BAGAN SERAI: Pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari dua buah sekolah di daerah ini mempamerkan semangat luar biasa apabila berjaya mendaki hingga ke puncak Gunung Semanggol, di sini semalam.
Mereka terdiri daripada 27 pelajar PPKI dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Semanggol dan SMK Selinsing yang diiringi 14 guru termasuk dua pengetua menamatkan pendakian di gunung setinggi 390 meter dari aras laut itu.
Antara yang menyertai pendakian itu ialah pelajar lembam pelajaran dan sindrom down.
Pelajar PPKI, Muhammad Azim Daniel Zabidi, 17, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran berkata, ini kali kedua dia menyertai program itu selepas tahun lalu.
Katanya, walaupun mengalami kekurangan dia tetap bersemangat menamatkan pendakian.
“Semasa mendaki saya berdepan pelbagai cabaran namun semangat yang ditunjukkan oleh rakan-rakan lain membuatkan saya terus berusaha untuk sama-sama sampai ke puncak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Irfan Hadif Khalis Anual, 14, pelajar OKU masalah pembelajaran spesifik atau Dyslexia berkata, kawan-kawan banyak memainkan peranan ketika dalam pendakian membuatkannya terus bersemangat.
Menurutnya, pada awal pendakian, dia berasa agak penat namun tetap meneruskan pendakian.
“Cikgu-cikgu bagi semangat dan kawan-kawan pula hulurkan tangan untuk tarik saya naik ke atas. Jadi saya teruskan juga pendakian dan saya rasa seronok menyertai program ini,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Selinsing, Rosdi Mat Ali, 53, berkata, ia adalah satu daripada program yang terdapat dalam sistem perdana pendidikan iaitu pembangunan pelajar secara holistik. – UTUSAN











