Intern: Elaun lebih bernilai daripada pengalaman?

Intern: Elaun lebih bernilai daripada pengalaman?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBERIAN elaun kepada pelajar latihan industri (intern) merupakan isu sering dibincangkan dalam konteks pendidikan pengajian tinggi. Latihan industri dianggap satu komponen penting dalam struktur pengajian khususnya memberi pendedahan dan latihan sebelum memasuki dunia pekerjaan sebenar selepas tamat pengajian.

Elaun ini biasanya diberikan sebagai satu bentuk penghargaan terhadap usaha dan sumbangan mereka di tempat kerja. Walaupun begitu, isu pemberian elaun ini sering kali menjadi perdebatan. Antaranya kadar tidak setimpal bahkan ada syarikat yang langsung tidak memperuntukkan sebarang elaun kepada pelajar.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru syarikat yang terbabit agar dapat mempertimbangkan elaun munasabah bagi menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh latihan industri. Secara dasarnya, tiada peruntukan undang-undang atau polisi yang mewajibkan pemberian elaun ini.

Ketiadaan pemberian elaun atau kadar tidak setimpal kepada pelajar praktikal boleh memberi kesan signifikan terhadap mereka. Mereka mungkin mengalami kesukaran untuk menampung kos sara hidup termasuk perbelanjaan harian, pengangkutan, makan dan penginapan. Ini boleh menyebabkan tekanan kewangan yang serius dan mengganggu fokus mereka dalam tempoh latihan.

Dalam pada itu, pelajar juga mungkin terpaksa menolak peluang latihan industri di syarikat pilihan kerana tidak mampu menanggung kos hidup tanpa elaun. Ini boleh menghalang mereka daripada mendapatkan pengalaman dan pendedahan berharga. Tanpa latihan industri, mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk memenuhi persyaratan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Sebelum menjalani latihan industri, ada golongan penuntut yang sememangnya telah bekerja secara sambilan ketika tempoh pengajian bagi meringankan beban kewangan. Apabila mereka menjalani latihan industri, mereka terpaksa berhenti atau mengurangkan masa pekerjaan sambilan bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada latihan. Ini secara langsung boleh menjejaskan pendapatan mereka sebelum ini.

Selain itu, ketiadaan elaun kepada pelajar latihan industri boleh dipandang sebagai satu bentuk ketidakadilan. Pelajar ditagih untuk memberikan sumbangan kepada organisasi atau institusi tempat mereka menjalani latihan di samping memperoleh manfaat seperti pengalaman kerja dan pembangunan kemahiran.

Oleh itu, memberikan elaun adalah cara untuk menghargai usaha dan sumbangan mereka secara kewangan. Ketiadaan elaun boleh memperkuat persepsi bahawa pekerjaan pelajar praktikal dianggap kurang bernilai dan tidak diberi pengiktirafan sewajarnya. Bahkan, sudah ada persepsi mengatakan syarikat cuba mendapatkan khidmat ‘buruh percuma.’

MENANG-MENANG

Latihan industri tidak sepatutnya menguntungkan pihak tertentu sahaja. Seharusnya semua pihak terlibat patut mengecapi situasi menang-menang. Selain menimba pengalaman, ada antara pelajar ini terlibat secara langsung dalam sumbang saran kepada kemajuan dan pembangunan syarikat terbabit. Ini disebabkan kehadiran mereka boleh membawa budaya pemikiran serta budaya kerja baharu ke dalam organisasi berpadanan dengan era semasa.

Elaun praktikal dapat menjadi insentif dan motivasi kepada pelajar untuk memberikan yang terbaik dalam menjalani latihan praktikal. Tanpa elaun, mereka mungkin kehilangan motivasi dan minat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sepenuhnya. Ini boleh mempengaruhi penglibatan di tempat kerja dan prestasi keseluruhan mereka.

Elaun praktikal juga boleh digunakan oleh pelajar untuk melabur dalam pembangunan diri mereka sendiri. Mereka dapat mengambil kursus kemahiran tambahan, melanggan sumber pembelajaran atau memperoleh alat yang diperlukan bagi meningkatkan kemahiran. Tanpa elaun, mereka mungkin terhad dalam upaya untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran tambahan yang dapat memperbaiki prospek kerjaya mereka.

Isu pemberian elaun latihan industri ini perlu dibincang secara matang. Semestinya dari sudut majikan, ada kekangan yang mendorong keputusan mereka untuk tidak menyediakan peruntukan atau juga memberi kadar rendah.

Terdapat syarikat mempunyai keupayaan kewangan mencukupi untuk memberikan elaun yang memadai kepada pelajar. Namun, ada syarikat lain mungkin menghadapi keterbatasan kewangan dan hanya mampu memberikan elaun rendah atau tiada elaun sama sekali tetapi lebih menumpukan kepada input pengetahuan serta pengalaman industri lebih komprehensif. Dalam pada itu, terdapat juga syarikat yang menyediakan pelbagai bentuk manfaat lain kepada pelajar latihan industri seperti insurans, pampasan perjalanan atau faedah lain berkaitan dengan pengalaman mereka di tempat kerja.

Penting untuk diingatkan bahawa tujuan utama latihan praktikal adalah memberikan pelajar pengalaman bekerja di dunia sebenar dan elaun hanya merupakan satu aspek daripada keseluruhan pengalaman tersebut. Pelajar juga boleh mendapatkan manfaat lain seperti pengetahuan, kemahiran dan hubungan sosial yang berguna untuk perkembangan kerjaya mereka.

Justeru, pemberian elaun bukanlah satu-satunya aspek yang menentukan nilai dan manfaat latihan industri tersebut. Pengalaman, pengetahuan, dan kemahiran yang diperoleh melalui latihan industri ini juga memainkan peranan penting dalam perkembangan kerjaya seseorang.

Bagaimanapun, memberikan elaun yang adil kepada pelajar adalah wajar untuk menjaga kesejahteraan dan memberi pengiktirafan yang sesuai terhadap usaha dan sumbangan mereka. – UTUSAN

MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI ialah Pengetua Kolej Kediaman. DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan & Perniagaan. Kedua-duanya dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×