BANYAK perancangan bagi membantu rakyat dijangka diumumkan dalam Belanjawan Madani 2024 pada Oktober ini yang sudah pasti akan memberi tumpuan menyelesaikan pelbagai isu membelenggu orang ramai.
Bagaimanapun, dalam kesibukan itu, kerajaan tidak harus leka dengan agenda pihak tertentu yang mahu merosakkan sistem berkeluarga. Sebelum ini, keseimbangan peranan antara lelaki dan perempuan telah dirosakkan dengan pengenalan kumpulan ketiga iaitu lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ).
Agenda itu dipromosikan kepada kanak-kanak melalui filem kartun keluaran Hollywood sejak 1939 berselindung di sebalik watak binatang yang bukan jantan atau betina dan setelah lebih 80 tahun, gejala itu telah merebak ke dalam masyarakat apabila mereka dewasa.
Kali ini agenda itu diperluaskan melibatkan kepercayaan kepada Tuhan yang sekarang terbahagi kepada dua aliran utama, iaitu keagamaan dan kerohanian. Pada 17 April lalu ketika ditemu bual saluran berita Fox News, orang terkaya di dunia, Elon Musk mendedahkan ada dalam kalangan golongan sangat kaya berhasrat mencipta ‘tuhan digital’ atau digital super intelligence, iaitu versi naik taraf kecerdasan buatan (AI).
Ia ialah sistem AI sangat maju berpotensi mengawal atau mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan manusia. Langkah ke arah itu sudah bermula apabila sekumpulan robot AI yang menyertai persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini memberi mesej jelas bahawa mereka boleh mentadbir dunia lebih baik daripada manusia. Malangnya, AI bukan sempurna kerana Musk mendedahkan teknologi sedemikian telah dilatih untuk ‘menipu’.
Jika kesan agenda LGBTQ telah merosakkan masyarakat bagi Musk, akibat buruk daripada agenda tuhan digital lebih dahsyat berbanding senjata nuklear. Oleh itu, jika kerajaan leka, mungkin bahaya agenda ini hanya disedari setelah ia menyebabkan kerosakan parah dalam masyarakat.
Ini kerana menurut Musk, kerajaan di seluruh dunia kebiasaannya akan bertindak menggubal peraturan dan undang-undang baharu hanya selepas sesuatu buruk telah berlaku. Tetapi sekiranya ini terjadi dalam kes AI, katanya, ia mungkin sudah terlambat untuk menangani perkara tersebut kerana AI sudah tidak terkawal pada ketika itu.
Pendedahan dibuat oleh Musk seharusnya diambil pengajaran oleh pakar-pakar AI di Malaysia bagi memastikan kepakaran mereka tidak digunakan untuk menjadikan agenda itu kenyataan kerana golongan sangat kaya tersebut mempunyai syarikat cawangan di Malaysia yang menggajikan pakar-pakar teknologi maklumat tempatan.
Menyentuh mengenai aliran keagamaan dan kerohanian, kita sepatutnya bersyukur kerana sebahagian golongan muda diperkenalkan subjek perbandingan agama di universiti kerana ia dilihat berjaya memupuk sifat toleransi antara agama, saling menghargai perbezaan dan mewujudkan perasaan berbaik sangka.
PUISI
Cuma dalam konteks usaha kerajaan mempromosikan Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam dan Malaysia Madani, kita nampaknya agak ketinggalan berbanding golongan kerohanian yang berjaya mempromosi fahaman mereka melalui filem keluaran Hollywood dan buku motivasi sehingga mendapat sokongan banyak pihak termasuk golongan kaya dan ahli sains.
Kajian badan pemikir di Amerika Syarikat (AS), Pew Research Center menunjukkan wujud trend peningkatan golongan yang menganggap diri mereka berpegang kepada fahaman kerohanian tetapi tidak mengikuti mana-mana agama khususnya di negara itu.
Antaranya pengasas syarikat Apple Inc., mendiang Steve Jobs yang pernah ditanya adakah beliau percaya dengan kewujudan Tuhan. Beliau menjawab, “Ya, tetapi bukan dalam erti kata biasa (dipercayai penganut agama). Saya percaya ada sesuatu, kesedaran, ia seperti roda.”
Kepercayaan Jobs tidak dipengaruhi ajaran keagamaan walaupun bapa kandungnya seorang Muslim dari Syria. Beliau banyak dipengaruhi oleh fahaman guru kerohanian dari India, Paramahansa Yogananda (1893-1952) yang dibaca dalam buku Autobiography of a Yogi ketika berusia 17 tahun.
Beliau juga mewasiatkan supaya buku diterbitkan pada 1946 itu dihadiahkan kepada semua tetamu yang hadir ketika upacara pengebumian mayatnya pada 2011. Yogananda berhijrah ke AS pada usia 27 tahun semata-mata kerana mahu menyebarkan fahaman kerohanian di Barat.
Mungkin ada pihak menganggap Islam tidak kalah dan mendapat sambutan di AS dengan memberi contoh puisi-puisi ahli sufi abad ke-13, Jalaluddin Rumi yang paling banyak dipetik di negara itu termasuk oleh saluran berita CNN.
Antara peminat beliau ialah Chris Martin, penyanyi utama kumpulan rock dari Britain, Coldplay yang akan mengadakan persembahan di Malaysia pada 22 November ini. Mengulas bantahan rakyat Malaysia terhadap konsert itu, Martin menjawab, “Sesiapa yang tidak gembira dengan kedatangan Coldplay, kami minta maaf tetapi kami sayang semua rakyat Malaysia dan tiada yang terkecuali.”
Menjadi seorang pemaaf dan kasih sayang adalah tema utama puisi-puisi Rumi. Bagaimanapun, ada pihak menyifatkan puisi ahli sufi berketurunan Parsi yang menetap dan meninggal dunia di Konya, Turkiye lebih mudah difahami jika dilihat dari konteks fahaman kerohanian dan bukan keagamaan.
Apakah fahaman golongan yang berpegang kepada ajaran kerohanian ini? Dikatakan ia adalah tema utama dalam filem epik bersiri, Star Wars arahan pengarah dari AS, George Lucas.
Dalam filem itu diperkenalkan konsep The Force (Tuhan) seperti yang disebut guru kerohanian, Obi-Wan Kenobi kepada anak muridnya, Luke Skywalker, “Tuhan yang memberi jedi (pahlawan yang menguasai ilmu mistik) kuasanya. Ia adalah medan tenaga yang mengelilingi dan menembusi kita, ia mengikat galaksi bersama-sama.”
Dikatakan ahli sains yang terbabit mengkaji fizik kuantum mengenai atom juga mendapati wujud persamaan antara fahaman kerohanian dengan penyelidikan mereka lakukan.
Perkara itu boleh difahami lebih jelas jika membaca buku yang sudah lama berada dalam pasaran ditulis bekas Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Mohd. Nasir Hashim bertajuk Spiritualiti, Fizik Kuantum & Manusia.
Belajarlah cara-cara golongan kerohanian menyebarkan fahaman mereka bagi memastikan kita juga dapat berdakwah mengenai kebaikan Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










