WALAUPUN suhu politik negara kian panas di enam buah negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, Johor yang ‘agak’ tenang sebelum ini turut mula merasai bahang pilihan raya.
Ini ekoran Johor bakal menjadi ‘tuan rumah’ bagi parti dan pemimpin politik untuk berkampung kerana akan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
PRK bagi kedua-dua kawasan tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.
Walaupun belum ditentukan tarikhnya, PRK tersebut dianggap sebagai ‘ujian kedua’ bagi kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRN di enam negeri bulan depan.
Malah, keputusan PRN tersebut nanti dipercayai akan memberi kesan besar terhadap sokongan pengundi pada PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
Di peringkat negeri Johor, keputusan PRK DUN Simpang Jeram tidak akan memberi kesan besar kepada kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) yang kini mempunyai majoriti besar pada PRN Johor pada Mac 2022, iaitu memenangi 40 daripada 56 kerusi.
Andai calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan kerusi itu nanti, kemenangan tersebut hanya menjadi interpretasi terhadap sokongan berterusan pengundi terhadap calon dan parti berkenaan.
Namun, pertandingan pasti terarah ke Parlimen Pulai. PH pasti ingin mempertahankan kemenangan tersebut kerana kejayaan itu bukan sahaja mencerminkan gabungan tersebut tetap mendapat sokongan padu daripada pengundi Pulai yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat UMNO/BN, malah turut mengekalkan majoriti kerusi yang membentuk kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.
PH menerusi Amanah juga pastinya akan berusaha mempertahankan kerusi tersebut kerana bukan mudah untuk merampasnya daripada BN suatu ketika dahulu.
Apa tidaknya, percubaan kali pertama Allahyarham Salahuddin untuk merampas kerusi tersebut gagal pada PRU13, namun beliau berjaya memenanginya pada cubaan kedua, iaitu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Malah, usaha BN untuk merampas semula kerusi tersebut pada PRU15 bukan sahaja gagal, malah Allahyarham Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah yang terus diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi tersebut menang dengan majoriti lebih besar, iaitu 32,174 undi berbanding 28,924 undi pada PRU14.
Andai dilihat berdasarkan sokongan dan jumlah undi yang diperoleh Salahuddin yang mewakili PH, iaitu 64,900 dan 31,726 diraih Nur Jazlan Mohamed yang mewakili BN yang kini kedua-dua bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan, jumlah keseluruhannya pasti mampu memenangkan calon yang akan ditampilkan nanti untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Walau bagaimanapun, situasi itu bukan gambaran sebenar tahap sokongan seramai 117,302 pengundi di Parlimen tersebut kerana pasti dipengaruhi pelbagai faktor, khususnya isu-isu yang dibangkitkan nanti.
Namun, siapa susuk calon yang akan diketengahkan Perikatan Nasional (PN) nanti juga tidak harus diambil enteng kerana pada PRU15, calon gabungan itu, Loh Kah Yong mampu mendapat 20,677 undi.
Andai pertembungan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram nanti melibatkan pertandingan satu lawan satu, kelebihan dijangka berpihak kepada BN-PH, tetapi jika melibatkan pertandingan tiga atau empat penjuru, saingan pastinya lebih sengit. – UTUSAN











