Mampukah kebangkitan ‘gelombang hijau’ disekat?

Mampukah kebangkitan ‘gelombang hijau’ disekat?

Persoalan yang sering diajukan kini adakah Kerajaan Perpaduan mampu menyekat kebangkitan 'gelombang hijau' dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebangkitan ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan dengan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan bakal menewaskan Kerajaan Perpaduan dalam enam pilihan raya nege­ri (PRN) tidak lama lagi hanya boleh disekat melalui tiga kriteria.

Ini termasuk mengekalkan kestabilan politik bagi mening­katkan keyakinan pelabur dan memulihkan semula ekonomi negara.

Dua faktor lagi yang menjadi penentu kepada usaha mengekang gelombang tersebut adalah memastikan 1.5 ahli UMNO di enam negeri terlibat keluar mengundi dan tidak memboikot calon ditampilkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di sam­ping berjaya memikat hati 4.9 juta pe­ngundi muda.

Ini kerana kestabilan negara mempengaruhi prestasi ekonomi yang masih belum menunjukkan trend pemulihan setakat ini.

Di samping itu kedua-dua kelompok pengundi itu pula menguasai 6.4 juta daripada 9.6 juta keseluruhan pengundi di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Ini sekali gus mendominasi bilangan pemilih yang menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri dalam PRN kelak.

Persoalannya, mampukah Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menyekat kemaraan ‘gelombang hijau’ ini?

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berpendapat, para pengundi kini melihat parti yang berupaya membawa kestabilan negara sebagai indikator utama sebelum mereka memangkah calon dalam kertas undi pada pilihan raya itu.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan memiliki kelebihan tersebut kerana didukung 19 pelbagai parti politik yang sebelum ini berbeza namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mereka semakin serasi selepas bekerjasama membentuk satu pentadbiran demi memulihkan ekonomi negara.

Malah katanya, rakyat akan dilihat memihak kepada parti Kerajaan Perpaduan khususnya BN dan PH kerana merasakan pembentukan kerajaan negeri perlulah seiring dengan pentadbiran pusat agar memperoleh perhatian utama daripada segi limpahan pembangunan dan kemajuan.

“Rakyat kini sudah muak dengan permainan politik tidak kesudahan, jadi mereka dilihat cenderung sebuah parti yang stabil. Jadi kerjasama parti-parti Kerajaan Perpaduan ada kelebihan ini berbanding lain.

“Selain itu aura Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedikit sebanyak dapat mempengaruhi kecenderungan pe­ngundi khususnya dalam atas pagar yang masih belum memutuskan parti manakah bakal dipilih, jika mereka melihat kriteria ini maka calon-calon parti Kerajaan Perpaduan boleh jadi pilihan utama.

“Bagaimanapun politik ini sering berubah dan dinamik, boleh berubah pada bila-bila masa khususnya PRN tidak lama lagi apatah lagi kecenderungan pengundi yang boleh bertukar pada saat akhir,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam masa sama, ramai pemerhati politik melihat tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu bakal dimenangi dengan mudah oleh Perikatan Nasional (PN) yang dilihat mendapat sokongan pengundi Melayu.

PRN kali ini juga bakal menjadi medan ujian antara BN-PH dan Perikatan Nasional (PN) dalam menarik sokongan pengundi Melayu dan luar bandar.
Ini susulan ‘tsunami Melayu’ dan kehadiran pengundi baharu yang menyumbang kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15.

Dalam PRU15, PH memperoleh 84 kerusi Parlimen dan diikuti BN (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (23 kerusi), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan Sabah (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (satu) serta dua calon Bebas manakala PN pula mendapat 72 kerusi.

Pada 20 Mei lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan keyakinan parti itu mampu meraih sehingga 80 peratus undi terutama daripada pengundi Melayu pada PRN akan datang.

“Saya jangka sebahagian besar rakyat kecewa apa yang sedang berlaku dalam negara, mereka tidak lihat keberkesanan, cakap banyak tetapi cakap tidak serupa bikin,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Pusat Penyelidikan Ilham, Mujibu Abd. Muis berkata, undi orang muda dan akar umbi menjadi faktor utama kemenangan BN dan PH jika mengambil kira sentimen PRU15 yang menyaksikan dua kumpulan itu dilihat cenderung kepada PN.

Katanya, jika PH dan BN dapat memikat hati pengundi tersebut secara tidak langsung dapat menambah jumlah 40 peratus pengundi setia PH khususnya dalam kalangan ahli PKR dan DAP.

“Setelah beberapa pilihan raya ada pertembungan tiga parti besar, jadi PRN tidak lama lagi kembali seperti asal iaitu hanya perlawanan antara parti Kerajaan Perpaduan iaitu BN dan PH dengan PN,” katanya.

Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu bakal berdepan PRN setelah hayat semua Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing berakhir pada akhir bulan ini dan mereka perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari dan menyaksikan pilihan raya negeri dijangka diadakan pada bulan Julai atau Ogos ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×