KUALA LUMPUR: Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) sedang dirangka bagi mempercepatkan peralihan dan jaminan tenaga jangka panjang di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-duanya yang menggariskan strategi menyeluruh serta inisiatif berimpak tinggi itu disasar dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.
Katanya, dasar tersebut akan memeta arah ke hadapan dan menggariskan keutamaan bagi sektor tenaga pada masa akan datang serta meletakkannya sebagai pemangkin utama dalam pembangunan sosio ekonomi serta Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040.
“Pelan itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mencapai sasaran Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC).
“Perkara tersebut penting untuk dicapai memandangkan NDC juga terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Dasar Tenaga Negara 2021-2040 (NEP 2040).
“Bagi melaksanakan dasar ini sehingga mencapai manfaat penuh daripada kemajuan sosio ekonomi yang penting bagi negara, kerajaan sedang membangunkan beberapa pelan hala tuju strategik dengan yang paling penting adalah NETR.
“Ia akan dilengkapkan dengan HETR yang akan membuka jalan kepada pencapaian kemapanan alam sekitar, keselamatan tenaga jangka panjang di Malaysia yang dipacu inovasi teknologi,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Energy Asia 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Anwar berkata, Malaysia terus melihat gas asli memainkan peranan penting dalam tenaga campuran dan sebagai satu daripada pembakaran hidrokarbon terbersih untuk beralih ke arah ekonomi karbon lebih rendah.
“Pada masa sama, kami menyedari kepentingan mengurus pelepasan metana sebagai gas rumah hijau yang amat berkesan dan komited mengurangkan pelepasan gas tersebut sebanyak 30 peratus menjelang 2030.
“Industri sedia ada yang berpengalaman di negara ini juga menawarkan pendekatan semula jadi dengan tenaga yang boleh diperbaharui dan ekonomi karbon lebih rendah.” ujarnya. – UTUSAN










