Pastikan isu air tidak hantui generasi masa depan

Pastikan isu air tidak hantui generasi masa depan

ISU bekalan air merupakan isu hangat di negara kita yang seolah-olah tidak berpenghujung. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU bekalan air merupakan isu hangat di negara kita dan tiada berpenghujung. Selain sumber air dirawat, punca utama bekalan air yang disalurkan untuk kegunaan domestik dan industri dalam negara kita juga diperoleh dari kawasan alam semula jadi seperti tadahan hujan, tasik dan sungai.

Pertikaian mengenai bekalan air bukan hanya berlaku antara negara, malah di tempat kita sendiri juga isu ini menjadi retorik dalam hubungan antara negeri. Kegusaran tiadanya bekalan air mencukupi untuk kegunaan harian yang merupakan sumber asas kehidupan manusia bukan hanya dalam kalangan penduduk setempat. Malah industri pembuatan makanan dan minuman khususnya terjejas apabila sekatan bekalan air terhad berlaku. Sebagai contoh, syarikat pembuatan minuman sememangnya memerlukan air sebagai bahan asas utama penghasilan produk mereka. Ketiadaan bekalan air mencukupi akan merencatkan produksi dan jualan mereka.

Kajian oleh Water Systems and Global Changes, Wageningen University, Belanda menyatakan keadaan cuaca panas ketika ini menyumbang kepada peningkatan kadar guna air di negara kita dan negara-negara yang terjejas. Keadaan kemarau pula memburukkan lagi keadaan dengan kekurangan sumber bekalan seperti tasik dan loji air. Rawatan air minuman untuk menyingkirkan pencemar juga meningkat semasa kemarau.

Selain itu, kemasukan air masin dari laut ke dalam sumber air di kawasan pamah meningkat apabila kemarau dan paras laut meningkat. Air masin yang masuk ke dalam air bawah tanah atau sumber air terdapat pada tanah akan mengurangkan jumlah sumber air yang ada. Mungkin kini sudah bukan masanya untuk kita hanya mengharapkan bekalan air daripada sumber alam semula jadi seperti sungai mahupun air yang dirawat.

Ada baiknya juga kita meneroka alternatif-alternatif penghasilan air yang telah dipraktikkan di beberapa negara di seluruh dunia. Sekiranya tenaga elektrik boleh dijana daripada tenaga solar dan loji penaja kuasa, sudah tentu terdapat kaedah moden dalam penghasilan bekalan air. Sebagai contoh, negara-negara di Asia Barat sememangnya menghadapi keadaan bekalan air yang terhad. Untuk mengatasi masalah ini, mereka menggunakan kaedah penyahaslian air laut sebagai sumber air harian mereka.

KONFLIK

Sesungguhnya kita mengetahui bahawa 70 peratus permukaan bumi dilitupi lautan. Air laut adalah masin serta tidak sesuai diminum atau sebagai kegunaan harian kita. Menurut data dikeluarkan Bank Dunia, sebanyak 75 peratus air laut terawat digunakan di Asia Barat dan Afrika Utara seperti Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Libya dan Algeria.

Kekangan utama dalam penghasilan air laut terawat ini adalah kos pembinaan loji penapisan yang tinggi. Bagi negara-negara berpendapatan tinggi seperti Arab Saudi, Qatar dan Bahrain mungkin bukan masalah besar bagi mereka. Namun, bagi negara atau negeri berpendapatan rendah dan masih membangun, pembinaan loji ini mungkin akan mengambil masa agak panjang bergantung kepada peruntukan diperoleh dalam membangunkan prasarana untuk menapis air laut agar boleh diminum. Di samping itu, bekalan air masih boleh diperoleh daripada sumber-sumber seperti sungai, tadahan hujan, tasik dan sebagainya.

Bagaimanapun, pembinaan loji ini dalam jangka masa panjang boleh menyelesaikan konflik berkaitan bekalan air antara negeri mahupun negara. Walaupun begitu, inisiatif untuk mendirikan loji penapisan air laut ini harus ada dalam pelan perancangan pembangunan kawasan-kawasan berhampiran laut, pulau atau menghadapi masalah bekalan air yang terhad.

TOKSIK

Sebagai contoh, Oman mempunyai loji penapisan air laut di Barka di mana terdapat paip yang dipasang untuk menyedut air laut seterusnya melalui beberapa siri tapisan bagi proses penyingkiran bendasing dan sebagainya. Loji ini beroperasi menggunakan gas asli dan boleh menghasilkan air sebanyak 74 juta galon yang boleh diminum dalam masa satu hari. Anggaran jumlah air yang dihasilkan ini boleh mengisi sebanyak 112 kolam renang bersaiz Sukan Olimpik. Bagi Oman, mereka sememangnya tidak mempunyai sebarang alternatif lain kerana tiada satu sungai yang mereka boleh ambil airnya secara mampan dan pengambilan air bawah tanah juga menyebabkan penyusutan air dan penyerapan garam yang tinggi.

Selain itu, Program Persekitaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa masalah utama loji penapisan air laut ini adalah pemendakan garam yang ditapis dan bagaimana untuk melupuskannya.

Hal ini kerana pelupusan garam ini ke atas tanah akan mengakibatkan kesuburan tanah merosot dan menyebabkan toksik. Pengeluaran air garam sekitar 142 juta meter padu/hari, kira-kira 50 peratus pengeluaran air garam di Arab Saudi, UAE, Kuwait dan Qatar menyumbang 55 peratus daripada jumlah global dan loji penapisan air laut juga menggunakan tenaga yang tinggi.

Oleh itu, perlu ada satu mekanisme mitigasi untuk mengurangkan kesan negatif pemendakan garam ini bagi memastikan kelestarian alam sekitar kita sentiasa terjamin. Selain itu, perlu ada kaedah pelupusan garam yang lebih efisien dan ekonomi agar bekalan air sentiasa mencukupi dan bukan lagi permasalahan untuk generasi sekarang dan akan datang. – UTUSAN

DR. Daljit Singh Karam Singh ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×