PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengemukakan bukti beliau menandatangani dokumen pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tetapi dinafikan bekas pegawai kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad.
Marzuki yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri kelapan itu berkata, sebaliknya dokumen yang dibentang itu berkaitan penerbitan Sukuk Berjaminan Kerajaan yang merupakan sebahagian daripada keputusan Kabinet pada 2020.
Dalam kenyataan media semalam Anwar menegaskan, dokumen yang dikemukakan beliau itu adalah sebahagian perjanjian terkait Jaminan Kerajaan kepada Felda.
Justeru, beliau mendesak Muhyiddin untuk memohon maaf kepadanya atas fitnah yang dilemparkan kepadanya.
“Saya kemukakan sebahagian dokumen perjanjian terkait Jaminan Kerajaan kepada Felda yang telah saya tandatangani.
“Justeru, saya mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya dalam kenyataan ringkas, semalam.
Kenyataan itu turut melampirkan dokumen tiga muka surat itu yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Felda dengan Amanahraya Trustee Berhad pada 26 Julai lalu.
Turut dilampirkan dokumen Jaminan Kerajaan melalui terbitan sukuk bagi memulihkan kedudukan kewangan Felda.
Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan mengesahkan bahawa perjanjian FSRA telah ditandatangani Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 26 Jun 2023.
Jelas kenyataan itu, seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun lalu, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan RM9.9 bilion kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.
Di bawah perjanjian tersebut, kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun.
Sehubungan itu, MOF juga ingin mengesahkan bahawa penyaluran pertama RM990 juta dilaksanakan pada 18 Julai 2023 selaras dengan peruntukan yang disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023.
“Penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada Felda merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan Felda.
“Ia antara lain mengambil kira antaranya impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan Felda berikutan penghapusan hutang peneroka Felda,” katanya.
Kelmarin, Muhyiddin menuntut Anwar mengemukakan bukti bahawa beliau menandatangani surat atau dokumen meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda selepas Anwar mendakwa pelupusan hutang itu gagal dilaksanakan sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.
Muhyiddin juga menuntut Anwar menarik balik kesemua kenyataan fitnah tersebut dalam tempoh 24 jam, selain memohon maaf tanpa syarat dan secara terbuka.
Ia sebahagian daripada tuntutan yang dikemukakan peguam Muhyiddin dalam surat tuntutan bertarikh semalam, yang turut memberi tempoh 24 jam kepada Anwar untuk mendedahkan dokumen atau surat yang ditandatanganinya bagi melupuskan hutang peneroka.
Pada 7 Julai lalu pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda, Anwar mendakwa pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.
Sebaliknya, kata Anwar, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut. – UTUSAN










