PETALING JAYA: Negara memerlukan satu badan yang dapat mengawal selia sistem pendidikan Islam dan sekolah agama di Malaysia bagi menyeragamkan pengurusan sistem pendidikan dan sekolah berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, kerajaan juga perlu mewujudkan satu dasar yang jelas supaya dapat memperkasa sistem pendidikan Islam di negara ini.
Beliau berkata, langkah menaik taraf itu perlu kerana tindakan itu selari dengan Islam sebagai agama Persekutuan dan raja-raja sebagai penasihat agama.
“Semua pihak perlu berlapang dada dan berbincang bagi mencari jalan demi kelangsungan pendidikan Islam di Malaysia.
“Isu sekolah agama, pendaftaran sekolah, prasarana, kualiti guru, penyeragaman kurikulum perlu ditangani bagi menjamin kualiti pendidikan Islam,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, pengurusan pendidikan sekolah agama di negara ini didakwa tidak seragam ekoran terdapat lebih daripada satu organisasi yang menguruskannya.
Pada masa ini pengurusan sekolah agama terletak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), majlis-majlis agama negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak persendirian.
Ia menyebabkan tiada keseragaman kurikulum dan pentaksiran peperiksaan sekali gus memberi kesan kepada standard pendidikan Islam yang sepatutnya.
Malah, kelayakan guru dan kualiti prasarana disediakan juga menjadi kebimbangan sekiranya terdapat sekolah agama yang tidak berdaftar.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pertubuhan Ikram Malaysia, Prof. Dr. Omar Yaakob berkata, beliau percaya Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan yang ditubuhkan hujung tahun lepas dapat memainkan peranan untuk mengatasi isu ketidakseragaman itu.
“Jawatankuasa ini yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja boleh membuat cadangan seperti penyelarasan pengurusan, kurikulum, pentaksiran dan jaminan kualiti kepada Majlis Raja-Raja.
“Jika cadangan itu diterima, maka raja yang merupakan ketua agama Islam di negeri masing-masing boleh melaksanakannya melalui pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.
“Jadi, penubuhan jawatankuasa itu boleh membantu ke arah penyelarasan yang lebih baik, cuma mungkin berdepan dengan cabaran dalam mencapai matlamat itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Dr. Omar berkata, apa yang perlu diberi penekanan adalah untuk mengawal pendaftaran sekolah agama terutamanya pusat-pusat tahfiz kerana kini sesiapa sahaja boleh menubuhkannya tanpa mengambil kira kesesuaian dan keselamatan premis, kurikulum, kompetensi guru dan standard kualiti lain.
Justeru, katanya, perlunya peraturan dan kawal selia yang lebih ketat dalam memastikan sekolah agama persendirian tidak dibuka dengan sewenang-wenangnya.
Selain itu, perlu juga dipastikan pelajar tahfiz diberi pendedahan ilmu dan kemahiran selain menghafaz al-Quran.
“Sebahagian tahfiz dibuka untuk mengajar hafazan semata-mata. Lepasan tahfiz sedemikian tidak mempunyai peluang melanjutkan pelajaran atau pekerjaan yang stabil, maka mereka tiada pilihan kecuali menubuhkan lagi pusat-pusat tahfiz yang menyebabkannya bercambah.
“Kami dalam Ikram pun menubuhkan maahad tahfiz, tetapi tetap memastikan pelajar mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan mereka memperoleh pekerjaan, atau melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara,” jelasnya. – UTUSAN










