KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL, akur dengan kehendak Tuhan bahawa perkongsian hidup bersama suaminya, Ashraf Sinclair cuma untuk 12 tahun sahaja.
Dalam reda dan pasrah kehilangan suami, penyanyi Cinta Sejati itu hanya mampu mempersoalkan kepada dirinya akan bagaimanakah untuk meneruskan kehidupan bersama anaknya, Noah.
“Tidak pernah terlintas di benak fikiran saya untuk berasa marah dengan takdir Tuhan atas apa yang telah berlaku. Akan tetapi saya cuma memikirkan macam mana nak teruskan hidup dengan Noah yang dia sudah tidak punya bapa. Saya dan Ashraf masih punya bapa, tetapi tidak Noah, di mana lagi nak cari figura sepertinya?
“Kalaulah saya yang pergi terlebih dahulu saya percaya Ashraf lebih siap untuk menjaga Noah kerana dia ada kelebihan yang saya tiada. Kalaulah saya tahu masa hanya sebentar sahaja, 12 tahun… mungkin cara hidup dan pilihan saya berbeza.
“Ashraf orang paling rapat dalam hidup saya, juga yang pertama pergi meninggalkan saya. Saya bercakap sendiri, Tuhan aku reda dan ikhlas. Tidak ada momen di mana saya histeria dan tidak dapat menerima pemergiannya,” luah BCL sambil mengesat air mata.
Setahun pemergian Ashraf, BCL tampil membuat pendedahan eksklusif di saluran YouTube miliknya, dalam siri #BCLMelangkahLagi, berjudul Love Story #2 – Hari-Hari Terakhir Ashraf.
Untuk rekod, Ashraf, 40, meninggal dunia pada 18 Februari tahun lalu, akibat serangan jantung.











