PETALING JAYA: Tiga individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan pihak berkuasa Isnin lalu, sekali gus melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.
Menerusi operasi khas Op 82S itu, sejumlah wang tunai dianggarkan RM38 juta dirampas bersama emas anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 kereta mewah antaranya Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz juga telah disita.
Operasi dilakukan Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia-Multi Agency Task Force (MATF) diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di 34 lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Sumber mendedahkan, operasi itu sekali gus melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.
Kata sumber itu, Op 82S merupakan kes pertama yang dijalankan di bawah Pasukan Petugas MATF yang dipengerusikan oleh Peguam Negara.
“Operasi ini juga dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security Malaysia (CSM).
“Sebanyak 315 pegawai pelbagai agensi terlibat dalam operasi ini,” kata sumber itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut.
Kata beliau, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA)2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan, ahli perniagaan terbabit telah dibebaskan dengan jaminan.
Dia dikenali selepas membawa artis dari luar membuat persembahan konsert di Malaysia.
Dia juga disyaki mempunyai beberapa syarikat yang menjalankan perniagaan seperti hartanah dan emas. – UTUSAN










