ADA harga mahal yang perlu dibayar UMNO dalam kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Seperti diumumkan, UMNO akan bertanding hanya di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan menjadi satu-satunya komponen parti Barisan Nasional (BN) yang menyertai PRN di negeri itu.
Jumlah enam kerusi itu jauh lebih rendah berbanding 15 kerusi DUN yang secara tradisinya ditandingi UMNO di Pulau Pinang termasuk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Sudah pasti, ada rasa kecewa dalam kalangan pemimpin UMNO Pulau Pinang memandangkan parti itu masih berharap untuk sekurang-kurangnya mendapat dua lagi kerusi DUN termasuk di Parlimen Permatang Pauh.
Bagaimanapun, UMNO Pulau Pinang perlu berlapang dada yang mana dalam kerjasama kerajaan perpaduan di negeri yang merupakan kubu kuat PH, jumlah enam kerusi DUN yang diberikan dilihat realistik dan memadai.
Pujian juga wajar diberikan kepada UMNO Pulau Pinang yang nampaknya tidak main-main dalam meletakkan calon mereka di enam kerusi DUN terbabit. Diketuai Timbalan Pengerusi UMNO negeri sendiri, iaitu Datuk Dr. Shaikh Hussein Mydin yang akan bertanding di DUN Sungai Dua. UMNO turut mencalonkan seorang lagi wakil heavyweight mereka, iaitu bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk bertanding di DUN Bertam.
Selain mereka, penyandang DUN Permatang Berangan, Norhafizah Othman turut dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi itu.
Tiga lagi calon ialah Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Rashidi Zinol yang akan bertanding di DUN Sungai Acheh serta dua calon muda, Mohd. Naim Salleh (DUN Penaga) dan Ahmad Zaki Shah Shah Headan (DUN Teluk Bahang).
Melihat kepada barisan calon UMNO itu, tidak syak lagi ada kesungguhan dan keinginan luar biasa buat parti tersebut memenangi kerusi yang diperuntukkan seterusnya menyumbang kepada pembentukan kerajaan perpaduan yang kuat di Pulau Pinang pada PRN akan datang.
MENTERI KANAN
Mencalonkan Reezal Merican di kerusi DUN Bertam misalnya, adalah pertaruhan beriskio tetapi berani memandangkan kredibiliti beliau yang lebih sinonim di peringkat kerajaan Pusat sebagai menteri kanan dengan beberapa portfolio penting sebelum ini. Sudah pasti pencalonan Reezal Merican adalah satu tawaran yang sangat baik kepada penduduk Pulau Pinang kerana kemenangan beliau akan membolehkan pengalaman dan kepakarannya ketika berada dalam jemaah menteri Kabinet sebelum ini digunakan untuk memperkasakan pentadbiran kerajaan negeri kelak.
Begitu juga pencalonan Shaikh Hussein yang diketahui merupakan pemimpin berpengalaman dalam UMNO negeri serta Norhafizah yang cemerlang dalam perkhidmatannya ketika bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan sebelum ini.
Apa yang pasti, kemenangan calon-calon UMNO ini akan membolehkan mereka dilantik ke jawatan dalam kerajaan negeri sekiranya PH kekal berkuasa selepas PRN seperti jaminan yang diberikan Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Tidak mustahil juga, salah satu jawatan Timbalan Ketua Menteri akan menjadi milik pemimpin UMNO melihat kepada permuafakatan yang diamalkan dalam kerajaan perpaduan ketika ini. Kali terakhir UMNO mempunyai wakil dalam kerajaan negeri Pulau Pinang adalah pada penggal pentadbiran 2004 hingga 2008 sebelum DAP menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan menguasai negeri itu pada PRU12.
PROTES
Cabaran UMNO kini adalah bagaimana untuk meyakinkan penyokong dan ahli-ahli mereka agar kekal setia mengundi parti itu di sebalik kerjasama pertama kali dengan PH di Pulau Pinang. Perlu diakui, masih terdapat sekelompok para penyokong dan ahli UMNO yang sukar menerima kerjasama parti itu dengan PH khususnya DAP ketika ini memandangkan perseteruan yang panjang dan cukup lama antara kedua-duanya.
Meskipun acap kali dicanangkan berkenaan realiti politik semasa yang memerlukan kedua-dua parti itu membentuk kerjasama bagi membolehkan sebuah kerajaan dibentuk di peringkat Pusat, namun ia tidak mudah dihadam oleh penyokong dan ahli UMNO khususnya pengundi luar bandar.
Apa yang dibimbangi, kelompok pengundi ini pada PRN kelak akan membuat keputusan berkecuali, iaitu tidak akan keluar mengundi atau lebih parah, menunjukkan tanda protes terhadap kerjasama UMNO dan PH tersebut dengan mengundi parti lawan. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pulau Pinang.










