Perang psikologi: Berhasil atau senjata makan tuan?

Perang psikologi: Berhasil atau senjata makan tuan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAK-AGAKNYA, nak undi siapa kali ini? Inilah antara soalan bermain dalam fikiran pengundi di enam negeri yang bakal melangsungkan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, terutama kami yang baru belajar mengundi. Pening kepala juga memikirkan siapa yang patut diundi kerana ramai dalam kalangan kita tidak pernah bertemu muka pun dengan calon-calon yang bertanding, apatah lagi benar-benar mengenali hati budi mereka.

Bagi enam negeri yang berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing tidak dibubarkan sekali gus dengan Parlimen seperti mana lazim sebelum ini. Baru tujuh bulan lalu kami beratur panjang untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dan kini kami sekali lagi bersiap-sedia untuk menghadapi PRN yang bakal berlangsung sekitar dua bulan sahaja lagi.

Keadaan ini menjadikan suasana politik negara sentiasa panas. Ditambah lagi dengan pelbagai gosip politik dan permainan persepsi sering dimainkan untuk mempengaruhi sentimen rakyat, khususnya kami yang bakal turun mengundi semasa PRN nanti. Semakin kita menghampiri tarikh PRN, perang psikologi dan persepsi yang tidak pernah henti dimainkan itu menjadi semakin marak.

Adakah hal ini akan memberi kesan kepada pengundi atas pagar yang kini menjadi rebutan parti-parti bertanding? Berjayakah taktik sebegini memujuk pengundi supaya menyokong pencipta naratif perang saraf ini atau mungkinkah terjadi keadaan di mana senjata memakan tuan? Adakah pengundi kelabu akan kembali menyokong parti pilihan mereka semasa PRU15 dahulu? Amat menarik jika kajian dibuat tentang perbezaan sentimen pengundi tatkala berhadapan PRN yang dilaksanakan berasingan berbanding serentak dengan PRU seperti sebelumnya dan kesannya ke atas pola sokongan mereka.

Sudah tentu suasana kempen PRN kali ini hangat dan panas dengan janji-janji yang lebih menggunung. Kedatangan petugas parti dari negeri-negeri yang sudah melaksanakan PRN masing-masing pasti akan memeriahkan lagi suasana berkempen dan melariskan jualan peniaga setempat.

Namun begitu, peratus perantau yang pulang mengundi dijangka lebih rendah berbanding kebiasaannya. Ada juga yang tidak sanggup lagi untuk bersesak-sesak di lebuh raya setelah baru sahaja menghadapi situasi serupa ketika pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, kelmarin.

Pemerhati politik meramalkan peratusan keluar mengundi dalam PRN kali ini lebih rendah berbanding PRU15, iaitu dalam lingkungan 60 peratus sahaja. Ramai rakyat sudah penat dan lesu menghadapi kemelut politik yang tiada hentinya sejak Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU14. Perdana Menteri bertukar ganti dan ramai merasakan pemimpin politik lebih berminat untuk berebut kuasa daripada menjalankan amanah diberikan.

BISING

Namun, mereka yang setia kepada parti pasti akan keluar mengundi. Yang marah dan berubah hati juga akan turut turun mengundi bagi menzahirkan bantahan mereka pada kertas undi. Yang sudah lesu dan yang tidak kisah pula melihat sahaja dari jauh dan akan bising apabila mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan yang dibentuk kelak.

Trend mengundi dalam PRN ini sukar untuk diramalkan, apatah lagi dengan jajaran politik yang sentiasa berubah, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Di pihak pengundi pula, ada yang teruja, ada yang reda dan ada yang marah.

Kedengaran juga seruan agar pembangkang bersatu supaya berlakunya keadaan satu lawan satu dalam PRN nanti. Pada masa sama, ada parti yang mengumumkan akan bertanding sendirian. Ini belum termasuk calon persendirian yang sama ada ditaja atau mahu mencuba nasib walaupun mereka berkemungkinan kehilangan wang deposit.

Dengan jangkaan peratusan keluar mengundi yang rendah, taktik pecah undi dilihat boleh menentukan kemenangan mudah bagi sesebuah parti. Sungguhpun ini bukan taktik yang terhormat tetapi ini tidak dikira salah dalam sistem pemilihan secara demokrasi. Berbahasa kasar, menimbulkan persepsi tidak benar, memberi janji palsu, memfitnah dan sebagainya juga perbuatan keji tetapi masih dianggap tidak salah, malah disokong oleh sesetengah pihak apabila ia menyebelahi mereka. Untuk menegakkan benang yang basah, mereka menyalahkan politik dengan alasan itulah cara permainan politik kerana politik itu memang kotor.

Ilmu dan teori politik sebenarnya tidak kotor. Politik menjadi kotor kerana dimanipulasikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Begitu juga ilmu perundangan yang sepatutnya melindungi kita. Bidang ini juga sering dianggap kotor dan tidak beretika sedangkan anggapan itu tidak benar. Ahli politik dan peguam mempunyai etika yang jika dipegang dengan amanah akan memakmurkan kehidupan rakyat dan menjamin keselamatan negara. Namun, keadaan menjadi sebaliknya apabila terdapat mereka yang tidak amanah, melanggar etika dan memanipulasikan keadaan demi kepentingan diri.

Lebih menarik lagi, tidak seperti profesion lain, seseorang individu tidak perlu mempunyai ilmu dalam bidang sains politik untuk melayakkan mereka menjawat jawatan sebagai pemimpin politik. Justeru, mengapa pula ilmu politik yang dianggap kotor sedangkan yang salah ialah pengamal politik yang biasanya tidak pernah menuntut ilmu dalam bidang sains politik? Amatlah tidak berasas sama sekali untuk kita menyalahkan ilmu demi menghalalkan perbuatan tidak beretika sesetengah pihak.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Jangan sampai kita sanggup menormalkan sesuatu yang salah hanya kerana ia menguntungkan kita. Cukup-cukuplah berpolitik. Kita mengharapkan pemimpin yang amanah dan mampu membawa negara melangkah dengan hebat dan cemerlang. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×