Tiada bukti serahan sah kedaulatan Pulau Pinang

Tiada bukti serahan sah kedaulatan Pulau Pinang – Pakar Perlembagaan

LIM Guan Eng tidak sewajarnya menggunakan agama dan kaum untuk menghasut rakyat Pulau Pinang mengundi kerajaan DAP Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebarang pindaan kepada status negeri Pulau Pinang di luar kerangka sedia ada perlu dibawa kepada Majlis Raja-Raja kerana ia melibatkan isu pokok semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perlembagaan Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, setakat ini belum ada dokumen yang menunjukkan berlaku penyerahan secara sah kedaulatan Pulau Pinang kepada British.

Katanya, serahan kedaulatan Pulau Pinang kepada British secara kekal hanya sah jika maksud tersebut jelas termaktub seperti ciri dan bentuk dokumen yang ada pada zaman semasanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbandingan dokumen serahan kedaulatan boleh dirujuk kepada Perjanjian Kerajaan British dengan Sultan Johor dan Temenggong Johor pada 19 November 1824 yang menyentuh kedaulatan ke atas Singapura.

Jelasnya, hal yang sama melalui suratcara lantikan dan kurniaan Sultan Brunei ke atas wilayah Sabah apabila baginda Sultan Abdul Mo’min melantik Baron Von Overbeck sebagai Maharajah Sabah, Raja Gaya dan Sandakan pada 29 Disember 1877.

“Tanpa ada dokumen yang menunjukkan berlaku serahan kedaulatan oleh Sultan Kedah sebelumnya, maka apabila Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 5 Ogos 1957, kuasa kedaulatan Pulau Pinang masih kekal pada Sultan Kedah yang meletakkan kuasa tersebut pada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perlembagaan Pulau Pinang yang dilampirkan dalam Perjanjian tersebut.

“Proses tersebut berlaku dengan perkenan Sultan Kedah setelah enakmen berkaitan diluluskan oleh Dewan Perundangan Negeri Kedah.

“Namun begitu, tanah Pulau Pinang kekal menjadi milik Kesultanan Kedah berdasarkan Fasal 5 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Perkara 166 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyentuh pewarisan tanah yang terikat dengan perjanjian sebelum Hari Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang popular sebagai Hari Merdeka,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad Fauzi berkata, isu kedudukan Pulau Pinang perlu dibawa ke meja perundingan setelah kajian terperinci aspek sejarah perundangan dari aspek kedaulatan dan pajakan dibuat.

Dalam pada itu, menurut Wan Ahmad Fauzi, implikasi status pajakan yang masih berkuat kuasa menyebabkan Geran Tanah Pulau Pinang harus mencatatkan tanah kekal milik Negeri Kedah di bawah pajakan besar kepada Kerajaan Pulau Pinang.

Jelasnya, Kerajaan Pulau Pinang yang perlu membayar pajakan kepada Kerajaan Kedah dan bukannya oleh Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, liabiliti itu diperuntukkan oleh Perkara 166 (1) dan (2), namun begitu, semakan perlu dibuat sebab fasal (1) dan (2) kepada Perkara 166 dimansuhkan berkuat kuasa Ogos 1963 sebelum penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak sebagai tiga buah negeri baharu dalam Persekutuan yang dinamakan Malaysia.

“Pajakan perlu tertakluk kepada undang-undang semasa melainkan peruntukan khusus digubal dalam Kanun Tanah Negara berhubung pajakan Pulau Pinang.

“Tanah adalah bidang kuasa negeri jika dilihat Pulau Pinang sebagai tanah pajakan milik Negeri Kedah, kedudukan ini dijamin oleh Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Namun begitu, kata beliau, dari aspek kuasa eksekutif ia boleh ditadbir oleh Kerajaan Pulau Pinang kerana fungsi kuasa kedaulatan telah diletak pada Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 1 Perlembagaan Pulau Pinang.

Katanya, sejarah perundangan dan peruntukan yang ada menunjukkan fungsi kuasa kedaulatan Yang di-Pertuan Agong yang diwakilkan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang masih tertakluk pada syarat pewarisan tanah diperuntukkan oleh Fasal 5 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah kerana kedua-dua negeri itu tidak mempunyai sempadan.

Katanya, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini