Ahli Pas tulen takkan keluar parti - Utusan Malaysia

Ahli Pas tulen takkan keluar parti

NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak akan ada ahli Pas keluar parti selepas ini seperti beberapa individu yang bertindak sedemikian dengan menubuhkan parti Islam lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ini kerana calon Pas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 khususnya perlu menyatakan janji setia iaitu baiah untuk terus kekal bersama Pas dan mereka boleh dikenakan sumpah laknat sekiranya melanggar janji tersebut.

“Kita dalam Pas ada baiah yakni kita buat satu janji setia di antara calon dengan parti dan calon dengan Allah. Ini bermakna orang yang melanggar baiah ini tak akan selamat. Sebab dah berjanji dengan Allah supaya diri dia dilaknat sekalian makhluk.

“Jadi siapa nak bertanding kena lafazkan baiah itu dan kalau tak nak, sila bertanding atas nama parti yang lain,” katanya.

Katanya, meskipun baiah tersebut sudah dilaksanakan sejak dulu lagi, namun kali ini tapisan lebih rapi akan dibuat bagi memastikan calon tersebut ‘tulen’ dan tidak menggunakan Pas sebagai tiket untuk memenangkan agenda sendiri.

Mengukuhkan perkara itu lagi, jelas Nik Zawawi, Pas kini mempunyai ahli yang ditarbiyah sepenuhnya oleh parti Islam itu serta tidak berselindung dengan ajaran lain menerusi beberapa kumpulan selain Pas.

“Dalam Pas hanya mempunyai anggota yang ditarbiah Pas sahaja, bukan seperti beberapa individu sebelum ini yang terdiri daripada ahli Jemaah Islah Malaysia (JIM), kumpulan syiah dan kemudiannya bertanding atas tiket Pas.

“Oleh sebab itu, Pas yakin perkara itu tidak akan berulang dan mana-mana manusia yang melompat keluar dari Pas, memang takkan selamat,” ujarnya lagi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×