REGENERASI atau perkaderan merupakan sebuah proses atau tindakan mendidik, melatih dan mempersiapkan calon anggota atau kader yang memiliki keterampilan dan disiplin ilmu. Harapannya melalui proses perkaderan akan lahir para pemimpin yang siap dan berkualiti untuk membawa perubahan pada masa mendatang. Oleh karena itu, kaderisasi sangat penting sebagai tonggak masa depan bagi sesebuah organisasi mahupun negara.
Merujuk pada sirah nabawiyah Rasulullah SAW mencontohkan kepada umat Islam bahawa dalam menyebarkan dakwah memerlukan kaderisasi. Rasulullah berperanan sebagai pengkader dan menjadi ‘hujung tombak’ selama masa perkaderan. Beliau sendiri yang mengkader para sahabat secara langsung sebagai manusia terbaik yang telah Allah ciptakan untuk mendakwahkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Sebagaimana firman Allah SWT: “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Dalam kalangan mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik.” (Surah Ali Imran: 110)
Tentunya sebagai sebuah parti yang telah melalui usia tujuh dekad kewujudannya, UMNO harus melaksanakan proses perkaderan dan melatih kepimpinan agar memahami selok belok perjuangan parti dan melahirkan pemimpin muda yang memiliki daya juang tinggi dan nilai jati diri. Semasa menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkongsi perangkaan melalui pemilihan parti kali ini, sebanyak 36 peratus ketua UMNO bahagian adalah dalam kalangan muka baharu.
Di peringkat timbalan ketua bahagian, 66 peratus adalah muka baharu dan naib ketua bahagian 73 peratus. Ini termasuk sebahagian besar kepimpinan Pemuda dan Puteri yang perlu dikader dengan silibus latihan dan roh perjuangan. Ini memperlihatkan proses peremajaan parti dan usaha mempersiapkan barisan kepimpinan pelapis sentiasa subur serta menjadi bukti amalan demokrasi terus hidup dan berjalan baik di dalam parti keramat ini.
Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sedang memasuki 100 hari pemilihannya sebagai kepimpinan Top 5 parti dilantik menggalas amanah mengetuai Majlis Perkaderan dan Latihan (MPL) bagi memastikan agenda latihan dan perkaderan dapat disusun dan dirancang dengan lebih rapi dan bersungguh-sungguh bagi menjamin survival parti dalam dinamika politik yang terlalu rencam dan sukar diramal pada hari ini.
PAU 2023 lalu menjadi medan beliau membentangkan ‘kad laporan’ berkaitan gerak kerja, perancangan serta hala tuju MPL dengan mewujudkan dua sekretariat, iaitu Sekretariat Latihan dan Ilmu serta Sekretariat Perkaderan Anak Muda.
Sekretariat Latihan dan Ilmu diketuai Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin manakala Sekretariat Perkaderan Anak Muda dipimpin Datuk Asmuni Hassan. Kedua-duanya ahli Majlis Kerja Tertinggi. Malah, beliau turut dibantu Datuk Seri Ahmad Maslan selaku Timbalan Pengerusi MPL.
KITA ORANG PARTI
Pelbagai program dan gerak kerja telah dirancang. Ini termasuk mengadakan Pemukiman Anak Muda disertai kepimpinan Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Puteri bahagian dari seluruh negara bagi menyuntik semangat dan memahami makna perjuangan parti.
Selain itu, MPL mendapat kerjasama cukup baik daripada kepimpinan parti di pelbagai peringkat termasuk dalam kalangan pengerusi-pengerusi perhubungan khususnya dalam mempersiapkan jentera-jentera untuk mendepani pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Sebagai contoh, MPL mengadakan pemukiman di Bentong, Pahang baru-baru ini bagi memastikan jentera PRN di enam negeri berada dalam keadaan siap siaga serta membuat pelbagai persiapan dan perancangan sewajarnya.
Bagi memastikan agenda dan perencanaan MPL dapat dilaksanakan secara sistematik, Wan Rosdy turut menuntut tiga perkara yang perlu digerakkan di seluruh peringkat.
Pertama, memohon supaya Pengerusi MPL negeri-negeri merangka agenda latihan bersasar kepada kepimpinan di peringkat bahagian.
Kedua, menyusun perkaderan kepada pengundi berumur 18 tahun dan ke atas kerana inilah cabaran besar UMNO untuk terus relevan. Dan ketiga, menambah baik struktur latihan di semua peringkat supaya UMNO dapat menjamin daya ketahanan dalam dinamika politik hari ini.
Untuk memastikan modul latihan dan input yang mantap semasa proses perkaderan, MPL menubuhkan Jemaah Pemikir sebagai entiti untuk menasihat dan memberi panduan berhubung kaedah latihan dan perkaderan yang sesuai dengan masa kini.
Ini termasuk cadangan mewujudkan Sekolah Politik bagi menarik lebih ramai golongan muda khususnya pengundi baharu yang berfikiran kreatif. Sebenarnya, perkara ini merupakan sebahagian daripada perancangan MPL selari dengan hasrat Presiden UMNO sebelum ini yang pernah mengesyorkan dalam PAU 2021 termasuk untuk melahirkan pemimpin-pemimpin WALI (winnable, acceptable, likeable).
Justeru, menerusi Sekolah Politik ini, UMNO akan melahirkan lebih ramai ‘orang parti’ yang setia dan taat kepada perjuangan parti, mencipta generasi pewaris yang berkeupayaan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO.
Wan Rosdy selalu berpesan dan menitikberatkan prinsip dan mauduk ‘Kita Orang Parti’ atau Party Man, sentiasa meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya. Malah, orang parti tidak pernah mengharapkan sebarang hasil, keuntungan atau balasan sepanjang perjuangan bersama parti.
Sebagai orang parti, meskipun ada dalam kalangan pimpinan termasuk Presiden sendiri yang diugut dan didesak serta ditawarkan dengan pelbagai habuan untuk meninggalkan perjuangan, namun tetap bertahan dalam menjunjung prinsip dan amanah parti.
Inilah kelebihan orang parti yang membezakan dengan rakan-rakan lain yang telah memilih jalan berbeza, mengkhianati parti. Tentunya ia menjadi ‘serum’ yang perlu disuntik ke dalam minda dan jiwa generasi muda bagi melahirkan barisan pemimpin pelapis yang memiliki jati diri tinggi dan semangat juang kental. – UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Penyelidikan & Penerbitan, Menteri Besar Pahang.










