Orang Asli minta jambatan Sungai Blaer disiapkan - Utusan Malaysia

Orang Asli minta jambatan Sungai Blaer disiapkan

Jambatan di Sungai Blaer menuju ke Pos Gob, Gua Musang masih tergendala pembinaannya. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Rutin harian kira-kira 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Gob di sini terganggu apabila projek pembinaan jambatan baharu menuju ke perkampungan itu terbengkalai sejak lima bulan lalu.

Dakwa penduduk keadaan itu menyebabkan mereka berdepan kesukaran setiap kali mahu ke bandar Gua Musang atau menghantar anak-anak ke sekolah.

Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang laluan ke Pos Gob mendapati kerja-kerja pembinaan jambatan di Sungai Blaer terbengkalai kecuali di Sungai Perias berhampiran Pos Tohoi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penghulu Pos Gob, Liman Alang berkata, pihaknya me­rayu pihak berwajib menyegerakan kerja-kerja pembinaan jambatan besi tersebut untuk memudahkan urusan harian penduduk di Pos Gob.

“Jika ada kemudahan jambatan besi perjalanan kami untuk ke Bandar Gua Musang lebih cepat berbanding sekarang yang memakan masa sehingga 12 jam atau perlu bermalam di dalam hutan kerana jalan yang rosak.

“Kami berharap pihak terlibat dapat segerakan jambatan besi berkenaan kerana itulah satu-satunya jalan perhubungan kami,” katanya.

Sementara itu, penduduk Pos Gob, Disman Angah, 44, berkata, pembinaan jambatan dan kerja-kerja naik taraf jalan sudah bermula sejak tahun lalu namun sehingga kini belum selesai.

Katanya, titi kayu yang digunakan ketika ini kerap kali patah sekiranya dilalui oleh pacuan empat roda yang berulang-alik ke kampung mereka.

“Selagi tiada jambatan besi kami terpaksa bergotong-royong menggantikan batang kayu patah sebelum dan selepas melalui jambatan kayu itu.

“Kita harap kerajaan siapkan jambatan kerana sudah lama kami tunggu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×