MUKADIMAH
TERDAPAT beberapa pihak meramalkan jumlah kedatangan pengunjung ke Zoo Negara yang kini menggalakkan bakal merosot pada tahun depan setelah tamat tempoh pinjaman 10 tahun panda dari China.
Menyanggah ramalan itu, Presiden Zoo Negara, DATUK ZAHARIN MD. ARIF menjelaskan, Pusat Konservasi dan Pameran Panda Gergasi di situ bukan satu-satunya tarikan kedatangan pelawat yang berjumlah 432,198 orang pada 2022 manakala tahun ini setakat 25 Mei lalu adalah 177,881 orang.
Dalam temu bual dengan wartawan pelatih Utusan Malaysia, NURSYAHIDAH SAIDI dan NUR SABRINA MOHD. ROZI serta jurufoto, AFIQ RAZALI baru-baru ini, beliau memberitahu, selain memperkenalkan spesies haiwan baharu, pihaknya merancang untuk menganjurkan lebih banyak program dan promosi bagi meningkatkan lagi bilangan pengunjung.
UTUSAN: Apa spesies haiwan terbaharu yang boleh dilihat di Zoo Negara?
ZAHARIN: Keunikan terbaharu adalah sepasang landak albino Afrika. Spesies landak itu belum pernah ada di sini dan pasangan landak albino tersebut mula dipamerkan sejak 27 Mei lalu sempena musim cuti sekolah. Landak itu menarik minat pelancong kerana warnanya yang unik, iaitu putih
Selain itu, terdapat kelahiran baharu seekor landak nibong, dua ekor landak raya, dua ekor rusa jawa, seekor rusa paya, dua ekor patagonian mara, empat ekor kancil, empat ekor japanese quail dan helmeted guinea fowl.
Di samping itu, tarikan terbaharu kami adalah Rimba Biodiversiti yang menawarkan keunikan biodiversiti dan ekologi habitat semula jadi. Pengunjung juga dapat melihat haiwan spesies amfibia, serangga, mamalia kecil, reptilia dan pelbagai jenis flora.
Rimba Reptilia yang lengkap dengan pelbagai fasiliti dan ruang pameran yang cantik, luas dan selesa merupakan bangunan yang baru siap dibina serta menempatkan reptilia seperti ular, biawak, kura-kura dan buaya.
Berapakah jumlah spesies yang ada di Zoo Negara?
Sehingga kini Zoo Negara mempunyai 298 spesies serta 3,344 ekor haiwan merangkumi mamalia, burung, reptilia, amfibia, ikan air tawar dan ikan air masin.
Kami juga menerima surat persetujuan daripada kerajaan Papua New Guinea untuk memberi sepasang raginia birds of paradise (burung cenderawasih) sebagai pertukaran dengan dua pasang burung flamingo dan dua pasang scarlet ibis (burung sekendi merah). Perjanjian persefahaman (MoU) akan ditandatangani tidak lama lagi antara kerajaan Malaysia dan kerajaan negara itu.
Bagaimana pula promosi lain?
Zoo Negara juga akan berkolaborasi dengan Starbucks Malaysia di mana setiap pembeli tiket Zoo Negara akan terima potongan diskaun sebanyak 10 peratus apabila beli minuman dan produk Starbucks. Pembeli Starbucks juga akan terima potongan diskaun sebanyak 10 peratus apabila membeli tiket masuk.
Pihak pemasaran merancang untuk menganjurkan lebih banyak program dan promosi bagi menggalakkan dan meningkatkan lagi jumlah pengunjung. Aktiviti promosi akan lebih giat dilakukan melalui platform media sosial rasmi Zoo Negara seperti Facebook, Instagram, TikTok, LinkedIn dan YouTube.
Apa hasil daripada usaha sama dengan China dalam memelihara panda?
Pihak di sana sangat berpuas hati dengan cara Zoo Negara menjaga panda gergasi. Ini kerana pada pandangan mereka, panda susah untuk membiak sehingga tiga ekor anak dalam masa 10 tahun. Tetapi kami berjaya membiakkan tiga ekor anak panda dalam tempoh 10 tahun mengikut perjanjian Malaysia dengan China.
Apa kaedah lain bagi membiayai kos operasi selain mengharapkan penjualan tiket masuk semata-mata?
Pihak kami mendapat sambutan menerusi program tajaan haiwan daripada syarikat-syarikat korporat dan individu. Pada 2022, Zoo Negara menerima sumbangan tunai RM2,755,886.02 dan tajaan produk bernilai RM1,006,769.63 daripada syarikat korporat, agensi kerajaan dan individu.
Pada 2022, untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR), kita menerima RM305,750. CSR merupakan satu khidmat tenaga bagi menjalankan kerja-kerja penanaman pokok, mengecat, penggayaan haiwan dan pembersihan sekitar kawasan zoo.
Haiwan mana memerlukan kos tanggungan paling tinggi?
Setakat ini, gajah merupakan haiwan individu yang memerlukan perbelanjaan paling besar, iaitu berjumlah RM212,378.40 setahun untuk seekor. Gajah memerlukan makanan dalam kuantiti yang banyak.
Selain itu, haiwan jenis hidup berkumpulan, kos yang tinggi ialah painted stork (burung botak coreng) yang makan ikan sebanyak 200 kilogram sehari. Purata kos bagi sekilogram ikan dalam RM10 dan purata untuk setahun dalam RM720,000.
Adakah Zoo Negara akan berpindah ke kawasan baharu yang lebih besar?
Buat masa ini kami tidak berharap untuk meneroka tapak dan kawasan baharu kerana sekarang masih dalam usaha memaksimumkan ruang sedia ada. Ini seiring dengan pendekatan Zoo Negara sekarang di mana kami bergerak ke arah zoo yang lebih moden, maju dan menarik di mana tidak mempamerkan haiwan secara individu tetapi lebih kepada campuran atau berintegrasi dengan spesies lain yang boleh membentuk biodiversiti tersendiri.
Kami juga akan menambah kuantiti haiwan bagi spesies sedia ada dan menambah spesies baharu. Penambahan kuantiti haiwan akan tertumpu dalam mencari pasangan untuk binatang dan menambah bilangannya.
Kami juga akan usahakan program pertukaran haiwan bersama zoo-zoo lain atau membeli daripada pembekal yang sah. Tapi cara ini akan melibatkan kos yang tinggi.
Apa fungsi Zoo Negara yang tidak disedari kebanyakan masyarakat?
Terdapat beberapa peranan Zoo Negara antaranya pendidikan, pemuliharaan, penyelidikan, rekreasi dan latihan. Kami percaya pendidikan adalah satu-satunya kunci dalam mewujudkan kesedaran tentang pemuliharaan hidupan liar. Zoo Negara ialah bilik darjah terbuka untuk minda muda belajar dan memupuk minat serta menjaga hidupan liar.
Selain itu, memulihara hidupan liar Malaysia adalah salah satu misi utama Zoo Negara. Haiwan seperti false gharial (buaya jejulong) dan milky stork (burung botak upeh) adalah haiwan yang sangat terancam yang tidak begitu terkenal berbanding Harimau Malaya atau Orang Utan Borneo. Zoo Negara berjaya membiak kedua-dua spesies ini dan kami sedang bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi melepaskan haiwan itu kembali ke alam liar.
Pun begitu, isu yang paling penting dan perlu dirisaukan Zoo Negara adalah Harimau Malaya semakin pupus. Berdasarkan pengawasan kamera yang dipasang di dalam hutan, tiada anak Harimau Malaya kelihatan berlegar-legar dan ia memberi makna tiada pembiakan spesies itu terjadi. Usaha pembiakan perlu dipergiatkan bagi meningkatkan jumlahnya. Terkini, kita mempunyai tujuh ekor Harimau Malaya. – UTUSAN










