PETALING JAYA: Pentadbiran kerajaan di enam negeri djangka kekal meskipun parti-parti bertanding begitu yakin mereka ke depan untuk meraih kemenangan besar dalam pilihan raya negeri (PRN), Sabtu ini.
Menurut laporan Merdeka Center, sokongan rakyat menjelang hari pengundian empat hari lagi diramal mengekalkan status quo parti gabungan Kerajaan Perpaduan.
Ini bermakna Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kekal menguasai Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Bagaimanapun keadaan boleh berubah pada saat-saat akhir sebelum hari pengundian bergantung kepada bentuk serangan yang dicetuskan antara parti dan calon bertanding.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian memaklumkan, pihaknya meramalkan keputusan kekal 3-3 iaitu mengekalkan kedudukan parti pemerintah kerajaan negeri sedia ada, namun tidak menolak akan berlaku perubahan jumlah kerusi.
Tanpa memperinci jumlah kerusi terlibat, beliau berkata, PN dilihat mempunyai sedikit kelebihan dalam kalangan pengundi Melayu dan golongan muda tetapi belum cukup mampu untuk menawan Selangor daripada penguasaan PH selama tiga penggal berturut-turut.
“Kami kira PH masih boleh bertahan dengan agak selesa di Selangor dan Negeri Sembilan. Cuma ada kemungkinan PN akan menambah kerusi di beberapa tempat yang mempunyai penduduk Melayu yang melebihi 70 peratus pengundi.
“Kami jangka keputusan kekal 3-3. Cuma jumlah kerusi akan berbeza. PN memang ada sedikit kelebihan di kalangan pengundi Melayu, khususnya golongan muda. Tetapi setakat ini PN kurang cukup untuk menawan Selangor,” katanya.
Sebelum ini, PN mendakwa merampas Selangor dan Negeri Sembilan daripada PH di samping dapat mengekalkan penguasaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, namun tidak mampu menewaskan kemaraan PH di Pulau Pinang.
Sebaliknya PH-BN pula mendakwa mereka bukan sahaja mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tetapi optimis calon parti kerajaan mempunyai peluang di Kedah, Kelantan dan Terengganu pada PRN itu.
Dalam pada itu, Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd. Muis berpandangan, kejutan boleh membabitkan enam negeri khususnya Selangor dan Negeri Sembilan sekiranya 51 peratus pengundi muda dan ahli serta penyokong tegar UMNO sabotaj serta cenderung kepada PN.
Malah katanya, status quo enam negeri itu boleh berubah jika wujud serangan pada saat-saat akhir yang dimainkan oleh calon dan parti.
“Sebaliknya setakat ini, dijangka tiga negeri kekal ditadbir PHBN dan begitu tiga negeri lain terus dimenangi PN memandangkan isu dan sentimen dimainkan tidaklah sampai mampu mengubah kecenderungan pengundi dan ke arah perubahan kerajaan.
“Namun begitu setiap parti tidak boleh terlalu selesa meskipun dijangka status quo terus kekal, kerana saat-saat akhir menjelang hari pengundian boleh mengubah situasi dan membuat kejutan,” katanya.
Beliau memaklumkan, pola pengundian orang muda sukar dijangka sekali gus menyebabkan pelbagai pihak berdepan masalah membuat gambaran awal antara pihak yang mampu meraih kemenangan pilihan raya. – UTUSAN










