Mangsa banjir kecewa belum terima bantuan

Mangsa banjir kecewa belum terima bantuan

PENDUDUK mengharungi banjir di Kampung Teladas, Kemaman, pada Disember tahun lalu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Penduduk di Kampung Air Putih dan Kampung Teladas di sini yang terjejas teruk akibat banjir pada Disember tahun lalu, kecewa apabila belum menerima bantuan banjir yang dijanjikan kerajaan sebelum ini.

Lebih mengecewakan, penduduk mendakwa, setakat ini, hanya 28 daripada 140 keluarga di kampung tersebut menerima bantuan banjir, baru-baru ini.

Salah seorang penduduk Kampung Teladas, Wan Zakaria Wan Musa, 62, berkata, dia terkilan apabila tidak menerima sebarang bantuan banjir yang disediakan kerajaan negeri sebanyak RM1,000 serta bantuan wang ihsan daripada Kerajaan Pusat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rumah saya memang terjejas teruk. Keluarga saya paling awal berpindah sebab kami tinggal di kawasan rendah dan kami juga orang paling akhir keluar dari pusat pemindahan sebab biasanya lebih empat hari rumah dinaiki air.

“Semua perabot dan barang-barang dalam rumah rosak sebab banjir kawasan rumah saya sehingga paras bumbung. Hanya tinggal baju sahaja yang boleh digunakan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Bapa kepada enam anak itu berkata, dia berharap bantuan banjir untuk bencana tahun lalu akan dipercepat sebelum tiba musim tengkujuh tahun ini.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali Haslina, 45, berkata, dia dan keluarganya tidak menerima bantuan banjir meskipun berpindah ke pusat pemindahan pada Disember tahun lalu.

“Boleh dikatakan hampir semua rumah penduduk dinaiki air, namun kami masih belum tersenarai sebagai penerima bantuan.

“Ada penduduk, rumahnya hanya terkepung, namun mereka dapat bantuan atas alasan mendaftar sebagai mangsa banjir. Kami pun mendaftar nama, namun tiada dalam senarai penerima. Tak tahulah bila kami akan dapat bantuan banjir,” katanya.

Haslina berkata, rata-rata penduduk di kampung itu berdepan sekurang-kurangnya empat episod bencana banjir setiap kali musim tengkujuh bermula November tahun lepas hingga Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini