Bukan cerita hanya sedap dibaca tapi ambillah ibrah

Bukan cerita hanya sedap dibaca tapi ambillah ibrah

ZULHIJAH mempunyai kelebihan tersendiri kerana dalam bulan itu ada ibadah haji yang menjadi rukun Islam kelima, Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZULHIJAH adalah bulan yang mempunyai kelebihan tersendiri. Padanya terdapat ibadah haji yang menjadi rukun Islam kelima, padanya terdapat Hari Raya Aidiladha dan padanya juga disyariatkan ibadah yang sangat istimewa, iaitu korban.

Pada Zulhijah biasanya juga dibentangkan kisah pengorbanan luar biasa ditunjukkan keluarga Nabi Ibrahim. Antara kita boleh renungkan dalam firman Allah pada ayat 102 surah al-Saffat: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”

Kisah ini menjadi bahan ceramah para asatizah di pentas ilmu. Pelbagai kupasan ibrah dan pengajaran dihidangkan kepada para pendengar. Sehinggakan sesetengah daripada yang mendengarnya boleh berceramah semula kepada orang lain. Menggambarkan juga betapa kisah ini disebut saban tahun, berulang-ulang.

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya membawa beberapa mesej utama, antaranya keimanan, kesungguhan dan kecintaan.

Namun, adakah kisah yang mulia ini hanya sekadar bahan untuk diulang siar? Atau satu kisah yang wajib untuk diambil ibrah dan pengajaran dan lebih penting juga untuk beramal? Kisah para nabi yang terdapat dalam al- Quran, bukanlah satu cerita yang hanya sedap untuk dibaca bahkan tujuannya untuk diambil ibrah dan pengajaran lalu beramal dengannya.

Sebagaimana Allah sebutkan dalam al-Quran surah Yusuf ayat 111: “Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang empunyai akal fikiran. (Kisah nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi mengesahkan apa yang disebut di dalam kitab-kitab agama terdahulu daripadanya. Dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”

Justeru, persoalan utama yang ingin dilontarkan di sini, kenapa ibrah dan pengajaran daripada kisah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s khususnya seumpama sekadar satu bahan ceramah yang diulang saban tahun sahaja? Kelihatannya kita masih gagal menjiwai dan beramal dengan nilai pengorbanan sebenar. Sebagai contoh, masih ada segelintir kita melaksanakan ibadah korban tetapi bermasam muka dengan jawatankuasa pengurusan korban hanya kerana tersalah kira timbangan bahagian daging korban yang sepatutnya kita dapat. Bahkan sehingga ada yang sanggup bergaduh maki hamun dan sebagainya. Jadi, inikah selayaknya akhlak kita sebagai insan yang melaksanakan ibadah korban?

Belum lagi bercerita hal bertegang leher kerana berebutkan ekor lembu, berebutkan kaki lembu dan sebagainya. Jika inilah akhlak kita, sangat memalukan. Tak malu ke dengan lembu korban tu? Bertolak ansur dan berlapang dadalah.

Korban adalah ibadah takwa. Korban membawa jiwa yang sanggup buat apa sahaja kerana Allah. Taat perintah Allah. Allah wajibkan kita laksanakan, Allah suka dan kasih kita laksanakan. Allah haramkan kita tinggalkan, Allah benci dan murka kita jauhkan. Bukannya sembelihan semata-mata. Ini sebagaimana Allah nyatakan dalam surah Al Hajj ayat 37: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

Persoalannya juga, kenapakah ibrah daripada kisah nabi tidak memberi kesan dan bekas kepada jiwa kita? Mungkin ini antara jawapan yang boleh kita renungkan bersama. Pertama, di manakah tahap iman kita?

Adakah iman kita benar? Apa bukti iman kita benar? Iman adalah membenarkan dengan hati, mengaku dengan lisan dan beramal dengan anggota. Jadi, semaklah adakah ketiga-tiga elemen tersebut ada pada diri kita khususnya beramal dengan anggota?

Pada hari ini wujud juga sekumpulan manusia yang mengatakan iman adalah membenarkan dengan hati sahaja. Cukuplah kita mengaku ketuhanan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Amalan dengan anggota itu bersifat luaran, yang penting adalah hati. Fahaman ini batil, bahkan dengan demikian jadilah kita seorang Muslim yang fasik, yang munafik. Semoga Allah jauhkan kita daripada sifat buruk ini. Jika kita amati al-Quran, Allah sentiasa ganding perkataan amanu (beriman) dan amal soleh seperti pada ayat 25 surah al-Baqarah.

Fahamnya adalah iman tidak boleh berpisah dengan amalan. Maka imanlah yang menjadi penentu kita ini insan yang mampu menginsafi dan beramal dengan segala ibrah daripada kisah nabi rasul. Jika iman kita lemah, nescaya ibrah dan pengajaran daripada kisah nabi dan rasul hanya akan lalu di cuping telinga, tidak meresap masuk ke dalam jiwa. Maka baikilah iman agar al-Quran sentiasa menjadi petunjuk jalan hidup bahagia untuk kita semua.

Kedua, dunia dan akhirat yang manakah lebih utama untuk kita? Sedangkan dalam al-Quran surah Al An’am ayat 32 Allah menyebut: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan. Dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”

Selagi mana dunia masih besar di hati kita selagi itulah hati kita sukar untuk menerima nasihat untuk kejayaan akhirat. Ini kerana hati kita tidak nampak apa indahnya akhirat, sedangkan indahnya dunia terbentang depan mata. Jadi, ubahlah kecenderungan hati kita semua. Redakanlah rasa ghairah dengan dunia, ingatkan diri bahawa dunia kita ini boleh musnah bila-bila masa sahaja. Kita boleh kehilangan segala yang kita sayang di dunia ini sekelip mata sahaja. Yang kekal hanyalah Allah.

Seterusnya marilah kita mulakan dengan membina keazaman. Azam untuk hidup sentiasa berpandukan petunjuk al-Quran. Agar setiap kisah daripada nabi dan rasul membawa kesan kepada iman dan hidup kita. – UTUSAN

PENULIS ialah Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×