Rakyat ubah cara hidup

Rakyat ubah cara hidup

Rakyat kini mula ubah gaya hidup termasuk kurang makan di luar berikutan peningkatan kos sara hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini ditambah dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup membuatkan rakyat mula mengubah cara hidup mereka.

Ini termasuk kurang makan di luar sebagai langkah berjimat cermat seperti dilaporkan Mingguan Malaysia, kelmarin.

Sebelum ini, rakyat ada lebihan tunai antara RM200 ke RM400 tetapi sejak OPR dinaikkan, wang itu terpaksa digunakan untuk bayaran bulanan pinjaman kepada pihak bank.

Langkah itu turut memberi kesan terhadap peniaga kedai makan dan restoran apabila pendapatan mereka berkurangan, sekali gus meletakkan situasi mereka dalam keadaan sukar sehingga membawa ‘gulung tikar’.

Ia antara contoh rantaian ekonomi yang terjejas ditambah dengan kesan secara langsung daripada penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta nilai mata wang negara jiran seperti Singapura.

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Amer Ali Mydin memberitahu Mingguan Malaysia, kemerosotan kuasa membeli itu akibat langkah berjimat cermat setelah duit banyak dibelanjakan dalam tempoh tiga bulan lalu.

Beliau berkata, perayaan Aidilfitri dan persiapan pembukaan sesi sekolah memaksa orang ramai gunakan simpanan malah perlu berhutang untuk berbelanja termasuk membeli barang keperluan asas.

Katanya, keadaan itu menyebabkan rakyat kini ber­belanja ala kadar kerana lebihan duit gaji perlu digunakan untuk membayar hutang sama ada daripada pihak bank atau individu perseorangan.

“Kami peniaga sudah menjangka keadaan itu berlaku dalam bulan ini selepas diketahui mereka banyak belanja untuk persiapan hari raya dan pembukaan sesi sekolah. Situa­si ini adalah sementara dan dijangka pulih Julai ini.

“Apatah lagi pengumuman Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 (STR3) mulai 26 Jun de­ngan melibatkan peruntukan lebih RM2 bilion kepada lebih lapan juta warga Malaysia, ia akhirnya memberi pula­ngan kitaran ekonomi sehingga RM12 bilion,” katanya.

Justeru, tambah Amer Ali, kerajaan perlu berhati-hati daripada memperkenalkan dasar percukaian yang boleh menjejaskan kuasa membeli rakyat yang akhirnya memberi kesan kepada hasil negara dan pendapatan kerajaan.

Kata beliau, kerajaan berada dalam landasan betul untuk merangsang pertumbuhan ekonomi iaitu melibatkan daripada pelan jangka pendek dan panjang termasuk menyelaras semula subsidi bersasar.

Sebaliknya Amer Ali berkata, usaha itu bergantung kepada sejauh mana kestabilan politik yang mempengaruhi polisi kerajaan dan mendorong keyakinan pelabur asing bertapak ke negara ini.

“Malah kita berdepan enam pilihan raya negeri tidak lama lagi meskipun ia tidak mempengaruhi Pusat, kempen dan ceramah boleh menjejaskan kestabilan politik dan menjejaskan daripada segi pelaburan,” katanya.

Penganalisis ekonomi dari City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob pula berkata, para peniaga makanan dijangka ‘gulung tikar’ sekiranya tidak dapat menampung kos seperti sewa kedai dan gaji pekerja dengan ketia­daan pelanggan berterusan.

Menurutnya, ketiadaan pe­langgan sehingga 30 ke 60 peratus adalah jumlah yang besar dan boleh mengundang penutupan beberapa perniagaan terutama mikro.

Jelas beliau, kerajaan perlu mengambil langkah membantu peniaga-peniaga yang dijangka ‘gulung tikar’ supaya mereka dapat terus beroperasi dan menyumbang kepada pe­ngukuhan ekonomi negara.

“Ini menyebabkan peniaga rugi dan sekiranya kerugian itu tidak dapat ditanggung maka mereka terpaksa menutup perniagaan.

“Saya ingin syorkan kepada kerajaan untuk membantu peniaga terutama mikro adalah sekiranya perniagaan yang berdaftar dan mempunyai lesen sah ini memperoleh pendapatan sekitar RM500 sahaja kerajaan boleh beri penambahan sebanyak RM1,000.

“Ini bagi menampung kos kehidupan peniaga dan memastikan operasi perniagaan dapat berjalan walaupun me­ngalami keuntungan sedikit serta hanya mempunyai jumlah pelanggan yang sedikit,” katanya.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, hampir semua peniaga di seluruh negara berdepan cabaran apabila jumlah pelanggan kedai makan merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Tinjauan Mingguan Malaysia di Selangor, Pahang, Johor dan Perlis mendapati ramai yang mengeluh dan mendakwa mereka terpaksa mengurangkan kuantiti masakan bagi mengelakkan juadah tidak habis dan menambahkan lagi kerugian.

Perkara itu didakwa berpunca daripada pelanggan yang mengambil langkah berjimat ketika berdepan kos sara hidup yang meningkat.

Abu Sofian berkata, kerajaan kini seolah-olah tidak mempunyai hala tuju terutama di dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara kerana masih tidak ada tindakan konkrit dan lebih mengambil sikap berdiam diri.

“Jika kita tengok situasi ekonomi negara ni macam tidak berkembang, ini berdasarkan penunjuk yang kita boleh pakai iaitu antaranya tentang pasaran modal kita. Ada pelabur-pelabur menarik diri dari pelaburan.

“Pelaburan dari dalam negeri pun didapati sudah berkurang, ini menunjukkan ekonomi negara tidak ‘cergas’. Kerajaan masih belum mengeluarkan pelan tindakan, kata mereka bulan Ogos baru nak keluar jadi sudah lambat.

“Ramai orang sekarang berpendapat ekonomi Malaysia tidak ada hala tuju, Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) pun seperti tidak bercakap apa-apa, kementerian-kementerian berkaitan sektor yang menyumbang pada ekonomi pun membisu dan tidak ada beri satu harapan pun,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×