PERJALANAN ekonomi negara telah melepasi separuh 2023. Adakah kedudukan ekonomi negara, isi rumah dan perniagaan bertambah baik? Statistik? Atau semakin merundum?
Sejak sambutan Hari Raya Aidilfitri pada April sehingga Hari Raya Aidiladha akhir Jun lalu, keadaan ekonomi menunjukkan situasi tidak menentu. Perbelanjaan isi rumah ke atas kelengkapan perayaan berkurangan. Keadaan ini menyebabkan ramai golongan peniaga mengeluh jualan perlahan.
Cerapan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan kedudukan ekonomi perlahan ketika ini. Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) menunjukkan trend yang semakin menurun dengan catatan pertumbuhan negatif pada April lalu berbanding 2022. Indeks pengeluaran menunjukkan penurunan pengeluaran oleh sektor perindustrian.
Selain IPI, kadar inflasi juga semakin menurun manakala kedudukan pasaran buruh mempamerkan pemulihan sangat perlahan dengan kadar pengangguran kekal pada paras 3.5 peratus dari Februari sehingga April 2023. Kadar inflasi menurun biasanya menunjukkan permintaan yang lemah dan boleh menjadi petunjuk kepada kelembapan ekonomi.
Bagaimanapun, adalah penting untuk mengkaji sama ada kadar inflasi yang menurun disebabkan terutamanya oleh permintaan lemah atau faktor lain seperti harga bahan api lebih rendah atau pelarasan dasar subsidi. Jika benar disebabkan permintaan yang lemah, ini menunjukkan tanda kelembapan ekonomi.
Permintaan pengguna dan kadar pengangguran adalah berkait rapat. Apabila permintaan pengguna berkurangan, kadar pengeluaran turut akan berkurangan. Situasi ini menyebabkan penciptaan pekerjaan yang perlahan dalam industri, seterusnya memberi implikasi kepada kadar pengangguran.
Indeks pengeluaran yang menurun menunjukkan penurunan dalam keseluruhan pengeluaran ekonomi. Ini boleh menjadi tanda membimbangkan kerana ia menunjukkan perniagaan mengurangkan pengeluaran.
Adalah penting untuk menyiasat penentu di sebalik penurunan tersebut seperti penurunan permintaan pengguna, gangguan rantaian bekalan atau faktor khusus sektor tersebut.
Berdasarkan pemerhatian dan data, perlukah kita membiarkan keadaan ekonomi pada ketika ini berterusan? Atau wujud keperluan untuk mempertimbangkan pakej rangsangan ekonomi bagi menstabilkan keadaan?
Sebelum kita menjawab persoalan tersebut, ayuh kita lihat prospek ekonomi dengan mengambil kadar pengangguran sebagai petunjuk. Mengikut unjuran agensi penyelidikan, kadar pengangguran untuk tahun ini berada pada paras antara 3.6 sehingga 3.8 peratus. Kadar ini masih berada di atas paras ekonomi prapandemik iaitu 3.3 peratus pada 2019.
SAKU PENGGUNA
Jika keadaan seperti sedia kala (business-as-usual), kadar pengangguran dijangka kembali ke paras normal pada 2025. Unjuran ini juga bergantung kepada persekitaran ekonomi domestik dan global.
Biarpun keadaan pengangguran agak menurun, namun adakah peluang pekerjaan yang disediakan bersesuaian dengan kelayakan dimiliki serta kadar upah bersesuaian?
Berdasarkan kedudukan ekonomi semasa dan prospek masa hadapan, wujud keperluan untuk mengadakan sebuah pakej rangsangan ekonomi dalam tempoh terdekat. Semasa tempoh kelembapan atau kemelesetan ekonomi, pakej rangsangan boleh membantu mengurangkan kesan negatif dengan menyediakan rangsangan fiskal dan menghalang penurunan selanjutnya dalam pengeluaran ekonomi.
Langkah rangsangan seperti pemindahan tunai langsung atau pemotongan cukai boleh meletakkan lebih banyak wang dalam saku pengguna, menggalakkan peningkatan perbelanjaan. Ini seterusnya boleh memacu permintaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Pelaksanaan pakej rangsangan menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyokong ekonomi. Ini boleh meningkatkan keyakinan pelabur, membawa kepada peningkatan pelaburan dan aktiviti perniagaan.
Memandangkan perniagaan menerima sokongan melalui pakej rangsangan, ia boleh membantu melindungi pekerjaan sedia ada dan berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu, meningkatkan kestabilan kewangan isi rumah.
Apabila mempertimbangkan sama ada untuk melaksanakan pakej rangsangan fiskal, adalah penting untuk menganalisis pelbagai petunjuk ekonomi dan menilai keadaan ekonomi keseluruhan. Kadar faedah, kedudukan fiskal, pelaburan perniagaan dan perkembangan pasaran kewangan turut perlu diambil kira dalam penentuan pakej rangsangan ekonomi.
Oleh demikian, kerajaan perlu mengadakan penilaian segera ke atas ‘kesihatan’ ekonomi ketika ini agar ia tidak menjadi malapetaka di masa hadapan. Adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa keberkesanan pakej rangsangan bergantung pada reka bentuk, pelaksanaan dan keadaan khusus ekonomi. Pertimbangan teliti terhadap langkah-langkah sesuai dan aplikasi disasarkan adalah penting untuk memaksimumkan manfaat kepada ekonomi, perniagaan dan isi rumah.
Kerajaan perlu bertindak segera bagi memastikan ekonomi negara tidak terus merudum. Data-data di Bursa Malaysia dan tukaran mata wang asing memberikan indikator yang jelas mengenai keadaan semasa ekonomi negara. Persekitaran ekonomi dalam negara perlu dirangsang segera bagi memastikan keadaan dapat dipulihkan dan rakyat tidak terus terbeban. – UTUSAN
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.











