang semula kepada masyarakat.

Apa agenda mahu dibawa?

Saya mahu bawa perubahan dalam pengurusan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak ada penyelarasan terutama melibatkan masalah infrastruktur. Jadi saya mahu pilihan raya PBT diadakan semula kerana kuasa menyelesaikan masalah penduduk banyak di peringkat PBT. Justeru ahli majlis yang dilantik perlu dipilih oleh rakyat dan bukannya lantikan politik.

Apakah inisiatif untuk membantu anak muda di kawasan DUN Seri Serdang?

Inisiatif yang saya mahu bawa ialah berkonsepkan ‘Kongsi Rasa’. Kita akan wujudkan tabung untuk syarikat korporat atau individu dalam kawasan ini untuk memberi sumbangan dan dananya akan disediakan untuk permulaan perniagaan gerai burger kepada anak muda. Mereka akan dibantu sehingga mampu menjalankan perniagaan sendiri.

Adakah isu mahkamah yang dihadapi sekarang menjadi penghalang untuk meyakinkan pengundi?

Saya tidak rasa ini sebagai satu penghalang kerana saya didakwa sebab bersuara status kapal LCS yang masih tidak siap. Kalau saya didakwa kerana curi wang rakyat, mungkin itu menjadi batu penghalang besar, tetapi saya didakwa kerana mempersoalkan di mana wang rakyat.

Kenapa Muda mengambil keputusan bergerak solo dalam PRN kali ini?

Muda kecewa kerajaan perpaduan tidak konsisten dalam pendirian mereka. Contohnya, melantik orang politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC), pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diletak di bawah Parlimen, mengkaji semula undang-undang melanggar hak kemanusiaan antaranya Akta Hasutan yang dahulunya kita lawan, tetapi sekarang tidak buat.

Kalau kerajaan hari ini menjalankan agenda reformasi, tidak ada alasan untuk Muda bertanding secara solo. Ada keperluan untuk Muda masuk bertanding sebagai alternatif kepada rakyat yang telah merasai kedua-dua blok parti menjadi kerajaan di samping mahu memainkan peranan semak dan imbang dalam DUN Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×