Misteri kubur di pekarangan masjid - Utusan Malaysia

Misteri kubur di pekarangan masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kolum Seram

SEORANG lelaki yang singgah bersolat di Masjid Jame Kampung Dew terletak di Gunung Semanggol, Perak berasa cukup pelik.
Dia tertarik dengan dua kubur yang terletak di dalam pekarangan masjid itu. Tak lekang matanya memandang sehingga membuak-buak rasa ingin tahu.
Dia mendekati kubur yang terletak bersebelahan pintu masuk ruang solat yang hanya tinggal sebiji batu nisan saja sebagai penanda. Sebuah lagi terletak di bahagian luar hadapan masjid.
Kerana ingin tahu, dia lantas membelek-belek nisan yang sedikit kusam itu. Tiada nama atau tarikh kematian tercatat.
Pelbagai persoalan mula muncul. Siapa pemilik kubur ini? Kenapa ia terletak di situ, sedangkan ada tanah perkuburan yang luas di belakang masjid? Atau adakah kubur itu milik para wali?
Tapi dia lupa. Sebenarnya bukan dia sahaja yang tertanya-tanya tentang kewujudan dua kubur tersebut. Semua orang yang pertama kali berkunjung akan bertanya perkara sama.
“Kenapa kubur ni ada di sini pak cik? Kubur siapa ini?’ lelaki tersebut bertanya kepada seorang lelaki tua yang kebetulan sedang menyusun kerusi di luar masjid.
“Ada ceritanya,” jawab lelaki tua itu sambil menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya. Namanya Abdul Rahim Tahar. Usianya, 69 tahun. Rupanya lelaki tua itu ialah siak di masjid tersebut.
“Apa kisahnya?” tanya lelaki tadi yang mula tertarik. Teringin benar dia hendak mengetahui kisah di sebalik dua buah kubur lama tadi.
“Dulu banyak kubur lama tepi masjid ni. Bila nak besarkan masjid, kita alihkan ke tapak baru. Tinggal dua kubur ini saja yang tak alih,” ujar Rahim serius.
“Kenapa?” tanya lelaki tadi yang semakin teruja. Tak sabar pula dia hendak mengetahui kisah selanjutnya.
“Sebabnya, waris dua kubur ni tak bagi. Itu saja,” jawab Rahim tersenyum.
Lelaki tadi terkedu. Itu sahaja? Dia seakan-akan tidak percaya dengan jawapan yang didengarnya tadi. Kecewa sungguh. Ingatkan ada kisah menarik di sebalik dua kubur lama tersebut.
“Ya, sebab tu saja,” jawab Rahim mengangguk, “Tapi ada kisah misteri pada masjid ni,” sambung Rahim lagi yang membuatkan lelaki tadi kembali tersenyum.
Kemudian, Rahim yang merupakan penduduk asal Kampung Dew, mula bercerita tentang masjid berusia ratusan tahun itu.
Katanya, masjid itu kerap didatangi makhluk dari alam lain yang tak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Kejadian ini pula biasanya berlaku semasa solat Maghrib.
“Dulu masjid ini ada kolah. Masa itu, selalu sangat bila kita tengah baca tahiyat akhir, mesti dengar air kolah berkocak macam orang ambil wuduk. Tapi sampai ke sudah tak ada sesiapa pun yang masuk sembahyang.
“Bila selalu jadi macam tu, satu hari saya terus bangun pergi tengok sebaik selesai solat. Peliknya, tak ada orang kat tempat wuduk tu. Tapi air kolah masih berkocak. Padahal saya sampai beberapa saat saja lepas bunyi air kolah berkocak. Kalau orang, mustahil boleh hilang sekelip mata saja,” cerita Rahim.
Disebabkan perkara itu, Rahim yakin bunyi-bunyian orang mengambil wuduk itu bukannya datang daripada manusia sebaliknya makhluk lain yang datang untuk bersolat atau ‘bertandang’ ke masjid tersebut.
Cerita Rahim lagi, selain kejadian air kolah berkocak, pernah juga dia melihat kelibat seseorang bersolat di saf belakangnya melalui hujung mata. Ketika itu, hanya Rahim saja yang bersolat sunat kerana dia tiba lebih awal.
Selesai solat, Rahim terus berpaling ke belakang. Kosong. Tiada sesiapa di dalam masjid kecuali dirinya seorang.
“Tapi cerita yang satu ni memang saya ingat benar. Puasa tiga tahun lalu, saya sampai awal di masjid. Lebih kurang pukul 5 pagi. Ketika hendak melangkah masuk selepas buka pintu masjid, tiba-tiba saya terdengar satu suara menegur.
“Kata suara itu, masuk masjid pun tak nak bagi salam? Memang saya terkejut. Saya pandang keliling tapi tak nampak kelibat orang lain. Saya terfikir mungkin ada jin Islam di situ yang tak senang cara kedatangan saya,” cerita Rahim tersengih.
Selain Rahim, jemaah lain juga mengakui tentang kewujudan kejadian-kejadian aneh di masjid tersebut. Seorang jemaah bernama Zainol turut mengalami kejadian sama.
“Pernah masa tengah bersolat saya dengar bunyi budak-budak berlari. Rancak sungguh. Lari sana, lari sini. Tapi bila kita selesai solat bunyi tadi terus senyap,” cerita Zainol yang mengaku bunyi-bunyi begini kebiasaannya berlaku sewaktu solat Maghrib atau sewaktu hujan renyai-renyai. Jika hujan selalu tidak ramai orang kampung yang datang berjemaah dan ketika inilah bunyi-bunyi tersebut akan kedengaran.
Menurut Zainol, banyak lagi kisah aneh tentang masjid itu yang diceritakan orang kepadanya.
Pernah diceritakan satu ketika dahulu, seorang jemaah tabligh menumpang tidur di masjid ini.
Sedang lena tiba-tiba jemaah tadi terjaga apabila dikejutkan dengan kehadiran empat lelaki misteri berjubah putih.
Semua lelaki itu terus masuk ke dalam masjid dan bersolat.
“Habis solat, empat lelaki itu terus ghaib macam itu saja. Langsung tak ada bunyi atau kelibat mereka tinggalkan masjid,” kata Zainol.
Cerita-cerita ini turut diakui oleh Ahmad Hamid yang pernah mengalami sendiri satu kejadian aneh ke atas dirinya beberapa bulan lalu.
Malam itu, Ahmad buat keputusan untuk bermalam di masjid sahaja. Hendak balik, hujan terlalu lebat. Dia pula datang ke masjid dengan motosikal sahaja.
“Tidur masjidlah,” bisik Ahmad. Lagipun, dia sudah biasa tidur di dalam masjid tersebut sebelum ini.
Tapi entah mengapa, pada malam tersebut, Ahmad buat keputusan untuk tidur di ruang solat tidak seperti malam-malam sebelum ini.
“Tengah tidur, tiba-tiba saya rasa sesak nafas. Badan ni macam kena hempap dengan objek berat sangat. Masa tu saya dah bernafas tercungap-cungap. Macam tinggal nyawa ikan.
“Sakitnya pula tak terkata. Seumur hidup tak pernah saya rasa sakit macam tu. Susah nak gambarkan. Saya ibarat bertarung dengan maut. Tapi lepas baca doa dan ayat Kursi, baru saya pulih.
“Silapnya, lepas tu saya masih tidur di tempat sama. Apa lagi, saya kena kali kedua. Sudah dua kali kena macam tu, baru saya tidur luar,” ujar Ahmad tersenyum tentang kejadian menimpanya sebelum menyambung, “Mungkin ada ‘seseorang’ yang marah saya tidur dalam masjid,” sambung Ahmad lagi.
Sebab itu mereka semua percaya, selain penduduk kampung yang datang bersolat, masjid itu turut menerima tetamu daripada makhluk ghaib.
“Mungkin bunian atau jin Islam,” terang Rahim sambil sesekali matanya mengintai ke arah dalam masjid. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×