Kempen minggu pertama PN lebih menyerlah

Kempen minggu pertama PN lebih menyerlah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen pilihan raya dilaksanakan Perikatan Nasional (PN) di enam negeri pada minggu pertama lebih menyerlah berbanding lawannya, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti lain.

Rumusan itu berdasarkan kepada analisis terhadap kempen pilihan raya negeri (PRN) di tiga platform iaitu kempen secara bersemuka, poster dan dalam media sosial.

Malah, kempen PN untuk PRN kali ini dilihat mempunyai persamaan dengan strategi kempen ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, kempen PN ketika ini memberi kelebihan dan membuatkan lebih ramai tertarik dengan penyampaian mereka.

Katanya, ia sekali gus menyaksikan kempen yang dijalankan BN dan PH berada dalam keadaan ketinggalan pada ‘pusingan pertama’ ini.

“Kalau dilihat dari segi kempen media sosial, bersemuka serta perang poster bunting atau banner, kebanyakan kawasan PN dikatakan lebih menonjol berbanding BN dan PH.

“Contohnya poster di Hulu Kelang memang nyata PN dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali begitu menyerlah berbanding calon PH yang kalah dengan kempen,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kelebihan itu adalah sesuatu yang agak menghairankan buat PN namun ia mungkin disebabkan mereka mengguna pakai strategi PRU15.

“Secara keseluruhan dalam PRN kali ini, yang rancaknya adalah PN di ketiga-tiga medium kempen tersebut,” katanya.

PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan memasuki pusingan kedua minggu ini selepas selesai sesi pengenalan calon.

Kebanyakan parti dan calon turut mula melancarkan manifesto masing-masing untuk dipertimbang oleh pengundi pada hari mengundi 12 Ogos ini.

Azmi menyifatkan, minggu kedua perlu diberi perhatian sepenuhnya buat parti dan calon bertanding untuk menarik perhatian pengundi atas pagar yang tidak terkait dengan mana-mana parti.

“Ini kerana penyokong tegar parti masing-masing sudah buat keputusan, tak kira apa yang dikatakan, mereka tetap menyokong parti dan calon mereka.

“Jadi, berbaki lima enam hari adalah penting, bagaimana kempen disalurkan kepada mereka yang berada di atas pagar yang tidak terkait dengan mana-mana parti. Strategi kempen mesti agak berlainan, tidak ada lagi retorik tapi bersandarkan fakta,” katanya.

Tambahnya, walaupun hasil PRN hanya membentuk kerajaan negeri, ia tetap membabitkan persepsi terhadap parti-parti kerajaan persekutuan yang membentuk kerajaan perpaduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×