UMNO dijangka tanding tak lebih 10 kerusi di Selangor

UMNO dijangka tanding tak lebih 10 kerusi di Selangor, 16 di N. Sembilan

IDRIS HARON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: UMNO dijangka bertanding tidak lebih 10 daripada 56 kerusi di Selangor dan 16 daripada 36 kerusi di Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri (PRN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat masih longgar disebabkan gagasan idea perjuangan setiap komponen PH yang tidak selari dan bercanggah antara satu sama lain.

Beliau berkata, umum mengetahui DAP mendahului MCA dalam menarik sokongan masyarakat Cina dan telah dilabelkan sebagai ‘bad boys’ oleh UMNO semenjak merdeka.

Ujarnya, kejayaan atau kegagalan kerjasama PH dengan BN khususnya UMNO turut akan memberi bayangan kedudukan presiden parti itu pada masa depan.

“Kerusi UMNO menjadi panas apabila dicabar calon Perikatan Nasional (PN) dan kemungkinan besar juga daripada kumpulan yang anti Presiden UMNO. Sekiranya calon PH dan UMNO mampu memberikan kemenangan, maka itu akan menjadi isyarat jelas kerjasama antara keduanya diterima serta akan menjadi trend untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak.

“Tetapi jika berlaku sebaliknya, kedudukan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri akan dipertikaikan termasuk kebarangkalian kerjasama PH dan BN tidak akan diteruskan,” katanya.

Ditanya kemungkinan BN atau PH mengadakan kerjasama dengan PN bagi menubuhkan kerajaan negeri seandainya berlaku krisis Menteri Besar dan Ketua Menteri, Idris menjelaskan, situasi itu tidak mustahil memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih dalam PRN akan akur kepada kehendak dan peraturan parti sekiranya berlaku ketegangan.

Jelas bekas Ketua Menteri Melaka itu, status quo setiap parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen juga tidak seimbang dan masing-masing berpotensi untuk meraih sokongan bagi membentuk kerajaan negeri.

“PN mempunyai kelebihan di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana kekuatan Pas sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap menumpang keteguhan Pas.

“Medan sebenar PRN adalah di Selangor dan Negeri Sembilan. Ini adalah kali pertama UMNO dan DAP berkempen bersama dalam PRN, tetapi sejauh mana kerjasama itu diterima oleh penyokong kedua-dua parti akan menjadi igauan semua pihak.

“Secara tradisi ahli UMNO memang tidak akan menerima DAP, tapi saya yakin keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen dengan mengalih perhatian daripada mengundi untuk DAP kepada PH,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×