RAMAI dalam kalangan rakyat maklum nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pertama kali melonjak bila beliau selaku aktivis mahasiswa mengetuai Demonstrasi Baling untuk memperjuangkan nasib golongan petani yang kelaparan akibat krisis harga komoditi pada 3 Disember 1974.
Demonstrasi ini mencapai kejayaan segera. Hasilnya, ia memaksa Tun Abdul Razak Hussein selaku Perdana Menteri waktu itu melancarkan pada 20 Disember 1974 dasar rancangan Buku Hijau atau Gerakan Bumijaya bertujuan menggalakkan penggunaan tanah untuk pertanian sekali gus meningkatkan bekalan makanan negara.
Namun, bahana daripada demonstrasi ini, Anwar mendekam dalam tahanan selama 20 bulan di Kamunting, Perak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Bahananya juga, kurang setahun selepas itu, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dipinda oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Menteri Pelajaran waktu itu.
Pindaan AUKU 1975 (dipinda) ini mencengkam aktivisme mahasiswa melalui pelbagai halangan termasuk larangan menganggotai pertubuhan luar kampus, larangan memberi sokongan kepada pihak luar kampus, larangan membuat kenyataan akhbar dan larangan menguruskan kewangan sendiri, sehinggalah sedikit pindaan dibuat pada 2012 dan 2019.
Dengan latar belakang ini, tidak mengejutkan selepas Anwar menjadi Perdana Menteri, beliau memberi tumpuan yang lebih kepada golongan mahasiswa.
Pada 9 Februari, Universiti Selangor (Unisel) menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan pertama dikunjungi beliau untuk memberi syarahan bertajuk Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia, melancarkan simbolik perasmian Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil dan Yayasan Unisel untuk membantu mahasiswa.
Tidak mengejutkan kerana kunjungan ini bersempena Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil sebagai memperingati sahabat akrab Anwar selaku bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allahyarham Datuk Dr. Siddiq Fadzil, manakala Presiden dan Naib Canselor Unisel, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman merupakan bekas Naib Presiden ABIM.
Dalam syarahan ulung sewaktu mengunjungi Unisel ini, Anwar menyeru anak-anak Melayu muda yang pintar bersama anak-anak Cina, India, Iban, Kadazan bangkit sebagai kekuatan bangsa yang mempertahankan hak, nilai, akhlak, kebenaran dan keadilan; bangkit sebagai kekuatan baharu masyarakat Madani dengan menolak fahaman jumud dan kolot yang hanya merugikan bangsa.
Pada 11 Februari, Anwar mengunjungi pula Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi menyaksikan majlis penyerahan sumbangan Tabung Pelajar Antarabangsa Abu Sulayman (AISF) yang beliau selaku bekas Presiden UIAM kedua lancarkan pada 24 April 2019 bagi mengurangkan beban kewangan mahasiwa antarabangsa di universiti itu.
Dalam kunjungan ke UIAM ini, beliau menyebut, institusi pendidikan di Malaysia harus meninggalkan kaedah lama dan sudah ketinggalan zaman yang menyaksikan pelajar disekat daripada menggunakan hak mereka untuk menjadi kritikal, malah perlu membenarkan kritikan berdasarkan fakta dan alasan munasabah bagi memupuk kreativiti serta pemikiran.
MELAMPAU
Mengulas lanjut, beliau berkata, mahasiswa di negara ini diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan termasuk teguran atau kritikan terhadap Perdana Menteri atau kerajaan supaya universiti lebih segar melainkan hal-hal bersifat cercaan, perkauman atau fahaman agama melampau.
Pada 10 Mac, Anwar menjamu selera bersama-sama mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dengan menikmati sup tulang bersama nasi putih sebagai hidangan tengah hari di Medan Selera UPTEN, Kajang, sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Uniten diimamkan mahasiswa tahfiz universiti itu, Muhammad Fadzreen Muhamad Fadzil.
Pada 19 Mac, beliau dalam sesi dialog Youth Empowerment Fair (YEF) 2023 menyebut, peruntukan AUKU 1971 yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan kerana prinsip kerajaan kini untuk memberi kebebasan akademik dan ini telah dibincangkan dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada 7 April, Anwar mara setapak lagi dengan memulakan sesi dialog bersama mahasiswa di IPT bermula dengan program Sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam dalam mana beliau meluangkan masa mendengar pelbagai keluhan, rintihan dan pertanyaan daripada golongan mahasiswa.
Antara hasil sesi dialog ini ialah komitmen untuk memperluaskan bantuan e-dompet sebanyak RM200 kepada seluruh mahasiswa, jaminan menumpukan soal capaian internet khususnya supaya akses diperoleh di seluruh kampus serta pertimbangan untuk memberikan subsidi tiket penerbangan membabitkan mahasiswa Sabah dan Sarawak sewaktu musim percutian.
Lebih mutakhir, pada 11 Jun, beliau mengadakan sesi dialog bersama mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam mana pelbagai isu disuarakan oleh golongan mahasiswa disantuninya. Di sini, Anwar menegaskan, tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi akan diteruskan.
Dalam sesi sama, beliau mengulangi seruan supaya universiti perlu memberi ruang kepada mahasiswa untuk menegur dan mengkritik secara terbuka agar iklim di universiti harus lebih terbuka dan bebas sekali gus mengangkat mutu universiti menjadi lebih cemerlang. Ini termasuk mengambil langkah mengembalikan semula Speakers’ Corner.
Pada 13 Jun pula, beliau mengadakan sesi dialog bersama mahasiswa JPA dalam Majlis Cakna Madani di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dalam sesi ini, Anwar juga mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar tajaan JPA bagi peringkat persediaan hingga ijazah lanjutan di dalam dan luar negara.
Berdasarkan maklum balas, aura Anwar dengan imej keterbukaan, kebebasan dan kecemerlangan universiti amat disenangi oleh golongan mahasiswa. Sesungguhnya, Anwar, universiti dan mahasiswa tidak berpisah. – UTUSAN
Dr. Zainudin Omar ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar & Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM).










