KATA memikat, janji mengikat kembali berlegar. Tidak tahu berapa ramai atau sejauh mana lagi masyarakat akan terjerat. Piring hitam lama diputar semula untuk memperdengarkan lagu lama dengan seni kata yang tidak berubah. Alunan iramanya cuba digubah semula sehingga ada kala kedengarannya sumbang dan tidak menyenangkan perasaan.
Demikian sepintas kiasan gara-gara gerakan kempen menjelangnya pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos ini. Sepatutnya tidak perlu pun ada kempen. Rakyat dikatakan sudah masak dan hadam benar dengan segala ehwal dan mainan politik tanah air.
Menyenangkan kerja, apabila sampai waktunya, mereka boleh sahaja keluar mengundi berbekalkan pendirian yang yakin dan jelas. Namun, masih terpaksa diterima kenyataan dengan pelbagai kaedah dan pendekatan bersama tutur kata yang hebat, rakyat masih tertarik, terkeliru dan tergoda.
Entah kenapa, semacam begitu mudah pula hati tergugat. Hanya dengan sepatah dua slogan agama, dihambur dengan nada pedas membidas pihak lawan, masyarakat yang sekian lama begitu perit mengalami masalah bekalan air bersih, ketiadaan peluang pekerjaan, kemudahan prasarana terhad serta aktiviti ekonomi malap, tiba-tiba boleh berubah pendirian sehingga sanggup meneruskan perjalanan hidup dengan berkenderaan lama yang usang dan berprestasi mengecewakan.
Ada pemimpin dengan bangga mendakwa negeri yang sudah lebih 30 tahun di bawah pemerintahan partinya bersih daripada rasuah, bebas penyelewengan dan tiada salah guna kuasa. Sambil memberi harapan baharu, negeri akan kaya jika diberi mandat memerintah semula. Sudah ada sumber baharu, katanya. Mendengar kata-kata itu, ada suara rakyat tampil berkata, “Baguslah, kalau sungguh bagai dikata.”
Daripada reaksi umum, tidak kurang pula masih ada yang sangsi dan ragu. Masih melemparkan pertanyaan, “Betulkah bagai dikata?” Terserahlah kepada rakyat menilai sendiri. Kemajuan berpijak pada realiti, bukan dengan sekadar kata-kata retorik berulang-ulang. Dan pembangunan adalah melalui proses pelaksanaan, bukan sekadar meletak batu asas.
Semua orang suka dengan status kerajaan bersih. Tiada siapa sanggup berada di bawah pemerintahan yang bersarang dengan hal-hal menyalahi etika dan peraturan dalam urus tadbirnya. Malah, rakyat tetap berpegang pada prinsip niat tidak menghalalkan cara.
REKAAN, ALASAN
Cuma, isu bersih berbeza dengan isu kegagalan menjalankan pemerintahan dengan lancar dan efisien. Bersih sahaja tidak cukup. Ketidakupayaan menepati aspirasi rakyat itu tetap dianggap gagal walaupun diiringi pelbagai naratif rekaan dan alasan. Rakyat adalah pelanggan kepada sesebuah kerajaan. Rakyat tidak berminat disogok bermacam alasan kerana apa yang diharapkan, segala janji dan tawaran semasa kempen pilihan raya dapat ditunai dan dipenuhi.
Bersilih dekad rakyat menyandar harapan. Apa yang diharapkan adalah kenyataan, bukan kepalsuan. Makna kemajuan bukan pada kata-kata tetapi pada apa yang dapat rakyat merasa. Dan memajukan negeri bukan semudah dengan mengalih pandangan umum melihat keburukan pihak lain. Rakyat mengharapkan suasana hidup sejahtera. Amat mengecewakan jika dijadikan rakyat bagaikan kisah kanak-kanak lapar yang hanya terlena dengan diperlihatkan air sedang dijeram di atas dapur.
Pada program Temu Anwar di Kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, baru-baru ini, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang bangun meluahkan rungutan tentang masalah bekalan air yang terhad dan kerap terganggu di kampusnya. Pelajar itu juga meminta Perdana Menteri kalau-kalau boleh membantu membangunkan bandar Machang yang terus malap (sleeping town) walaupun populasinya bertambah termasuk dengan kehadiran ribuan pelajar UiTM.
Kata pelajar itu, ribuan pelajar yang menghuni Kampus UiTM Machang amat mengharapkan suasana sebuah bandar yang segar, selesa. Dengan nada simpati terhadap apa yang disuarakan oleh pelajar berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya dapat menjawab, “Soal pembangunan bandar dan persekitaran negeri tertakluk pada perancangan pihak kerajaan negeri.” Jawapannya ringkas tetapi cukup untuk menterjemahkan kenyataan bahawa kapasiti atau tanggungjawab membangunkan negeri tentulah terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri.
Sementara itu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pernah dipetik titah baginda yang mahukan kerajaan negeri menyegerakan projek-projek untuk membawa perubahan besar dan segera di negeri itu. Baginda prihatin terhadap suasana kehidupan selesa bagi rakyat Kelantan. Tuanku bertitah, antaranya termasuk perlunya dibangunkan projek bandar pelabuhan Tok Bali supaya mampu menjadi hab bagi pasaran minyak dan gas terbesar untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
Baginda juga mahu Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Lebir dibangunkan. Faedahnya untuk membekalkan air bersih yang secukupnya, selain boleh menjana tenaga elektrik. Malah ada beberapa lagi projek utama yang dititahkan baginda agar segera dilaksanakan. Lalu, ada rakyat Kelantan bertanya, “Lebih 30 tahun memerintah, perancangan pembangunan kerajaan negeri setakat mana?”
Pelaksanaan pembangunan menjanjikan banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan selain memberi kesan kemajuan hiliran kepada penduduk. Bermakna tidak perlulah kerajaan negeri mencipta retorik ‘bangga anak negeri berhijrah menabur khidmat di negeri orang.’ Apa pun, terpulang pada rakyat menilai secara jujur dan tepat.
Di kala merenung bulan purnama, renungkanlah sama potret pemimpin yang terpampang di setiap persimpangan. Tanyakan pada hati, sejauh mana insan yang tersenyum dengan kedua-dua belah tangan bersilang di perut itu mencurah bakti membangunkan negeri? – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










