PETALING JAYA: Pegawai peribadi Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sepatutnya memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang ancaman terhadap menteri besar itu.
Selain itu, pengawal peribadi Sanusi yang merupakan anggota polis juga sudah tentu akan memaklumkan kepada pihak berkuasa itu sekiranya wujud ancaman terhadap orang kenamaan di bawah kawalannya agar tindakan lanjut dapat diambil.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat laporan dibuat oleh pemimpin berkenaan mengenai dakwaan ada perangkap yang mahu mengenakan beliau.
Bagaimanapun, kata beliau kepada Utusan Malaysia, tiada sebarang laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai dakwaan terdapat perangkap yang dipasang individu tertentu bagi mengancam Menteri Besar Kedah itu sehingga beliau tidak hadir ke Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) malam semalam.
Sehubungan itu, Razarudin mengingatkan kepada mana-mana pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu kerana boleh mengugat ketenteraman awam.
“Sekiranya ada maklumat mana-mana individu keselamatannya tidak terjamin, boleh tampil buat laporan polis dan kita akan siasat agar ia tidak menimbulkan kegusaran awam,” ujarnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Muhammad Sanusi sepatutnya menyampaikan ucapan dalam ceramah sepentas bersama Pengerusi PN Merbok yang juga Ahli Parlimen Merbok, Mohd. Nazri Abu Hassan dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Afnan Hamimi yang juga bekas Setiausaha Politiknya ketika mengumumkan ketiadaan Menteri Besar pada program itu menjelaskan, Muhammad Sanusi tidak dapat hadir kerana dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian atas alasan keselamatan.
Kelmarin, Muhammad Sanusi turut tidak hadir ke program Sembang Santai Bersama calon PN DUN Lunas dan Merbau Pulas yang berlangsung di Padang Awam Taman Serai Wangi di Padang Serai. – UTUSAN










