ALOR SETAR: Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) berpeluang untuk mengekalkan kerusi milik Pakatan Harapan (PH) itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyandang DUN berkenaan, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, Pengerusi PH Kedah itu bagaimanapun perlu berusaha lebih keras untuk memenangi hati pengundi di DUN tersebut.
“Saya lihat peluangnya adalah 51/49 antara Mahfuz dan pencabarnya, Mohd. Radhi Mat Din (Perikatan Nasional). Ada sedikit kelebihan kepada Mahfuz kerana penyandang kerusi itu daripada PH. Saya sudah memberi khidmat di situ dan penduduk mengenali PH.
“Cuma saya rasa PH dan Mahfuz kena kerja kuat sikit lagi untuk perkenal diri kepada sebanyak mungkin pengundi di kawasan itu. Dua-dua calon ini orang luar namun kelebihan PH adalah atas khidmat yang diberikan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
MUSTAHIL
Phahrolrazi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR Kedah berkata, bukan sesuatu yang mustahil untuk PH mengekalkan kerusi DUN itu selepas melihat kepada gelombang hijau yang semakin merudum ketika ini.
“Gelombang hijau Pas sudah menurun, nama pun gelombang ia akan naik tetapi akan turun juga. Saya rasa sudah maksimum semasa pilihan raya lalu dan keputusan dahulu juga tidak boleh dijadikan petunjuk kepada PRN.
“Saya nyatakan dalam konteks Alor Mengkudu. Jadi keputusan sebenarnya mereka melihat faktor calon berdasarkan kaum jadi dua calon daripada BN/PH bukan Melayu tetapi Cina. Alor Mengkudu ini lebih 75 peratus adalah pengundi Melayu, jadi faktor kaum agak kuat pada ketika itu mempengaruhi cara mereka memilih.
“Jadi bacaan gelombang itu sebenarnya gelombang Melayu tetapi ketika ini dua-dua calon itu adalah Melayu. Faktor itu yang akan dipertimbang oleh pengundi,” katanya.
Jelasnya, walaupun tidak dicalonkan dalam PRN ini, beliau tetap membantu jentera PH di kawasan itu.
“Saya sebenarnya sudah empat penggal berkhidmat dan usia sudah cecah 70 tahun jadi saya terima apa sahaja keputusan parti. Fokus sekarang adalah sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR Kedah, saya harus pastikan parti mempertahan kerusi status quo kita yang banyak di selatan.
“Namun di Alor Mengkudu saya tetap meminta supaya penyokong saya membantu gerak kerja PH di kawasan itu untuk memenangkan calon kita,” katanya.
Pada PRU14, Phahrolrazi memenangi DUN Alor Mengkudu dengan majoriti 1,876 undi menewaskan calon Pas dan BN. – UTUSAN










