PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) yakin Kerajaan Perpaduan dapat mempertahan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRU DUN Ke-15) kali ini.
Pada masa sama, gabungan itu juga optimis calon parti kerajaan mempunyai peluang di Kedah, Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN) ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keyakinan itu berdasarkan pemerhatian terhadap gerak kerja seluruh jentera dalam menarik sokongan dan menepis persepsi pihak lawan terhadap parti kerajaan.
JENTERA
“Peluang untuk Kerajaan Perpaduan mempertahankan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang itu agak besar dan pasukan kerajaan ini perlu bekerja kuat terutamanya Perdana Menteri, timbalannya serta seluruh jentera bekerja siang malam untuk menyantuni seramai mungkin pengundi.
“(Namun) dalam pilihan raya, apa-apa pun boleh terjadi…macam permainan bola juga. Kalau kita dapat menepis dan menerangkan keadaan sebenar, tohmahan serta tuduhan yang dibuat secara liar terhadap UMNO khususnya, saya yakin kita boleh dapat menapak semula di Kedah, Kelantan dan Terengganu (secara) perlahan-lahan.
“Saya lihat besar kemungkinan 50-50 di Kedah dan Terengganu. (Berdasarkan) sambutan daripada kehadiran Perdana Menteri dalam ceramah beliau di kedua-dua negeri itu, ia memberi satu gambaran yang baik.
“Kita harap supaya sambutan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk undi nanti pada 12 Ogos, insya-Allah,” katanya ketika ditemui semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, semua jentera diharap dapat terus memberikan penerangan perkara sebenar supaya dapat menangkis fitnah yang dilemparkan khususnya kepada UMNO.
Beliau berkata, ini kerana beliau tidak menolak ramai pengundi membuat keputusan berasaskan persepsi dan ia sedang dimainkan oleh pihak lawan kepada BN dan UMNO.
“Pelbagai tuduhan liar. Katakan UMNO ini parti perasuah…kluster mahkamah, jadi, kita mahu terangkan bahawa tindakan terhadap proses mahkamah berjalan.
“UMNO tidak pernah minta pemimpinnya yang dituduh di mahkamah supaya gugurkan kes, jadi UMNO faham negara ini mempunyai undang-undang, maka biar proses mahkamah berjalan,” ujarnya.
Justeru, kata Mohamad jka pengundi membuat keputusan yang salah, maka mereka perlu menanggung akibatnya selama lima tahun. – UTUSAN










