PRN tengah bulan Ogos?

PRN tengah bulan Ogos?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dijangka akhir Julai atau paling lewat pada pertengahan Ogos jika mahu diadakan secara serentak.

Terdapat tiga faktor perlu diambil kira dalam menentukan tarikh pilihan raya antaranya penerbangan balik terakhir jemaah haji Malaysia pada 2 Ogos dan tempoh tiga minggu untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan.

Jika diadakan serentak maka PRN perlu selesai sebelum 21 Ogos memandangkan Kelantan merupakan negeri pertama membubarkan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) pada 20 Jun dan pilihan raya hendaklah dilakukan dalam tempoh 60 hari.

Berdasarkan Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, apabila Parlimen dibubar, maka pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 dari tarikh bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyu­arat pada suatu tarikh tidak lewat dari 120 hari dari tarikh itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, memandangkan semua negeri sepakat membubarkan DUN menjelang bulan ini maka kemungkinan SPR akan mengadakan mesyuarat pada minggu kedua Julai selepas keenam-enam negeri selesai mengumumkan pembubaran DUN.

Jelasnya, SPR menerusi mesyuarat itu kemudian me­netapkan tempoh kempen dan tarikh-tarikh penting seperti hari penamaan calon dan pengundian.

Beliau berpanda­ngan paling terbaik jika PRN diadakan serentak antara akhir Julai dan tidak lewat dari ming­gu pertama Ogos.

“Tempoh kempen paling sesuai ditetapkan selama 11 hari. Jadi daripada situ, pilihan raya negeri dijangka berlangsung pada akhir Julai atau awal Ogos. Paling lewat pun mungkin pertengahan Ogos kerana perlu selesai sebelum Hari Kebangsaan 31 Ogos.

“Ini kerana pasukan ke­selamatan perlu melakukan persiapan menyambut Hari Kebangsaan 31 Ogos nanti. Jika negeri itu buat berasingan, negeri ini buat pilihan raya hari lain, ia akan menyusahkan mereka.

“Selain itu, tarikh penerba­ngan balik terakhir jemaah haji perlu diambil kira SPR untuk memberi peluang pengundi dari enam negeri tersebut melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Selepas Kelantan dan Sela­ngor yang masing-masing membubarkan secara rasmi DUN pada 22 dan 23 Jun, Kedah pula memutuskan pada Rabu selepas Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperke­nankan pembubaran DUN.

Hanya tinggal Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang belum secara rasmi berbuat demikian dan masing-masing dijangka selesai membubarkan DUN dalam minggu ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad menjelaskan, tempoh antara akhir Julai dan tidak lewat dari minggu pertama Ogos merupakan waktu sesuai untuk mengadakan PRN bagi memberi ruang kepada semua pihak untuk melakukan persiapan.

Selain itu katanya, tempoh kempen iaitu sekurang-kurangnya 11 hari dilihat wajar kerana semua parti dilihat mula berkempen sejak bulan lalu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×