SHAH ALAM: Sebanyak 1.91 juta pengundi Melayu atau 52 peratus daripada keseluruhan 3,747,057 pengundi di Selangor menjadi faktor penentu kemenangan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) itu pada 12 Ogos ini.
Daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, 40 kerusi mewakili majoriti Melayu yang mana 31 kerusi mempunyai bilangan pengundi melebihi 60 peratus.
Sembilan lagi DUN mewakili 50 hingga 60 peratus pengundi Melayu manakala baki kerusi terutama di bandar menyaksikan bilangan pengundi Cina paling ramai.
Komposisi pengundi berasaskan kaum itu sekali gus menjadi asas penting kepada dua blok besar, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk menyasarkan majoriti mudah 29 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.
Dari satu sudut, pengundi putih UMNO turut memainkan peranan penting yang menentukan jumlah sokongan orang Melayu kepada parti-parti yang bertanding pada PRN kali ini.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr. Mazlan Ali, berkata, pengundi Melayu di Selangor terpecah kepada tiga kelompok iaitu menyokong PN, BN dan PH yang masing-masing mempunyai karakter tersendiri.
Katanya, menerusi tinjauannya selama lebih sebulan pada Jun dan Julai lalu, PH berdepan cabaran untuk meraih pengundi dalam kalangan kumpulan itu apabila 76 peratus pengundi biasa parti itu menyatakan kesediaan untuk menyokong calon BN.
“Tetapi, hanya 56 peratus penyokong biasa BN akan mengundi calon PH. Selain itu, dari segi pemilikan penyokong pula sebanyak 46 peratus pengundi Melayu akan menyokong PN pada PRN berbanding PH (30 peratus) dan BN (19.5 peratus).
“Situasi tersebut memberikan kelebihan kepada calon BN dekat 12 DUN yang ditandingi mereka dan penggabungan PH-BN mewujudkan sokongan besar kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Bagaimanapun, jelasnya, PN tetap mempunyai peluang menang terutama di kawasan yang mempunyai jumlah pengundi Melayu melebihi 60 peratus.
“Di Selangor, pengundinya dikategorikan sebagai participants iaitu berpendidikan dan mengetahui isu-isu dialami rakyat. Justeru, berbaki seminggu sebelum pilihan raya, parti-parti perlu menyusun strategi dengan berhati-hati pada minggu terakhir ini untuk memastikan kemenangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, pensyarah kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis bersetuju bahawa 53 peratus atau 1.97 juta pengundi Melayu menjadi faktor menentukan kemenangan parti-parti politik dalam PRN di Selangor.
Bagaimanapun, katanya, syarat yang perlu dipenuhi ialah tidak berlaku perpecahan undi Melayu di kerusi-kerusi berkenaan.
“Betullah, saya boleh mengesahkan bahawa pengundi Melayu ini boleh jadi penentu dan pembuat keputusan dalam kemenangan parti-parti politik di Selangor, sebab majoriti kerusi di negeri ini mewakili pengundi Melayu.
“Katakan PN boleh mengemudi 29 kerusi Melayu, maka sudah cukup untuk pengundi Melayu menentukan siapa yang akan menang. Tetapi, kita tidak boleh menafikan apa kelebihan yang ada pada BN-PH ketika kedua-duanya sudah bekerjasama,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil turut bersetuju dengan kecenderungan pengundi Melayu menentukan kemenangan parti politik di Selangor.
Bagaimanapun, katanya, tidak adil untuk mengandaikan secara keseluruhan bahawa keseluruhan 53 peratus undi daripada Melayu itu mempunyai pilihan dan pemikiran sama dalam memilih calon-calon wakil rakyat mereka.
“Daripada jumlah ini, ia terbahagi pula kepada kelompok tertentu kerana setiap pengundi ini daripada latar belakang dan demografi berbeza. Ada pengundi yang tinggal di kawasan bandar, luar bandar. Jadi tidak semua sokongan itu kukuh kepada parti politik tertentu sahaja.
“Jadi di sini peranan parti untuk menunjukkan siapa yang lebih berpengaruh dan menjadi lebih baik di mata rakyat,” katanya.
Sementara Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli memaklumkan faktor tersebut turut disumbang sentimen berbeza berbanding 2008.
Menurutnya, pengundi di negeri ini tidak lagi seperti dahulu yang sanggup turun ke jalanan, sebaliknya menggunakan kebijaksanaan yang tidak terbawa oleh politik perkauman dan kepartian.
“Pengundi di Selangor menganggap masalah dihadapi mereka adalah isu nasional terutama melibatkan kos sara hidup seperti tarif elektrik, harga makanan, tol, pekerjaan dan sebagainya.
“Tak dinafikan PH sejak ambil alih kerajaan negeri pada 2008, banyak melakukan perubahan, tetapi apa yang berlaku di peringkat nasional terkesan di peringkat negeri,” katanya.
Jelas beliau, jangkaan di Selangor sukar diramal, kedua-dua parti mempunyai peluang sama.
“Statusnya 50-50, macam Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sudah boleh jangka siapa yang akan menang, Selangor dan Negeri Sembilan berlainan. Pengundi muda pula tidak memberi kesan yang sangat besar dari segi sentimen jika dibandingkan dengan pengaruh pengundi Melayu, tetapi mereka menilai pemerintah,” jelasnya. – UTUSAN










