KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan ibunya memperoleh ganti rugi melebihi RM8 juta ekoran kecuaian sebuah hospital kerajaan sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecacatan otak yang teruk.
Mahkamah Tinggi di sini membuat keputusan tersebut selepas Kerajaan Malaysia mengakui liabiliti terhadap kecuaian tersebut.
Perkara itu disahkan oleh peguam, Karthi Kathabalan yang mewakili dua beranak itu bersama-sama Alicia Chin ketika dihubungi hari ini.
Menurut penghakiman bertarikh 14 April lalu oleh Hakim Roz Mawar Rozain yang dilihat oleh media, jumlah ganti rugi yang diberikan kelihatan seperti `durian runtuh’ tetapi ia hanyalah untuk memastikan kelangsungan hidup kanak-kanak terbabit.
“Ia merupakan satu pengajaran yang mahal buat defendan tetapi tiada sebarang jumlah yang mampu membaiki kerosakan yang berlaku kepada kanak-kanak itu. Kesakitan dan kesengsaraan turut ditanggung oleh plaintif dan ahli keluarganya yang lain,” kata hakim itu.
Menurut saman yang difailkan pada November 2020, dua beranak itu selaku plaintif pertama dan kedua pada mulanya menamakan sembilan defendan terdiri daripada doktor dan kakitangan sebuah hospital termasuk kerajaan.
Kanak-kanak terbabit mengalami ‘spastic quadriplegic cerebral palsy’ setelah dilahirkan selepas pihak hospital lambat dalam mengarahkan pembedahan kecemasan caesarian.
Ibunya yang merupakan seorang kerani mempunyai sejarah perubatan berisiko tinggi dan pada mulanya dijadualkan menjalani pembedahan pada 18 Mac 2019.
Bagaimanapun pada pukul 8 malam, 17 Mac 2019, kanak-kanak yang masih berada dalam rahim ibunya dikesan mengalami simptom bradycardia (degupan jantung rendah).
Sungguhpun begitu, keputusan untuk menghantar ibu kanak-kanak itu untuk menjalani pembedahan hanya dibuat pada pukul 9.20 malam namun kelahirannya hanya dilakukan pada 10.14 malam hari yang sama.
Selepas dilahirkan, kanak-kanak perempuan itu didapati mengalami Hypoxic-ischemic encephalopathy (sejenis kerosakan otak akibat kekurangan oksigen).
Ekoran kejadian itu juga, ibu kanak-kanak tersebut turut mengalami tekanan dan perlu menjalani kaunseling dan terapi bersama pakar psikiatri.
Pada 28 Januari 2022, Mahkamah Tinggi di sini merekodkan penghakiman persetujuan selepas kerajaan mengakui liabiliti terhadap kesemua dakwaan plaintif.
Sehubungan itu, kedua-dua plaintif menarik balik saman terhadap doktor dan kakitangan hospital terbabit tanpa sebarang perintah berhubung kos.
Menurut penghakiman tersebut, Hakim Roz Mawar menetapkan ganti rugi khas sebanyak RM209,172 untuk kedua-dua plaintif, RM350,000 secara keseluruhan bagi ganti rugi teruk dan kanak-kanak itu turut menerima ganti rugi am sebanyak RM500,000 manakala ibunya menerima RM114,000 bagi ganti rugi sama.
Mahkamah turut memerintahkan Kerajaan membayar ganti rugi masa hadapan RM173,853.90 setahun bagi tempoh 40 tahun (tempah jangka hayat plaintif pertama yang dianggarkan oleh pakar perubatan) yang keseluruhannya berjumlah RM6,954,156.
Dua beranak itu turut menerima kos berjumlah RM215,177.25.
Dalam penghakimannya, Hakim Roz Mawar turut memerintahkan agar kesemua ganti rugi itu digunakan hanya untuk perubatan dan penjagaan kanak-kanak perempuan tersebut.
Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan agar satu akaun bank bersama antara kanak-kanak tersebut dan ibu bapanya dibuka khas untuk menerima keseluruhan jumlah ganti rugi untuk kegunaan perubatan dan penjagaan plaintif pertama.
Hakim Roz Mawar turut memerintahkan sebanyak 50 peratus daripada jumlah ganti rugi masa hadapan perlu didepositkan ke dalam akaun tetap Islamik bagi tempoh 20 tahun dari tarikh ganti rugi diterima. – UTUSAN










