Di atas kertas, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak berhadapan banyak masalah untuk menang di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.
Kedudukan 36-0 itu mengambil kira juga keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 yang menyaksikan PH menang 20 kerusi manakala BN menang di 16 kerusi.
Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 kali ini, apabila PH dan BN menjalinkan kerjasama, kedudukan itu dijangka lebih kukuh sekali gus memperlihatkan situasi sukar dihadapi pesaing utama PH-BN iaitu Perikatan Nasional (PN).
CALON
PN menerusi gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan meletakkan calon di semua 36 kerusi DUN di negeri ini.
Selepas seminggu perjalanan kempen, bahang PRN di Negeri Sembilan tidak begitu dirasakan malah gelombang PN juga tidak kuat membadai di negeri ini seperti diharapkan.
Faktor utama mungkin sejak daripada awal, tiada nama-nama besar PN di negeri ini yang ditampilkan sekurang-kurangnya untuk memberikan sedikit gegaran kepada kem PH-BN.
Jika dilihat daripada senarai calon yang ditampilkan PN, sukar untuk meramalkan kerusi yang akan memihak kepada PN.
Bagaimanapun, jika melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November lalu, kiraan undi mengikut DUN dikatakan PN mendapat undi tertinggi di tiga buah kerusi iaitu Lenggeng, Labu dan Bagan Pinang.
Jika terdapat tambahan kerusi yang mungkin memihak kepada PN, ia di antara dua hingga tiga kerusi lagi. Itu pula mengambil kira terdapat kerusi yang berlaku sedikit penolakan akar umbi terhadap calon yang ditampilkan lawan mereka seperti di DUN Ampangan dan Paroi.
Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan, Khairul Yazman Yahya ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, tahap sokongan pengundi di ketiga-tiga buah DUN tersebut juga nampak positif selepas seminggu tempoh berkempen berlangsung.
“Di ketiga-tiga kerusi DUN itu, insya-Allah kami boleh pertahankan sokongan sama pada PRU15 lalu dan tambahan 16 kerusi DUN lagi sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, jika PN memenangi dapat memenangi sehingga 10 buah kerusi pada PRN di Negeri Sembilan, itu boleh dikatakan sudah cukup bagus.
“Bagaimanapun, saya tidak nampak mereka boleh pergi ke jumlah itu dan sukar untuk disebut kerusi yang boleh mereka menang, bagi saya dua hingga tiga kerusi,” tambahnya.
Melihat situasi semasa gabungan PH-BN boleh dianggap pilihan, DAP dijangka menang di kesemua 11 kerusi yang ditandingi mereka termasuk di DUN Chennah yang menampilkan Setiausaha Agung mereka iaitu Anthony Loke Siew Fook.
Nama-nama besar termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun (Sikamat) dijangka tidak berdepan laluan sukar. – UTUSAN










