Percaturan dua gabungan, 570 calon rebut 245 DUN

Percaturan dua gabungan, 570 calon rebut 245 DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dibuka semalam menyaksikan 570 calon disahkan layak bertan­ding bagi merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala dua lagi calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Majoriti kawasan menyaksikan pertembungan antara dua gabungan parti terbesar iaitu Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Selepas proses penamaan sema­lam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan satu kertas calon ditolak di DUN Kota Lama, Kelantan daripada Bebas dan tiada kerusi menang tanpa ber­tanding.

Perebutan kerusi menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini menyaksikan pertandingan tertinggi lima penjuru di DUN Lunas, Kedah dan satu lawan satu sebanyak 181 kerusi diikuti tiga penjuru (51 kerusi) dan empat penjuru 13 kerusi yang akan ditentukan 9,773,571 pengundi berdaftar.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, calon parti Perikatan Nasional (PN) paling ramai bertanding melibatkan 168 orang, diikuti Pakatan Harapan (PH) 138, Barisan Nasional (BN) 108 dan Pas 78.

Selain itu, jumlah calon yang bertanding bagi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) 19 orang, Parti Rakyat Malaysia (13), Parti Sosialis Malaysia (4), Penang Front Party (2), Parti Utama Rakyat (1) dan calon bebas seramai 41 orang.

“Seramai 501 calon dalam kalangan lelaki manakala 71 orang calon wanita dan umur calon tertua 80 tahun di DUN Pantai Jerejak dari parti PRM dan calon termuda 23 tahun di Bukit Antarabangsa daripada parti MUDA,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

SPR turut mengesahkan ca­lon paling ramai dalam kalangan umur 50 hingga 59 tahun melibatkan 204 orang dan calon me­lebihi 60 tahun (111) manakala 40 hingga 49 tahun (157).

Hanya 100 calon muda berumur antara 20 hingga 39 tahun.

Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan sehingga pukul 11.59 malam 11 Ogos ini.

PRN kali ini juga menyaksikan kemunculan muka-muka yang pernah mewarnai pentas politik tanah air seperti bekas menteri besar, bekas menteri Kabinet dan pemimpin politik yang tewas pada pilihan raya sebelum ini serta tidak dicalonkan sekali gus menjadi calon Bebas.

Setiap daripada mereka berdepan antara dua hingga empat penjuru khususnya membabitkan dua blok gabu­ngan BN-PH dan PN.

Antara mencuri tumpuan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang yang menyandang kerusi Sikamat berdepan calon PN, Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua calon Bebas iaitu Bujang Abu serta Mohammed Hafiz Baharudin.

Menteri Besar Selangor, Da­tuk Seri Amirudin Shari ber­depan pertembungan tiga pen­juru ditentang calon PN Mu­hammad Hanif Jamaluddin dan calon Bebas, G. Suman.

Bagaimanapun tiga pe­mimpin PN iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob manakala Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yew daripada PH masing-masing berdepan sai­ngan satu lawan satu.

Dua Menteri Kabinet, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pe­ngangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan mempertahankan kerusi Rantau dan Chennah.

Terdapat tiga bekas Menteri Kabinet juga disahkan menjadi calon iaitu bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang membuat kemunculan semula selepas 15 tahun di kerusi Pedu dan Datuk Reezal Merican Naina Merican selaku bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencuba nasib di DUN Bertam.

Hanya bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang berdepan tiga penjuru apabila beliau berhadapan calon PN, Ivan Kong dan Tee Yee Cheu (Parti Rakyat Malaysia).

Dua bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Said yang juga Pengerusi UMNO negeri dan Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abd. Rahman masing-masing bertembung dua bekas pemimpin UMNO, Datuk Razali Idris di Kijai dan Khazan Che Mat di Seberang Takir.

Sementara itu, PRK Parlimen Kuala Terengganu me­nyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH dan PN apabila sekali lagi mempertaruhkan penyandang kerusi Datuk Ahmad Amzad Hashim manakala PH mempertaruhkan Azan Ismail daripada PKR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×