Berkorban kesihatan demi rakyat - Utusan Malaysia

Berkorban kesihatan demi rakyat

SALAHUDDIN Ayub (tengah) bergambar bersama-sama Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan (kiri beliau), pegawai-pegawai kanan dan mahasiswa universiti terbabit selepas melancarkan Jelajah Jualan Rahmah Peringkat Negeri Kedah sempena Pesta Konvokesyen Ke-35 UUM, 21 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebelakangan ini, keadaan ekonomi negara sudah semakin baik. Banyak komen positif telah mula dikeluarkan oleh para penganalisis ekonomi, khasnya ke atas trend pengukuhan nilai ringgit.

Salah seorang daripada mereka ialah Ketua Penyelidik Ekuiti Malaysia dan Serantau Maybank Investment Bank Group (Maybank IBG), Anand Pathmakanthan, yang dipetik sebagai berkata, bahawa prospek ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka positif menjelang suku keempat tahun ini susulan tinjauan stabil pertumbuhan ekonomi China dan pendirian Rizab Persekutuan (Fed) AS yang kurang agresif terhadap kenaikan kadar faedahnya.

Mengikut Anand, ini terbukti apabila ringgit mengukuh secara pantas ke paras RM4.52 sedolar pada awal minggu lepas berbanding RM4.66 seminggu sebelumnya, didorong kemerosotan mendadak dolar AS susulan inflasi negara itu pada Jun meningkat lebih perlahan tiga peratus, menjadikan ringgit berpotensi mengukuh lebih pantas berbanding mata wang baharu muncul lain kerana ia antara mata wang yang berada di bawah nilai pada enam bulan pertama tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganalisis ekonomi lain, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai pula berkata, beliau memang menjangkakan ringgit akan pulih sedikit selepas Fed AS tidak menaikkan kadar faedah mereka pada Jun lepas dan kita akan lihat kelemahan dolar AS akan berterusan secara beransur-ansur.

Tambah beliau, ringgit diunjurkan berada pada paras RM4.40 berbanding dolar AS dalam tempoh tiga bulan akan datang dan seterusnya balik kepada RM4.24 seperti selepas perubahan kerajaan. Pengukuhan nilai ringgit sebenarnya tidak begitu mengejutkan.

Pada 27 Jun lalu, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), Adnan Zaylani, menyebut dalam mesyuarat FMC mengenai Pasaran Pertukaran Asing Ringgit, BNM akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

Tambah Adnan, unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berada pada julat empat – lima peratus serta pembaharuan struktur dan usaha penggabungan fiskal oleh kerajaan adalah faktor-faktor penyokong bagi ringgit.

Walaupun nilai ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran, BNM juga menjangka langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk terus mengukuhkan ekonomi akan membantu memastikan ringgit mencerminkan asas negara dengan lebih baik.

Bagi membolehkan lebih 210,000 rakyat dalam kategori miskin tegar mendapatkan keperluan barangan makanan asas tanpa tunai (cashless) di 600 pasar raya dan kedai runcit, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan memberikan mereka bantuan berjumlah RM100 setiap bulan bagi tempoh enam bulan (Julai-Disember 2023) melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mulai 17 Julai di Semenanjung Malaysia dan 7 Ogos di Malaysia Timur.

TURUN PADANG

Masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diketuai oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub, bekerja keras memastikan harga barang tidak naik.

Beliau ialah seorang Menteri proaktif yang kerap turun padang tanpa mengenal penat lelah dengan mengadakan lawatan terus ke pasar raya, pasar raya besar, pasar basah, kedai runcit dan pasar mini di seluruh negara untuk memantau dan mengawal harga barang.

Salahuddin telah berkali-kali memberi jaminan kepada rakyat bahawa harga 11 barang kawalan bersubsidi tidak akan naik, begitu juga dengan barang bukan kawalan.

Mengikut beliau, KPDN memantau harga bagi 480 item di mana 186 item dipantau secara harian dengan data harga runcit dikutip setiap hari di lebih 1,400 premis. Berdasarkan pantauan harian yang dibuat oleh KPDN ini, Salahuddin mengumumkan bahawa kebanyakan item adalah stabil bagi empat bulan terkini.

Bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana, KPDN memberi ruang kepada mereka untuk membeli barang dengan harga lebih murah menerusi inisiatif Payung Rahmah khususnya menerusi Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Pakej Rahmah.

Salahuddin dan timbalan beliau, Fuziah Salleh, menjelajah ke seluruh negara melancarkan Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri, termasuk Jualan Rahmah Bergerak menerusi pendekatan ‘Kedai Cari Rakyat’ di 153 lokasi di seluruh Malaysia yang menawarkan barang-barang keperluan dengan harga 20 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Paling mutakhir ialah pelancaran Jelajah Jualan Rahmah Peringkat Negeri Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena Pesta Konvokesyen Ke-35 UUM oleh Salahuddin pada 21 Julai.

Beliau juga melancarkan Food Bank dan Menu Rahmah di Kafeteria Inasis TM bagi membolehkan lebih 1,000 pelajar UUM yang menginap di situ membeli makanan pada harga berpatutan. Beliau juga menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada 300 pelajar dan 10 staf UUM terpilih.

Begitulah kerja keras Salahuddin tanpa mendapat rehat yang cukup sehingga selepas menghadiri program-program di UUM ini beliau terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah dan kemudiannya selamat menjalani pembedahan setelah disahkan mengalami pendarahan otak.

Semua ini adalah bukti kerajaan peka kepada nasib rakyat, khasnya dalam isu harga barang, sehinggakan dalam kes Salahuddin beliau berkorban kesihatan diri untuk menjaga rakyat. – UTUSAN

DR. Zainudin Omar ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar & Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×