PETALING JAYA: Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 melibatkan majikan menggaji kurang lima pekerja dalam semua sektor berkuat kuasa mulai hari ini.
Penguatkuasaan di bawah Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 itu melibatkan sektor perladangan, pertanian dan pembuatan.
Kerajaan sebelum ini menangguhkan pelaksanaan ke atas majikan yang menggaji kurang lima pekerja dalam sektor-sektor tersebut berbanding penguatkuasaan ke atas majikan mempunyai lebih lima pekerja berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, penguatkuasaan gaji minimum yang diperluaskan kepada majikan menggaji kurang lima pekerja akan memastikan seluruh kumpulan pekerja mendapat keadilan sewajarnya.
Menurut beliau, penangguhan tersebut sebelum ini adalah satu kesilapan yang memberi kesan buruk kepada kumpulan pekerja terbabit.
“Penangguhan sebelum ini adalah satu keputusan tidak adil kerana pekerja-pekerja tersebut juga menerima tekanan ekonomi yang menyebabkan mereka menanggung peningkatan kos sara hidup sama seperti pekerja lain.
“Tindakan kerajaan menangguhkan enam bulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 menyebabkan terdapat sekumpulan pekerja di sektor-sektor tertentu menanggung hidup dengan hanya memperoleh gaji serendah RM1,200 sebulan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
ADUAN
Kamarul berkata, dalam tempoh tersebut MTUC menerima aduan mereka dibayar gaji rendah daripada gaji minimum RM1,500 tetapi terpaksa akur kerana tempoh masa sekarang sukar mendapat kerja.
“Jadi apabila gaji minimum ini dikuatkuasakan hari ini, maka ia menjadi keadilan buat mereka. Bermula hari ini, semua pekerja akan dapat tambahan gaji lebih RM300 di dalam semua sektor. Ini melegakan kita sebab ada lebihan gaji untuk menanggung kos sara hidup,” katanya.
Susulan itu, Kamarul berkata, MTUC berharap penguatkuasaan gaji minimum tersebut perlu dibuat secara serius oleh kerajaan supaya tidak ada syarikat yang mengabaikan pelaksanaan tersebut dan terus menindas pekerja.
Jelasnya, kerajaan perlu turun ke bawah bagi menyemak pelaksanaan gaji minimum tanpa menunggu aduan daripada pekerja kerana ia akan menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin.
“Kita masih menerima aduan mengenai syarikat yang tidak membayar gaji minimun terutama di bawah kontrak kerajaan sendiri seperti pengawal keselamatan dan pekerja kebersihan di sekolah masih tidak membayar kadar gaji ditetapkan iaitu RM1,500 sebulan.
“Jadi kami harap selepas ini tindakan tegas diambil terhadap mana-mana majikan, gunakan penguat kuasa-penguat kuasa untuk menyemak tempat-tempat pekerjaan bagi memastikan tiada pekerja masih menerima gaji di bawah paras minimum,” katanya.
Pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 diluluskan kerajaan pada 19 Mac 2022 dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April 2022. – UTUSAN









