Bersantai di ‘angkasa lepas’ - Utusan Malaysia

Bersantai di ‘angkasa lepas’

DATUK Ada Poon tampil dengan idea hotel angkasa lepas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Semasa melancong di luar negara, saya melihat banyak ciri dan elemen pelancongan yang unik dan menarik. Sebab itulah saya memutuskan untuk membawa konsep dan idea-idea menarik itu sebagai antara kaedah yang dijalankan dalam mempromosi Malaysia,” ujar Datuk Ada Poon.

Hasrat Pengarah Urusan AmLeisure Group Datuk Ada untuk berbakti kepada Malaysia menjadi kenyataan apabila berjaya menjalankan pelbagai jenis perniagaan yang ditumpukan khas dalam sektor pelancongan. Antaranya yang menjadi sebutan ialah Space Hotel.

Hotel berkonsepkan angkasa lepas ini menarik kehadiran ramai pelancong tempatan dan asing, lantaran keunikan dan kreativiti ditawarkan, serasi dengan prisip dipegang Ada yang ‘Kita harus menjadi lebih kreatif dan mencipta kelainan’.

JADI BUAH MULUT

Space Hotel terletak di Petaling Street mula menjadi buah mulut pelancong tempatan dan asing memandangkan hotel berkenaan memberi peluang kepada pengunjung untuk bersantaian dan merasai suasana seperti berada di angkasa lepas.

Sejujurnya saya sendiri berasa teruja ketika mengunjungi hotel ini baru-baru ini.

Setiap katil direka dengan bentuk kapsul angkasa yang dilengkapi sebuah televisyen, peti besi keselamatan, meja dan fon telinga.

Kapsul ini ada privasi dan selamat untuk setiap penginap kerana ia boleh ditutup sepanjang masa dan hanya pemegang kad sahaja mempunyai akses keluar masuk.

Menurut Ada, hotel yang baru berusia empat tahun ini bukan sahaja menjadi kegemaran pelancong ala-backpacker dari Eropah tetapi juga penduduk tempatan.

“Setiap hari hampir 70 peratus daripada kesemua 82 bilik kapsul ini ditempah,” tambahnya.

Kedudukan lokasi hotel yang terletak di tengah-tengah pusat bandar, antara sebab utama Space Hotel menjadi kegemaran pelancong backpacker.

Hanya dengan berjalan kaki, pengunjung boleh pergi ke lokasi pelancongan seperti Central Market, Masjid Jamek, Dataran Merdeka dan segala pusat pelancongan.

“Hotel yang bercirikan angkasa lepas ini bukan sahaja membawa keceriaan kepada kanak-kanak bahkan dapat menimbul perasaan minat untuk menerokai dunia angkasa lepas,” tegas Datuk Ada sewaktu ditanya mengenai kelainan ditawarkan premis ini.

Selain di Petaling Street, Space Hotel turut mempunyai cawangannya di Mantin, Negeri Sembilan yang berbentuk pusat peranginan.
Namun hanya mereka yang pernah menginap di Space Hotel, Petaling Street sahaja diberi peluang untuk menginap di sana.

ROBOT JADI PEKERJA

Menurut usahawan wanita ini, antara cabaran awal untuk menguruskan hotel ini ialah mendapatkan pekerja yang sesuai.

“Kesukaran itu menyebabkan saya menggantikan pekerja manusia dengan robot dan segalanya menjadi lebih mudah.

“Kami mempunyai pekerja yang bertugas mengemaskan bilik dan beberapa buah robot yang mempunyai tugasan khusus,” kata Ada.

Dua buah robot bertugas membawa makanan kepada pelanggan, manakala dua buah robot lain dikhususkan untuk menghiburkan tetamu.

Empat buah robot lainnya membuat kerja pembersihan dan yang paling menariknya adalah sebuah robot yang bertugas sebagai penyambut tetamu.
“Kalau dah sampai ke hotel, anda hanya perlu berurusan dengan robot untuk pendaftaran masuk. Menarikkan?,” katanya.

Cabaran lain ialah, memandangkan hotel ini hanya mempunyai 82 kapsul, maka bukan mudah untuk mereka menerima pelanggan yang datang dalam kumpulan besar.

“Tahun depan kami merancang untuk membuka cawangan baru hotel ini sebagai persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2025.

“Begitupun bukan senang membuka cawangan baru, kami kena cari lokasi yang sangat bagus untuk pelancong backpacker,” tambahnya.

Antara lokasi sedang difikirkan untuk membuka hotel dengan konsep serupa ialah di Melaka, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, akan tetapi cabarannya ialah mendapatkan lokasi yang memudahkan para pelancong.

Mengulas mengenai keselamatan, kata Ada presmis berkenaan memang menitikberatkan aspek berkenaan.

“Kalau nak pergi ke negeri lain pun, pengunjung boleh membiarkan barangan mereka di bilik hotel.

“Tak ada apa yang perlu dirisaukan kerana semuanya selamat bahkan perkhidmatan diberikan cukup memuaskan,” katanya.

Mengenai pilihan bilik, hotel pengunjung boleh memilih untuk mendapatkan bilik kapsul bujang, khusus untuk wanita, untuk pasangan atau untuk keluarga sama ada dengan tandas kongsi atau di bilik sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×