SIRI ceramah politik di Kelantan dilihat semakin rancak sejurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos ini.
Situasi itu dapat dilihat apabila hampir setiap malam ceramah dan sesi penerangan berkait isu-isu semasa menjelang PRN giat dilakukan oleh parti-parti yang bertanding.
Pada PRN kali Pas dilihat sibuk berkempen dengan menjadikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di enam negeri pada PRN amat penting sebagai referendum rakyat tolak Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bahan.
Perkara tersebut dianggap ‘modal’ kukuh oleh pemimpin Pas dan PN dalam menarik sokongan rakyat setiap kali naik ke atas pentas untuk berceramah sama ada peringkat Parlimen mahupun negeri.
Dalam masa sama mereka lebih banyak menyentuh kegagalan Kerajaan Pusat dalam mengurus tadbir negara ketika ini sehingga menyebabkan ekonomi jatuh merudum selain peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Isu di peringkat negeri, Pas lebih selesa mengajak rakyat untuk terus mengekalkan pemerintahan Islam dengan memberikan penekanan kepada kekuatan kuasa politik mampu mengekang fahaman yang sesat termasuk liberalisme, pluralisme, sekularisme termasuk budaya Gay, Lesbian, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Berbeza dengan pendekatan BN-PH yang lebih selesa memilih memperjuangkan isu-isu melibatkan kepentingan setempat seperti masalah air, pengurusan sampah, peluang kerja, ekonomi dan kegagalan pengurusan kerajaan negeri.
Isu setempat lebih relevan kerana PRN hanya melibatkan pentadbiran peringkat negeri bukan persekutuan.
Malah, keputusan PRN sama sekali tidak akan mengubah pucuk pentadbiran di peringkat pusat sebagaimana yang dibayangkan oleh PN. – UTUSAN










