APABILA bercakap soal ubah suai rumah, ia pasti mengundang pelbagai reaksi. Ini kerana, terdapat pelbagai alasan pemilik kenapa hendak mengubah suai rumah mereka.
Jika pernah ubah suai rumah, anda pasti tahu apa perasaannya setelah melihat rumah jadi lebih cantik hasil pelaburan ribuan ringgit yang telah dibuat.
Persoalannya, adakah ubah suai kediaman itu satu keperluan atau hanya kehendak?
Pemilik rumah Norfazlin Abd. Ghafar, 39, berkongsi pengalaman dalam mengubah suai rumahnya dengan tujuan meningkatkan mutu kehidupan.
“Bagi saya, ubah suai rumah bukan satu kemestian kerana ia bergantung kepada bajet yang kita ada.
“Rumah adalah tempat untuk kita healing, istirahat dan membina kehidupan yang lebih selesa dan bahagia bersama keluarga. Jadi, bila kita ada kediaman yang selesa, hidup kita akan lebih sihat. Kediaman yang bersih dan teratur adalah idaman setiap wanita dan keluarga.
“Kos ubahsuai rumah yang telah dilakukan adalah kira-kira RM300,000 termasuk perabot dan kolam ikan di tepi rumah.
“Rumah ini sudah 10 tahun saya diami dan tidak pernah didiami oleh orang lain sebelum ini. Pendek kata, ia seperti rumah baharu walaupun rumah ini subsale,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Norfazlin berkata, dia telah membuat ubah suai dibahagian dapur serta bilik tidur utama mengikut cita rasa sendiri.
Perubahan itu dilakukan untuk memudahkan tetamu dan ahli keluarga yang sudah berusia menjalankan aktiviti harian mereka.
“Idea ubah suai rumah ini sepenuhnya daripada saya dan suami. Kami tidak menggunakan pereka hiasan dalaman. Renovasi rumah ini mengambil masa enam bulan juga untuk siap kerana ia telah dijalankan sewaktu negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ubah suai rumah bagi saya adalah satu kehendak sahaja, kerana jika kita tidak mampu tidak perlu dilakukan.
“Rancang kewangan dengan baik dan gunakannya pada tempat yang lebih penting untuk meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini,” nasihat beliau.
Sementara itu, bagi Aidiliza Mohd. Maideen, 49, sebelum membuat sebarang ubah suai, pemilik perlu perhati dan senaraikan terlebih dahulu apa yang sangat diperlukan.
Sebagai contoh, katanya, untuk rumah baharu, ruang makan dan ruang tamu yang perlu diasingkan dengan sesekat (partition), tandas yang perlu ditambah baik supaya mesra kanak-kanak dan orang tua, dapur yang diubahsuai lengkap dengan kabinet serta ruang dobi yang selesa dan selamat.

“Untuk rumah subsale pula, perlu diperhatikan apa yang masih dalam keadaan baik untuk digunakan. Jangan terlalu mengikut nafsu atau terikut-ikut cara orang lain yang lebih berkemampuan.
“Kos ubah suai rumah yang telah dikendalikan setakat ini adalah antara RM20,000 hingga RM60,000 bergantung kepada keadaan rumah.
“Apa yang boleh dipakai, saya akan guna pakai, tetapi mana yang telah rosak sepenuhnya terpaksa diganti baharu.
“Saya mendahulukan ubah suai di bahagian dapur kerana ia adalah tempat memasak. Zaman sekarang ini semakin mencabar, jadi ubah suai perlu dilakukan pada bahagian penting dan utama terlebih dahulu.
“Ubah suai rumah terbahagi kepada keperluan dan kehendak. Keperluan adalah apabila kita ingin menggunakan ruang itu dengan selamat dan bersifat harian, manakala kehendak pula apabila kita terlalu optimis untuk rumah kelihatan menarik dan cantik,” katanya.
Aidiliza berkata, untuk pembeli rumah subsale dan rumah baharu, mereka dinasihatkan senaraikan keperluan utama terlebih dahulu.
“Apabila anda telah masuk ke dalam rumah baharu nanti, anda akan mula rasa ada beberapa perkara yang ingin anda lakukan mengikut cita rasa dan keperluan anda.
“Jangan sampai berhabisan wang berpuluh ribu ringgit untuk renovasi tetapi ia sebenarnya bukan apa yang anda perlukan,” katanya. – UTUSAN










