Ramai jadi 'asnaf segera'

Ramai jadi ‘asnaf segera’

Covid-19 masih terkawal tetapi orang ramai digalakkan mermakai pelitup muka ketika berada di kawasan tumpuan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Trend penerima bantuan zakat meningkat dalam setiap kategori kumpulan asnaf yang direkodkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terutama selepas pandemik Covid-19.

Mengikut rekod pada tahun 2019, jumlah penerima bantuan adalah seramai 128,000 orang, meningkat kepada 201,000 orang pada 2020 dan seterusnya bertambah kepada 206,000 orang sehingga 2022 di Wilayah Persekutuan merangkumi 30 skim bantuan zakat.

Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini pula, sejumlah 75,174 asnaf layak menerima bantuan dengan tiga bentuk penyaluran bantuan iaitu secara tunai, secara terus kepada asnaf atau bantuan berbentuk barangan, peralatan, perkhidmatan atau manfaat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bilangan asnaf setiap tahun akan meningkat bermula Julai dan Ogos apabila pembayaran bantuan am persekolahan mula dibayar kepada pelajar sedia ada berjumlah 32,000 orang.

Abdul Aziz Abdul Rahman

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, peningkatan itu berlaku ekoran penularan Covid-19 yang melanda dunia yang mana ramai menjadi ‘asnaf segera’ mengakibatkan impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah.

“Sikap dan pemikiran asnaf yang sukar berubah, tiada daya usaha dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan zakat turut menyumbang kepada peningkatan penerima bantuan dalam kalangan ketua keluarga berusia muda.

“Bagaimanapun, MAIWP kini mempunyai ekosistem baik dalam mengupayakan pembangunan sosioekonomi ummah. Kesemua ini berpunca daripada kekuatan dan keutuhan dana zakat yang dimiliki,” katanya di sini semalam.

Abdul Aziz berkata, setiap tahun MAIWP sentiasa menambah baik pengagihan zakat serta merangka pelbagai inisiatif baharu dalam memastikan dana zakat diagihkan semaksimum mungkin.

Mengikut rekod, agihan zakat MAIWP pada tahun 2019 ialah sebanyak RM631.33 juta; meningkat kepada RM864.9 juta pada tahun 2020 dan RM1.08 bilion pada tahun 2021.

Pada tahun ini, MAIWP memperuntukkan sebanyak RM700 juta untuk diagihkan kepada asnaf meliputi RM304 juta bagi bantuan berbentuk bulanan seperti bantuan kewangan, sewa rumah dan bantuan perubatan manakala bakinya bersifat one off tertakluk kepada keperluan asnaf seperti penyelesaian hutang dan pendidikan.

Namun, menurut beliau, kadar bantuan yang diberikan tertakluk kepada perkiraan had kifayah ditetapkan tidak termasuk jumlah bantuan persekolahan anak, perubatan dan lain-lain bantuan yang disalurkan secara tahunan kepada asnaf.

“Sebagai contoh kadar bantuan layak diterima seorang ketua keluarga daripada kategori miskin sebanyak RM1,250 meliputi bantuan bulanan RM600, bantuan keperluan asas RM150, bantuan sewa rumah RM500.

“Sekiranya asnaf mempunyai tanggungan yang bersekolah atau yang sakit, mereka boleh memohon bantuan persekolahan dan bantuan perubatan,” katanya.

Jelasnya, antara inisiatif baharu program agihan MAIWP adalah menjalinkan kerjasama strategik bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui dana Tabung Amanah Saham Bumiputera melibatkan perbelanjaan sebanyak RM20 juta iaitu peruntukan RM15 juta daripada MAIWP dan PNB sebanyak RM5 juta kepada 5,000 ketua keluarga untuk tempoh lima tahun.

Selain itu, MAIWP juga melaksanakan kerjasama strategik bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan menyalurkan dana berbentuk simpanan kepada anak-anak penerima Bantuan Kewangan Bulanan MAIWP seawal usia satu tahun bermula tahun 2022 hingga 2026 sebanyak RM5,000 setiap seorang kepada 1,000 orang anak asnaf secara one-off dengan peruntukan RM25 juta bagi tempoh lima tahun.

“Terbaharu, MAIWP akan bekerjasama dengan PTPTN bagi Skim Bantuan Penyelesaian Pembiayaan Pendidikan bagi pelajar asnaf fakir, miskin dan mualaf yang cemerlang Diploma.

“MAIWP pada tahun ini melangkah lebih jauh dengan pembelian perumahan mampu milik di Taman Ganggarak Permai di Wilayah Persekutuan, Labuan. Sebanyak 140 buah rumah disediakan kepada asnaf fakir dan miskin dilengkapi perabot asas kelengkapan rumah,” katanya.

MAIWP juga melaksanakan Program ’Kasih Asnaf Zero Hunger’ yang mana setiap penerima bantuan kewangan bulanan menerima RM150 setiap bulan yang dikreditkan melalui dompet elektronik (e-wallet) dengan kerjasama rakan strategik Boost bagi membolehkan asnaf menebus barangan keperluan asas di kedai terpilih.

Selain itu adalah pemerkasaan asnaf menerusi Program Latihan Industri dengan kerjasama pemain-pemain industri yang mana asnaf diserapkan dalam program latihan jangka pendek dalam bidang kemahiran seperti kimpalan, automotif, elektrikal dan pada akhir program tersebut, asnaf ditawarkan peluang pekerjaan dalam bidang pengajian dipelajari.

“Dalam bidang pertanian pula, program agroprenuer atau urban farming bagi menggalakkan asnaf bercucuk tanam dan menjana pendapatan selain menyediakan latihan keusahawan bagi mengembangkan potensi perniagaan.

“Menerusi program-program bantuan yang dirangka, seramai 140 orang asnaf berjaya membayar zakat daripada 1,342 orang yang menerima bantuan perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini