Pegawai dan anggota polis juga disiasat – KPN - Utusan Malaysia

Pegawai dan anggota polis juga disiasat – KPN

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Genap 50 hari mengemudi Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelbagai penambahbaikan dan perubahan kini dalam perancangan Ketua Polis Negara ke-14, TAN SRI RAZARUDIN HUSAIN bagi mentransformasikan agensi penguatkuasaan tersebut agar selari dengan cabaran jenayah masa kini.
Seperti negara lain, Malaysia juga tidak terkecuali berdepan penjenayah yang berselindung di sebalik kecanggihan teknologi selain menangani isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) yang kini kerap dimainkan oleh sesetengah pihak termasuk pemimpin parti politik.
Perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tata kelola baik selain menyokong dasar kerajaan adalah fokus utama yang dipegang beliau agar setiap penugasan pegawai dan anggota dilakukan dengan berintegriti serta memastikan imej institusi itu dipandang tinggi masyarakat.
Wartawan Mingguan Malaysia, NURAINA HANIS ABD. HALIM dan MASZUREEN HADZMAN berpeluang menemu bual Razarudin bagi mengetahui usaha-usaha yang bakal beliau lakukan dalam transformasi PDRM. Ikuti wawancara ini yang turut dibantu jurugambar FAUZI BAHARUDIN.

PERKHIDMATAN
MINGGUAN MALAYSIA: Apakah fokus utama Tan Sri dalam usaha memastikan PDRM dipandang tinggi masyarakat?
Fokus utama saya, tidak lari dengan Ketua Polis Negara terdahulu yang semestinya memastikan setiap pegawai dan anggota memberikan perkhidmatan secara berintegriti. Saya juga tekankan perkara ini kepada semua pengarah di setiap jabatan di PDRM. Mengambil contoh, bagi kes jenayah. Apabila orang awam datang untuk buat laporan, pegawai penyiasat akan ambil keterangan dan lakukan siasatan serta penangkapan.
Jika membabitkan kes narkotik, jabatan ini perlu proaktif dalam tugasan mereka kerana membabitkan risikan serta tangkapan bagi menyekat bekalan dan permintaan. Pada masa sama, mereka perlu melumpuhkan tokan dan sindiket dadah bagi setiap kontinjen. Malah, setiap tahun kira-kira sembilan peratus jumlah penagih dikesan meningkat jadi jabatan ini perlu memastikan jumlah itu menurun. Perkhidmatan atau tanggungjawab mereka cukup besar bagi menyelamatkan anak bangsa daripada musuh nombor satu negara.
Ini juga berlaku kepada Cawangan Khas apabila mereka perlu memastikan tahap keselamatan negara terjamin daripada anasir-anasir jahat. Tiada statistik atau laporan yang dapat dijadikan kayu pengukur kejayaan jabatan ini namun jika negara kita aman, ini dapat membuktikan perkhidmatan Cawangan Khas dalam melindungi keamanan negara berjaya. Hal ini juga berlaku kepada jabatan lain antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dan sebagainya.

INTEGRITI
Apa pendekatan PDRM setelah tidak lagi dipantau oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sejak 1 Julai lalu?
Fungsi pemantauan bebas akan diambil alih oleh Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang berperanan menasihati kerajaan dan mengesyorkan mengenai langkah-langkah sesuai untuk diambil dalam menggalakkan integriti dalam kalangan anggota polis. Suruhanjaya ini juga akan melindungi kepentingan awam dan membentuk mekanisme bagi menerima aduan dan menyiasat salah laku anggota.
Dalam hal ini, PDRM akan bekerjasama dengan IPCC bagi memastikan integriti dan disiplin setiap pegawai dan anggota dalam tahap tertinggi agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik.

Beberapa isu integriti terpalit dengan PDRM. Bagaimana Tan Sri mahu memastikan setiap anggota dan pegawai bersih daripada gejala rasuah atau aktiviti tidak bermoral?
Melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), beberapa inisiatif perlu dilakukan bagi membanteras isu salah laku dalam kalangan warga PDRM. Antaranya dasar berbelanja untuk majlis keraian oleh kontinjen, daerah atau Bukit Aman, kekayaan luar biasa serta siasatan terhadap anggota dan pegawai yang terpalit dengan fitnah atau dilaporkan berkaitan isu rasuah.
Dalam pada itu, risikan dan siasatan sememangnya dijalankan pihak JIPS sekiranya mempunyai maklumat berkaitan mana-mana anggota dan pegawai yang didapati berkaraoke atau mabuk di kelab malam. Itu salah satu prosedur operasi standard (SOP) JIPS bagi mengekang serta menyekat peluang warga PDRM untuk terlibat dengan aktiviti tidak sihat.
Sehubungan itu, dalam usaha mengukuhkan lagi integriti dan menangani pelanggaran salah laku termasuk rasuah, beberapa mekanisme akan dilaksanakan antaranya pelaksanaan Pelan Anti Rasuah PDRM 2020-2024 yang mempunyai 53 inisiatif yang dapat memperkasa dan mengukuhkan integriti warga PDRM.
Kita juga sedang memperkasakan Sistem Kawalan Dadah dan Disiplin (SKDD) dalam mengawal dan menyelia anggota dan pegawai polis selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Usaha ini bagi memantau serta memastikan tahap kelakuan dan disiplin anggota dan pegawai berada pada tahap tinggi di bawah tanggungjawab penyelia. Peranan penyelia bukan hanya menyelia semata-mata namun sebagai pembimbing, fasilitator dan contoh teladan kepada pegawai dan anggota.
Tindakan tegas diperlukan bagi memastikan perlanggaran salah laku tidak terus menjadi barah yang menghancurkan institusi ini. PDRM sehingga kini konsisten dan tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melakukan kesalahan. Ini terbukti apabila tindakan tegas melalui JIPS yang telah mengenakan hukuman terhadap 447 pegawai dan anggota dari 2020 hingga Jun lalu. Ketegasan ini penting demi menjaga integriti dan imej pasukan.

Definisi tata kelola yang baik?
Bagi mencapai tata kelola yang baik, setiap penyelia atau pegawai atasan berperanan penting menunjukkan contoh kepada anggota bawahan. Ini melalui check and balance atau mengawal dan menyelia setiap kerja atau prosedur secara telus. Malah, setiap penyelia atau pegawai perlu menjalankan kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas anggota bawahan, bukan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada JIPS.
Antaranya, saya sendiri mestilah membawa imej bersih dan menguruskan segala perihal berkaitan agensi ini dengan betul. Sama juga bagi setiap Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah atau mana-mana pegawai atau penyelia dalam PDRM seharusnya menunjukkan kepada anggota bawahan yang mereka lakukan kerja secara betul dan jujur. Jika ada perlanggaran tatatertib, tindakan sewajarnya perlu diambil.
Contohnya, jika pegawai mengesan anggota bawahan yang mewah seperti kenderaannya Toyota Vellifire walhal pangkat Koperal. Penyelia perlu melakukan siasatan, bukan tutup mata sahaja. Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas ketidakpatuhan atau perlanggaran salah laku termasuk kegagalan dalam menyelia atau lack of accountability.
Bagi menjelaskan perkara ini, saya akan mengeluarkan Arahan Ketua Polis Negara berkaitan penguatkuasaan secara menyeluruh di bawah Perenggan 3C Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Pendekatan ini menjadi salah satu fokus utama saya agar pegawai atau penyelia tegas dalam memberi peringatan atau memantau anggota di lapangan.
Imej bersih dengan pengawalan yang baik boleh menjadikan perkhidmatan anggota dan pegawai dilakukan secara berintegriti serta tidak berpaksikan gejala rasuah atau anasir-anasir jahat kerana hal ini bukan sahaja merosakkan imej institusi malah akan dipandang rendah masyarakat.

TRANSFORMASI
Apakah pembaharuan atau penambahbaikan akan dilakukan bagi memantapkan agensi ini?
 Pembaikan dan Penyelenggaraan Premis Balai, Kuarters, Elektrik dan Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA)
Isu kuarters, pos kawalan daif dan uzur yang sekian lama dibangkitkan telah mendapat perhatian khusus kerajaan dengan peruntukan RM500 juta merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Daripada jumlah itu, RM113 juta diperuntukkan bagi kerja pembaikan dan menaik taraf kuarters PDRM manakala RM113 juta lagi bagi pembaikan dan penggantian lif premis. Peruntukan itu juga akan digunakan bagi membaiki perkakas elektrik serta kerja menaik taraf pos PGA dan perolehan pejabat baharu Pasukan Kawasan Ke­selamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

 Penggantian aset kenderaan darat
Berdasarkan pekeliling Per­bendaharaan WP 4.1 iaitu pengurusan kenderaan kerajaan, dianggarkan sebanyak 86 peratus iaitu 17,932 kenderaan sedia ada PDRM atau lebih daripada separuh kekuatan kenderaan pasukan dikategorikan telah melebihi had usia. Justeru, kita dalam usaha perolehan bagi menggantikan kereta lama ini bagi menampung keperluan operasi dan penugasan semasa.

 Tambah baik kelengkapan uniform, peralatan
PDRM akan meneliti semula pemakaian seragam biru operasi agar sesuai dengan corak penugasan semasa. Usaha ini juga bagi me­ningkatkan penampilan imej warga polis selain dilengkapi pelbagai peralatan untuk tujuan penugasan risikan dan operasi khusus.
Selain itu, kita dalam perolehan kira-kira 7,000 kamera badan selewat-lewatnya awal tahun depan yang akan membantu beberapa unit dan jabatan antaranya Unit Rondaan Bermotor (URB), unit kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam mencegah jenayah komu­niti. Kamera ini juga akan diberikan kepada beberapa negeri yang tinggi kadar jenayah.

 Obesiti
Selain penggantian aset dan peralatan, saya juga menitikberatkan faktor kesihatan dalam kalangan anggota dan pegawai bagi memastikan setiap penugasan dapat dilakukan lebih efisien dan cekap. Hal ini juga termasuk indeks jisim badan (BMI) yang berlebihan kerana saya mahukan mereka cergas. Kita akan memulakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) melibatkan mereka yang obes dalam tempoh setahun untuk mencapai BMI yang memuaskan iaitu tidak lebih 28.
Bagi menyokong usaha itu, kita juga akan mengembalikan program Trim dan Fit untuk anggota dan pegawai menjalani kehidupan sihat dan cergas sekali gus menurunkan berat badan selain berkhidmat dengan baik untuk masyarakat. Malah, usaha ini sedang dilakukan sebahagian pegawai dan anggota sehinggakan ada yang semakin fit dan mula tuck in pakaian seragam. Apabila kita sihat, keterampilan juga akan semakin tegap dan rapi malah mampu meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap kredibilti polis dalam membanteras jenayah.

 Teliti semula, ubah modul latihan dan kursus lapuk
Saya juga akan menilai semula setiap modul latihan dan kursus membabitkan pegawai dan anggota yang dilihat agak ketinggalan berbanding dengan cabaran jenayah kini yang semakin kompleks. Sekurang-kurangnya 50 peratus modul latihan sedia ada akan diubah atau ditambah baik khususnya melibatkan anggota dan pegawai muda yang cemerlang dan berpotensi diberi kenaikan pangkat.
Mengambil contoh, pegawai dan anggota di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) masa kini, terdapat keperluan dalam menambah baik modul latihan mengikut perkembangan teknologi terkini. Jika dahulu mungkin modul berkaitan jenayah siber berpandukan jenayah tradisional seperti penipuan, ah long atau sebagainya. Tetapi pegawai-pegawai baharu ini perlu belajar selok-belok siasatan mengikut perkembangan teknologi seperti Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) selain mahir dalam sistem yang ada.
Bagaimanapun, ini yang Bahagian Latihan akan buat dan fikirkan. Mungkin mereka akan berbincang dengan pengarah-pengarah setiap jabatan khususnya JSJK dan jabatan terlibat mengenai modul latihan yang perlu ada. Satu komuniti kecil yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri akan diwujudkan bagi membincangkan modul-modul latihan yang perlu mengikut kesesuaian semasa.
Selain menambah baik kursus sedia ada, kita juga akan menilai syarat kemasukan pelatih baharu anggota dan pegawai mengikut keperluan semasa. Ini termasuk mempertimbangkan yang mempunyai latar belakang berkaitan teknologi, kejuruteraan dan akauntan. Mereka ini diperlukan dalam jabatan tertentu kerana kepakaran itu dapat digunakan dalam menangani cabaran jenayah masa kini.

CABARAN
Bagaimana Tan Sri melihat cabaran jenayah pada masa ini? Apa jenis jenayah yang semakin rumit?
Dalam konteks jenayah komersial, tidak dinafikan ia semakin kompleks seiring dengan kepesatan teknologi dan perkembangan dunia komunikasi yang semakin pantas. Pelbagai gajet dan aplikasi terkini yang tujuan asalnya untuk kebaikan namun dimanupulasi penjenayah. Malah kebijaksanaan penjenayah yang berselindung di sebalik kecanggihan teknologi antara cabaran bagi pihak PDRM menangani jenayah siber. Perubahan pantas terutama modus operandi yang sentiasa bertukar juga memerlukan polis lebih peka dan bersedia dengan pengetahuan serta kelengkapan yang mencukupi.

Jika dibandingkan negara lain, adakah tahap keseriusan memainkan isu 3R di Malaysia lebih teruk?
Prinsip undang-undang, no one is above the law dan all are equal in the eyes of law sebagaimana peruntukan Perkara Perlembagaan Persekutuan adalah terpakai dalam penyiasatan kes-kes melibatkan 3R. Berdasarkan prinsip ini, semua individu tanpa mengambil kira latar belakang atau status politik yang melakukan kesalahan isu tersebut akan disiasat.
Selain Malaysia, terdapat negara lain menjadikan ucapan kebencian sama ada melalui pertuturan atau penulisan yang cuba menggalakkan kebencian atau keganasan terhadap seseorang atau kumpulan berdasarkan isu 3R, jantina atau orientasi seksual adalah satu kesalahan yang berkuat kuasa di Thailand serta Indonesia.
Bagaimanapun, situasi yang berlaku di Malaysia masih baik dan terkawal ekoran tindakan proaktif diambil PDRM dengan menjalankan siasatan dan memberi amaran.

Undang-undang sedia ada memadai kekang perbuatan memainkan isu 3R?
Undang-undang sedia ada dilihat sudah memadai dalam memastikan keharmonian kaum di negara ini terpelihara. Dalam konteks ini, peruntukan yang lazim diguna pakai untuk siasatan kes melibatkan isu perkauman ialah Seksyen 4(1) Akta Keseksaan. Seksyen 3 Akta Hasutan 1948 mengkategorikan kecenderungan menghasut termasuk mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja serta bagi mengembangkan perasaan niat jahat atau permusuhan antara kaum.
Tiada sebarang peruntukan kesalahan melibatkan agama dalam akta 15 sebaliknya siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 298a atau Seksyen 298 Kanun Keseksaan. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 digunakan apabila kenyataan yang disiasat ditularkan melalui media sosial.
Bagaimanapun, penambahbaikan udang-undang sedia ada perlu diperhalusi seperti memasukkan tafsiran penerbitan elektronik, mengkaji hukuman serta kuasa PDRM dalam menjalankan serbuan di bawah Akta Hasutan 1948.

PILIHAN RAYA NEGERI 2023
Nasihat Tan Sri kepada pengundi dan pemimpin parti politik yang sedang berkempen?
PDRM menasihatkan semua parti politik agar mematuhi undang-undang dan mengawal serta menjaga ahli dan petugas masing-masing. Begitu juga ceramah yang diadakan haruslah tidak menyentuh isu 3R.
Selain itu, penyokong parti politik diharapkan mengamalkan etika yang baik dan sentiasa mematuhi peraturan pilihan raya. Jangan melakukan provokasi dan kekacauan yang boleh mewujudkan suasana tegang. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×