‘Saya tidak layan kempen politik Sanusi’

‘Saya tidak layan kempen politik Sanusi’

AHMAD Zahid Hamidi menerima cenderamata daripada Mohamad Sabu selepas majlis menandatangani MoU antara KEJORA dan MARDI di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan politik bukan bahan lawak atau gurauan sebaliknya perlu tahu membezakan antara fakta dan auta.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sendiri tidak akan melayan kempen politik seperti itu.

“Politik ini bukan bahan lawak, bukan bahan untuk bergurau, fakta adalah fakta. Saya tidak perlu berbahas dengan individu yang tidak bijaksana dalam mentafsir antara fakta dan auta.

“Faktanya adalah bagaimana Perikatan Nasional (PN) dititah menghadap, begitu juga Pakatan Harapan (PH) dititah menghadap (Yang di-Pertuan Agong). Selepas itu saya mewakili Barisan Nasional (BN) bersama dua rakan lain serta GRS dan GPS.

“Kalau itu satu tuduhan oleh seorang yang mengetuai kerajaan negeri yang pegangannya adalah Islam, saya harap taubat nasuha hendaklah diutamakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mendakwa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memandai-mandai dan menggunakan titah Agong untuk tubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga sebenarnya tidak perlu menjawab perkara yang sudah menjadi fakta.

“Ia akan jadi satu isu ‘bodoh’ jika saya berbahas dengan orang yang tidak begitu bijaksana dalam mentafsirkan antara fakta dan auta,” katanya.

Selain itu, ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa undi kepada Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara akan berpindah kepada PN berikutan kekecewaan penyokong terhadap layanan Kerajaan Perpaduan kepada bekas Perdana Menteri itu, Ahmad Zahid berkata, usaha parti tetap terus berjalan.

“Ketika bertemu Najib sebelum ini pun perkara itu dinyatakan kepada saya supaya kita jangan terjebak dengan permainan pihak luar,” katanya.

Sementara itu menurut Ahmad Zahid, iIsu pertindihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) antara PH dan BN sudah selesai.

Beliau berkata, ia bukan soal kerusi itu diserahkan kepada BN atau PH tetapi diselesaikan atas semangat kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×