SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini dengan kekuatan jentera sekurang-kurangnya 200,000 orang secara keseluruhan.
Kekuatan tersebut dinilai menerusi keanggotaan parti dan pemuda di setiap 22 bahagian masing-masing sekitar 8,000 hingga 12,000 orang untuk digerakkan bersama jentera Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin, berkata, pasukannya merangka kerjasama strategik bersama PH untuk bergerak secara bersama bagi menggempur keseluruhan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
BERSASAR
“Kita akan bekerja secara lebih strategik, bersasar dan berfokus bagi memastikan kita dapat memaksimumkan dari segi dana maksudnya guna sepenuhnya dan memaksimumkan impak daripada sumber yang ada.
“Sebenarnya kita sudah ada gambaran di DUN mana BN dan PH bertanding, jadi keseluruhan jentera kita mahupun di peringkat induk, kita tumpukan ke 56 DUN dalam negeri ini untuk memastikan kemenangan calon-calon daripada Kerajaan Perpaduan sama ada BN atau PH,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menambah, antara tugas yang perlu dilaksanakan mereka termasuklah meneruskan hebahan pemahaman terhadap gabungan kedua-dua parti dan pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Ini kerana, jelas Mohd. Imran yang merupakan ADUN Sungai Panjang, cabaran adalah pada mereka yang berusia 30 hingga 39 tahun yang terkesan dengan perubahan tersebut termasuk 40 tahun ke atas.
“Namun, apa yang kita kena buat, kita kena berikan pemahaman yang jelas dan mereka sedia menerima dan terbuka untuk berbincang, berdialog dan juga mendengar pandangan serta pendirian kita yang mana akhirnya mereka boleh rasional dan membuat keputusan secara bijaksana.
“Cuma saya lebih khuatir adalah antara pengundi berumur atas 40 tahun apabila pendirian ataupun cara mereka dibesarkan dan diterapkan dengan pengisian ekstrim. Kita pun tahu apabila diterapkan sejak dulu lagi, DAP sebagai rasis, chauvianis sampai wujud pemahaman bangsa baharu, iaitu DAP,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu antara tawaran BN kepada pengundi khususnya pengundi muda adalah melakukan reformasi terhadap peluang pekerjaan, pemilikan hartanah dan tugas wakil rakyat.
“Sekarang kita tengok orang muda dipermudahkan untuk dapat pinjaman kad kredit, peribadi dan lain-lain. Tetapi pinjaman perumahan cukup susah untuk dapat pinjaman. Hendak mohon susah, syaratnya ketat, sedangkan pinjaman perumahan ini lebih dijamin.
“Kalau pinjaman perumahan, apalah juga jadi kepada anak-anak muda, hilang pekerjaan, tak boleh bayar atau hilang keupayaan, kalau dilelong sekalipun ia tak jadi hutang beban,” ujarnya. – UTUSAN










