Lebih 14,000 usahawan bumiputera dibantu

Lebih 14,000 usahawan bumiputera dibantu

IZWAN ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Ditubuhkan pada 17 Julai 1991, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) membawa erti besar buat usahawan bumiputera kerana telah membuka peluang kepada mereka untuk bergiat dalam bidang keusahawanan.

Cetusan idea Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad ini telah mengukir satu warisan kecemerlangan dan memartabatkan pembangunan keusahawanan bumiputera ke tahap lebih tinggi.

Lebih 14,000 usahawan atau sekitar 10,000 syarikat bumiputera telah dibantu PUNB sejak penubuhannya sehingga kini melalui 4,000 program dan aktiviti yang dijalankan.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID bersama Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, IZWAN ZAINUDDIN yang berkongsi kejayaan PUNB sepanjang hampir 32 tahun penubuhannya.

UTUSAN: Boleh terangkan secara ringkas mengenai PUNB?
IZWAN ZAINUDDIN: Secara mudahnya, PUNB merupakan `bank’ kepada usahawan bumiputera dalam bidang perdagangan runcit dan pengedaran serta beberapa sektor lain seperti agrikultur, pembangunan hartanah dan lain-lain lagi.

Dengan slogan ‘Kejayaan Anda Inspirasi Kami’ PUNB telah membantu lebih daripada 14,000 usahawan bumiputera sejak ditubuhkan pada 1991 dan kita akan terus membantu golongan ini mengembangkan perniagaan mereka.

Selain memberi pinjaman, kita juga menyediakan khidmat sewaan banggunan kepada usahawan yang tidak mempunyai kedai atau kilang bagi menjalankan operasi. PUNB akan membeli bangunan atau premis perniagaan tersebut kemudian disewakan kepada mereka.

Tidak cukup dengan itu PUNB turut memperkenalkan skim rent to own di mana jika usahawan kita ini mempunyai rekod bayaran sewa yang cantik selama tiga tahun, mereka akan ditawarkan untuk menyewa sambil membeli premis tersebut.
Jadi secara ringkasnya, PUNB bukan sahaja menyediakan pembiayaan kepada usahawan bumiputera tetapi juga membantu mereka memiliki aset sendiri untuk memudahkan operasi mereka.

Apakah program terkini yang diperkenalkan PUNB?
Bulan lepas PUNB telah melancarkan program memperkasakan komuniti Orang Asli (ECO) dengan memperuntukkan RM2 juta dalam menyediakan latihan dan kemahiran kepada belia Orang Asli.

Program kerjasama strategik di antara PUNB dan rakan usahawan kami ini diperkenalkan selepas mendapat maklum balas daripada golongan belia Orang Asli di mana mereka sukar memperoleh pekerjaan disebabkan tiada sebarang kemahiran.

Untuk fasa pertama seramai 10 peserta dari perkampungan Orang Asli di Jerantut Pahang, telah dipilih untuk menjalani latihan sambil bekerja di bengkel kenderaan milik rakan usahawan PUNB yang terpilih selama enam bulan.

Mereka yang terpilih akan menjalani latihan selama enam bulan bermula Jun di bengkel- bengkel rakan usahawan PUNB yang terletak di Temerloh, Pahang; Bangi, Banting dan Cyberjaya, Selangor.
Program ini akan diteruskan dengan fasa kedua dan ketiga bagi memperkasakan kehidupan Orang Asli serta merapatkan jurang ketidaksamaan dalam ekonomi.

Apakah PUNB menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan kepada usahawan bumiputera?
Di PUNB kita bukan setakat memberi pinjaman kepada usahawan tetapi juga membimbing mereka selepas memperoleh pembiayaan daripada kami bagi memastikan kesemua mereka berjaya.

Setiap penerima akan ada seorang pegawai pemantau yang berperanan memantau mereka sebanyak empat kali setahun dari segi prestasi, memberi khidmat nasihat serta memberi bantuan sekiranya diperlukan.

Usahawan-usahawan ini juga perlu menyerahkan laporan perakaunan perniagaan mereka setiap bulan untuk kita pantau prestasi dan melalui data itu juga kita akan memberi nasihat serta bimbingan sekiranya keuntungan mereka sedikit atau terlalu rendah.

Semua maklum balas yang PUNB terima daripada pegawai pemantau ini akan digunakan untuk memenuhi keperluan usahawan-usahawan kami. Misalnya, keluhan mengenai harga tekstil semakin mahal dari China dan Vietnam, jadi kita bawa mereka ke Pakistan dan berjaya mendapatkan pengilang yang menawarkan harga lebih murah.

PUNB telah memperkenalkan inisiatif digitalisasi dalam membantu usahawannya, apakah perkembangan terkini inisiatif tersebut?
Inisiatif digitalisasi PUNB ini dimulakan semasa kita dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) sekitar Mac 2021 dan kita menyediakan taklimat keusahawanan secara atas talian semasa itu.

Ia bertujuan membantu usahawan-usahawan kami menceburi perniagaan atas talian dengan bimbingan dan latihan yang tepat dari segi pemasaran dan jualan produk mereka.

Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakan dan kita juga telah berkolaborasi dengan penyedia platform atas talian dalam menjual produk usahawan kami antaranya Shopee. 13 usahawan PUNB terlibat menjual produk mereka melalui PUNB Virtual Mall di Shopee.

Untuk rekod terdapat sebanyak 181 syarikat terlibat di bawah inisiatif digitalisasi PUNB pada tahun lalu dan bagi tahun ini sehingga Jun sebanyak 20 syarikat dan menjadikannya lebih 200 syarikat.

Apakah perancangan PUNB bagi tahun ini?
Macam saya katakan, kami di PUNB membantu usahawan bumiputera menjalankan perniagaan mereka. Jadi, sudah pasti untuk tahun ini kalau boleh kami mahu menolong lebih ramai usahawan melalui pembiayaan yang disediakan.

Kita juga merancang untuk membeli lebih banyak bangunan dan premis perniagaan sebagai pelaburan di samping menyewakan premis tersebut kepada usahawan yang tidak mempunyai kedai atau kilang untuk beroperasi bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Selain itu, PUNB akan terus membawa usahawan-usahawan ke luar negara dalam mencari peluang perniagaan, memperbanyakkan lagi latihan-latihan kepada usahawan terutamanya latihan untuk kenderaan elektrik dan hibrid.

Akhir sekali kami juga sedang bekerjasama dengan beberapa syarikat-syarikat besar seperti Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dalam membantu usahawan-usahawan kami. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×